Friday, May 17, 2013

KEANGKUHAN HADI TOLAK KERJASAMA UMNO-PAS.

Saranan Nasharudin yang bertujuan memenuhi tuntutan perintah Allah sekali gus memperkukuhkan semula kesepaduan umat Islam di negara ini hanya menjadi bahan sindiran Abdul Hadi. Beliau menyifatkannya sebagai cadangan pihak yang sedang 'lemas' atau terdesak dalam usaha mendapatkan pertolongan daripada orang lain untuk menyelamatkan diri.

Sungguh hairan, dalil atau nas mana yang digunakan oleh Abdul Hadi sebagai sandaran sehingga beliau yang mempunyai ketinggian ilmu dalam bidang agama sanggup berkata demikian.

Abdul Hadi bukan calang-calang orang. Beliau merupakan lulusan sarjana muda di Universiti Islam Madinah dalam bidang syariah dan sarjana di Universiti Al-Azhar dalam bidang Siasah Syariyyah.
Mustahil pensyarah-pensyarah yang diiktiraf sebagai alim ulama di kedua-dua universiti tersohor ini mengajar Abdul Hadi supaya menolak perpaduan.

Oleh itu respons Abdul Hadi itu sangat mengecewakan. Perpaduan serta persaudaraan dalam Islam merupakan perkara paling utama dan Rasulullah SAW tidak pernah berkompromi mengenainya.
Abdul Hadi sudah tentu lebih arif tentang ayat-ayat al-Quran serta hadis-hadis Rasulullah yang menyeru kepada perpaduan seperti mana petikan ayat ketiga dalam surah Ali Imran yang bermaksud;
"Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah.''

Begitu juga dalam ayat kesepuluh surah Al-Hujurat yang bermaksud; "Orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.''

Antara hadis Rasulullah yang menyentuh mengenai perpaduan dan persaudaraan; "Hendaklah kalian bersatu, kerana sesungguhnya Tangan Allah berada bersama al-jamaah (kesatuan)." (Riwayat Tarmizi dan Nasaie)
"Orang Islam bersaudara dengan orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayainya, dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaannya), dan tidak boleh mendustainya, dan tidak boleh menghinanya." (Riwayat Muslim)

Tidak mungkin Abdul Hadi tidak mengetahui bagaimana Rasulullah telah mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar tatkala baginda mula-mula berhijrah ke Madinah.
Hasil daripada persaudaraan yang jitu itu Islam menjadi kuat dan syariat Islam termasuk perundangan jenayah syariah (hudud, qisas dan takzir) berjaya dilaksanakan.

Manakala kaum-kaum lain seperti Yahudi yang diiktiraf ketika itu sebagai kafir zimmi telah menandatangani perjanjian dan tunduk dengan pemerintahan Islam seperti mana diperuntukkan di dalam Piagam Madinah.
Malah sebagai tokoh yang pernah menulis mengenai sirah junjungan besar Rasulullah, tidak mungkin Abdul Hadi tidak mengetahui segala peristiwa tersebut.

Merujuk kepada fasal 7 Perlembagaan Pas dinyatakan seperti berikut; "Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan Pas ialah kitabullah (al-Quran), sunnah Rasulullah serta Ijmak Ulama dan Qias yang terang dan nyata.''

Jika diikutkan Perlembagaan Pas itu, tidak boleh tidak Abdul Hadi wajib sama-sama berusaha menyatu padukan semula umat Islam di Malaysia yang kian berpecah akibat fahaman politik kerana perintah tersebut jelas disebut di dalam al-Quran dan hadis Nabi akhir zaman.

Ataupun Abdul Hadi enggan menerima arahan daripada Allah itu hingga sanggup membuat sindiran yang begitu sinis selepas Nasharudin melontarkan idea agenda penyatuan melalui landasan kerjasama antara UMNO dan Pas.

Walau apa pun respons Abdul Hadi itu jelas menunjukkan yang beliau lebih mementingkan persahabatan dengan rakan-rakan bukan saudara seagama di dalam DAP dan rakan-rakan yang pelbagai fahaman di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ingatlah, Abdul Hadi memikul beban yang cukup besar terhadap segala perbuatannya sama ada di dunia mahu pun ketika berada di hadapan Allah pada hari akhirat kerana beliau bukan setakat seorang pemimpin malah sebagai seorang ulama.

Ada juga sahabat yang bertanya, adakah Pas hanya akan menghulurkan tangan untuk bersatu ketika maruah Islam telah dirobek dan tersungkur di bumi sendiri. Ketika itu segala-galanya telah terlambat.
Yang akan menjadi mangsa ialah anak cucu dan generasi muda akan datang.

Berbalik kepada saranan Nasharudin, beliau yang ditemui dalam satu program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kelmarin berkata, apa jua respons yang diterima termasuk Abdul Hadi tidak akan memutuskan semangatnya untuk meneruskan agenda itu.

"Sebagai seorang Melayu muslim ini merupakan perintah Allah yang wajib saya pikul dan kebetulan pula saya telah diberi platform untuk sama-sama kita berusaha menyatukan semula umat Islam selepas berlakunya perpecahan.

"Saya tidak akan berputus asa dan saya tidak akan berhenti daripada meneruskan agenda penyatuan ini. Lebih-lebih lagi saya menerima respons yang amat positif daripada rakan-rakan,'' ujarnya.
Katanya, berdasarkan daripada mesej-mesej yang diterimanya selepas ceramah di sebuah hotel di Menara Mara baru-baru ini, 90 peratus daripadanya amat menyokong kepada usaha penyatuan umat Melayu Islam melalui landasan kerjasama UMNO dan Pas.

Sementara itu seorang aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin dalam emelnya kepada penulis meminta kepimpinan Pas tidak terlalu angkuh dan sombong hingga memandang sepi kepada agenda perpaduan umat Islam.

Sedangkan agenda itu katanya merupakan mesej utama Rasulullah di dalam tiga peristiwa penting iaitu Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah, pembukaan kota Mekah dan wasiat Rasulullah di dalam Haji Wida'.
''Oleh itu umat Islam dan orang Melayu wajar menilai tentang pendirian Pas ini dan jika mereka tetap menolak agenda perpaduan betapa Islam yang mereka bawa itu hanyalah alat yang dipolitikkan semata-mata.

''Fahamilah dengan sebenar-benarnya bahawa risalah Islam yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah tidak pernah menolak dan menghalang agenda perpaduan'' katanya lagi.
Akhirnya, renungi dan hayatilah petikan ayat al-Quran dalam ayat 29 surah al-Fath; "Nabi Muhammad SAW ialah Rasulullah dan orang yang bersama dengan baginda bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).''


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik