Saturday, May 11, 2013

KENAPA BIKIN TSUNAMI PILIHANRAYA?

MEMANG sudah menjadi lumrah manusia apabila sudah menikmati segala macam keselesaan dalam kehidupan, mereka menjadi lupa diri. Pada sangkaan mereka semua itu datang secara mudah tanpa melalui sebarang usaha bersusah payah.

Akhirnya timbul pula perasaan tidak puas hati yang kemudiannya dimanipulasi oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri sehingga timbul tuduhan tidak berasas bahawa kaum minoriti di Malaysia ditindas dan dianaktirikan.

Kini sudah terbukti selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menjelaskan segalanya. Gerakan ini sudah mendapat tempat di hati minoriti meskipun pada mulanya ia dianggap telahan. Pelbagai gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mula aktif dan terpengaruh sehingga sanggup mengheret perkara ini kepada demonstrasi jalanan.

Antara isu yang dimainkan adalah negara ini tidak memberikan kebebasan beragama dan melaksanakan ekonomi terkawal yang memberi kelebihan kepada bumiputera sahaja. Meskipun semua tuduhan ini tidak disokong dengan bukti tetapi kita tidak mengambil tindakan segera membendungnya dengan mengetengahkan fakta bagi menyangkal semua tuduhan tidak berasas berkenaan.

Sepatutnya kita bentangkan senario sebenar mengenai perkara itu secara berlapang dada dan disokong dengan fakta yang jelas. Kita rujuk, bentang dan lihat secara realistik daripada jumlah penduduk negara ini yang beragama Islam dengan bilangan masjid dan surau seluruh negara. Kemudian kita lihat pula jumlah penduduk minoriti di negara kita dengan rumah ibadat yang dibina untuk kegunaan mereka. Maka sudah tentu dengan jelas menunjukkan bahawa ia jauh lebih banyak daripada yang dimiliki oleh umat Islam sendiri.

Kita semak pula fakta ekonomi sebagai analisis yang sangat mudah dan mempunyai justifikasi. Kita rujuk senarai 10 orang terkaya di Malaysia jelas menunjukkan hanya dua orang bumiputera yang tersenarai dalamnya dan lapan orang lagi adalah daripada kumpulan minoriti. Malahan kedudukan teratas dalam carta berkenaan adalah diduduki oleh ahli perniagaan berbangsa India yang merupakan minoriti terkecil dalam negara ini.

Selama ini, apa yang menjadi modal kepada setiap tohmahan yang dilempar adalah kerana pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi menstrukturkan semula kedudukan ekonomi negara ini. Dalamnya terkandung hak bumiputera yang dipohon untuk dipegang sebagai amanah kepada mereka sebagai warga asal yang tidak mendapat apa-apa faedah malah terpaksa mengorbankan negara mereka kepada warga asing yang memperolehi hak kewarganegaraan melalui pelaksanaan jus soli yang dipaksakan oleh British sebagai syarat bagi mendapatkan kemerdekaan negara.

Sekiranya kita bertenang dan berlapang minda membaca seluruh agenda DEB maka kita tentu merasa pelik apabila muncul tohmahan itu daripada bangsa lain. Sepatutnya, bumiputera patut bangun menuding jari mengatakan dasar berkenaan adalah sebenarnya tidak adil dan berat sebelah. Apa yang harus berlaku adalah melalui dasar DEB pengagihan kek ekonomi sepatutnya mestilah mengikut komposisi kaum ataupun peratusan ikut majoriti.

Adalah sangat jelas bahawa segala tohmahan dan tuduhan pemerintah dan penduduk negara ini mengamalkan diskriminasi kepada golongan minoriti lebih bersikap buruk sangka dan tuduhan dangkal semata-mata tanpa berasaskan fakta. Kita semua boleh menjangka apa tujuannya semua tuduhan ini direka dan ke mana arah yang ingin dilencongkan pemikiran rakyat negara ini.

Kita boleh katakan bahawa golongan minoriti di negara ini adalah yang paling beruntung dan tentunya patut bersyukur dengan segala macam keistimewaan dan kesenangan yang sedang mereka nikmati ketika ini.

Malahan ketika beberapa siri pilihan raya umum yang diadakan di negara ini, amat jelas membuktikan bahawa kaum bumiputera negara ini sangat terbuka dan tidak mempunyai sikap prejudis terhadap mereka.

Ia terbukti apabila calon-calon daripada parti komponen BN diletakkan di kawasan majoriti bumiputera ternyata beroleh kemenangan dan dapat menewaskan parti lawan. Walhal perkara sebaliknya berlaku bila BN meletakkan calon bumiputera di tempat majoritinya kaum lain.

Ia belum termasuk dasar pendidikan negara yang membenarkan kaum minoriti membuka Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan yang menggunakan bahasa pengantar bahasa ibunda masing-masing malah memberi pelbagai kemudahan bantuan baik dari segi kewangan mahupun guru-gurunya.

Carilah mana-mana negara lain di rantau ini yang memberikan kebebasan dan hak yang sebegini rupa sehingga terpaksa menggadai maruah dan melepaskan Singapura demi menjaga hubungan dengan para pendatang asing yang kononnya telah didiskriminasikan selama ini.

Malah lihat sendiri apa yang berlaku kepada bumiputera yang pernah memiliki Singapura dilayan di tanah asal mereka sendiri oleh mereka yang kononnya maju dan tidak memiliki sikap kiasu? Inilah sebahagian daripada banyak lagi fakta yang mungkin tidak difikirkan secara matang oleh semua pihak. Sehinggakan, apa sahaja kebaikan yang diperolehi mereka tidak disyukuri.

Adalah menjadi kewajipan kepada semua supaya saling bekerjasama dan saling berganding bahu bagi mewujudkan keamanan dan kemakmuran supