Sunday, May 26, 2013

KEBEBASAN MEDIA MESTI BERSYARAT.

By: Ku Seman Ku Hussain.

SEMASA berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU-13) 5 Mei lalu, media sekutu pembangkang Malaysiakini memetik satu kenyataan bahawa pengundi hantu dibawa masuk dari Bangladesh tiba di KLIA. Portal berita ini juga membesar-besarkan kes dakwat kekal luntur dan ini bermakna pengundi boleh mengundi lebih daripada sekali. Malaysiakini juga melaporkan kononnya berlaku bekalan elektrik terputus di sebuah pusat pengiraan undi. Taktik portal ini ialah menyiarkan berita dari Bernama kemudian membuka ruang forum supaya orang ramai menghentam agensi seperti SPR, polis dan tokoh dalam kerajaan.

Sementara akhbar rasmi Pas, Harakah beberapa bulan lalu melaporkan semuka penuh "berita" bahawa saya telah dipecat oleh Kumpulan Utusan kerana bersetuju dengan pembunuhan Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya. Tetapi faktanya saya tidak menerima apa-apa teguran daripada Kumpulan Utusan berhubung tulisan saya itu.

Ini membuktikan berita-berita yang disiarkan oleh media sekutu pembangkang sebahagian besarnya adalah palsu. Hingga hari ini tidak ada petisyen yang dikemukakan mengenai warga Bangladesh yang didakwa pengundi hantu. Tidak ada petisyen mengenai seorang pengundi mengundi lebih sekali kerana dakwat kekal mudah luntur. Dan kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan gambar pusat pengiraan undi terputus bekalan elektrik di media sekutu pembangkang adalah palsu. Mengikut siasatan SPR, gambar itu dilakonkan sebelum PRU-13.

Adakah laporan media sekutu pembangkang seperti contoh di atas menepati etika kewartawanan mesti melaporkan dengan fakta, bukan hanya "dengar khabar"? Pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-pembangkang mendakwa negara ini tidak ada kebebasan media. Ironinya media sekutu mereka bebas melaporkan berita yang ternyata palsu.

Sekiranya tidak ada kebebasan media, sudah tentu Malaysiakini, Malaysian Insider, Harakah atau Suara Keadilan tidak bebas menyiarkan fakta yang direka-reka. Cuba tanya dalam masa lima tahun ini berapa kali Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengheret pemilik media sekutu pembangkang serta pemilik akaun media sosial yang menyebarkan pembohongan ke muka pengadilan?

Negara ini mengamalkan kebebasan media dan kewartawanan yang beretika khususnya media bukan sekutu pembangkang. Tetapi kebebasan itu bersyarat, menyiarkan perkara yang memudaratkan negara tidak boleh dianggap satu kebebasan. Tidak ada tolak ansur terhadap perkara yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Hakikatnya di mana-mana negara di dunia tidak wujud kebebasan media yang mutlak. Kebebasan media adalah bersyarat yang pada asasnya mesti mendukung prinsip keamanan dan kesejahteraan awam. Bebas hingga tidak ada sempadan adalah tidak bebas.

Di AS misalnya, media di sana kelihatan bebas apabila menentang dan menelanjangkan peribadi Presiden. Perkara ini berlaku kerana ada media dikuasai oleh parti yang berlawanan, tidak kira sama ada parti Demokrat atau Republikan. Apabila media mengikut telunjuk parti, tidak ada kebebasan yang dicari. Ini berlaku kepada pembangkang.

Seperkara lagi yang perlu ditekankan ialah definisi "media arus perdana" yang sebelum ini dirujuk kepada Utusan Malaysia, Berita Harian, NST, The Star serta stesen TV3 dan RTM. Definisi ini sudah tidak relevan lagi atas beberapa sebab.

Salah satunya media sekutu pembangkang juga bertaraf arus perdana dari segi jumlah pengikutnya. Pengikut Malaysiakini, Malaysian Insider serta pembaca Harakah kalau disatukan sudah melebihi media yang dikatakan arus perdana sebelum ini.

Ini membuktikan media arus perdana di negara ini dipunyai oleh pembangkang dan kalau media itu tidak bebas, pembangkanglah yang mengongkongnya, bukan kerajaan. Kalau kerajaan mengongkong sudah tentu hayat media itu sudah lama berakhir. Tidak ada kebebasan media mungkin benar apabila media seperti Malaysiakini tidak bebas mengkritik terutama kepada Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Hak asasi

Sebagai makluman, konsep kebebasan media memang ada termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia dan diluluskan oleh PBB pada 10 Disember 1948. Artikel 19 deklarasi ini menyatakan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk bersuara dan memberi pendapat. Bagaimanapun Artikel 29(2) pula menyebut bahawa kebebasan ini tertakluk kepada undang-undang khusus.

Dalam konteks negara ini, kebebasan media tidak dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan, cuma Fasal 10(1)(a) memaktubkan bahawa fasal ini tertakluk kepada Fasal (2),(3) dan (4) iaitu setiap warganegara mempunyai hak untuk memberi pendapat. Ini boleh difahami bukan sahaja memberi pendapat kepada sekelompok yang kecil tetapi disiarkan menerusi media.

Tetapi hak untuk memberi pendapat adalah berbeza dengan menyebarkan fakta palsu yang dianggap kebebasan media oleh sesetengah pihak. Kebebasan media bukanlah bermakna boleh menyebarkan fakta palsu terhadap kerajaan, dan tiada kebebasan media pula apabila kerajaan mengambil tindakan kepada penyebar berita palsu.

Kerajaan perlu mengkaji semula kebebasan yang diberikan kepada media terutama sekutu pembangkang kerana ternyata ini suatu yang tidak adil kepada satu pihak lagi yang mendukung etika kewartawanan demi kesejahteraan negara. Utusan Malaysia misalnya tidak menuntut diberi kebebasan yang mutlak, tetapi pengawasan dan tindakan perlu dikenakan kepada media sekutu pembangkang yang melanggar etika serta menggerakkan agenda meruntuhkan negara.

Pembohongan, fitnah dan pencerobohan sempadan peribadi dilakukan dengan sebebas-bebasnya oleh media sekutu pembangkang. Perbuatan ini boleh mengubah persepsi masyarakat bahawa itu suatu yang benar, dan yang benar dianggap sebaliknya.

Pembangkang menjadikan indeks yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RTB) yang dibiayai oleh penyangak mata wang, George Soros sebagai tanda aras rendahnya kebebasan media di Malaysia. Disebabkan media sekutu pembangkang juga bertaraf arus perdana dan tidak bebas mengkritik pembangkang, itu juga tidak ada kebebasan media.

Utusan Malaysia tidak akan menyembunyikan fakta mengenai rasuah atau jenayah termasuk yang dilakukan oleh pemimpin BN atau ketua jabatan kerajaan. Tetapi media sekutu pembangkang tidak melaporkan fakta mengenai Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang didakwa terlibat dalam jenayah seks luar tabii. Utusan Malaysia tidak ada masalah melaporkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang melibatkan bekas Presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik.

Tetapi media sekutu pembangkang tidak melaporkan mengenai skandal dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP. Pernahkah kita membaca analisis mengenai skandal pemilihan CEC dalam Malaysiakini seperti mereka memusingkan ucapan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nor Abdullah supaya kelihatan rasis?

Malaysiakini ternyata tidak beretika apabila membina persepsi dalam kalangan Cina supaya membenci orang Melayu dengan memesongkan maksud kenyataan Mohd Nor.

Frasa "tidak ada kebebasan media" dijaja di pasaran politik untuk meraih sokongan. Tetapi mereka lupa bahawa pesatnya pertumbuhan media alternatif dan media sosial menandakan wujudnya kebebasan media. Tentera siber seperti Red Bean Army yang dipelihara DAP tidak akan berperanan kalau tidak ada kebebasan kerana media sosial juga adalah media.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik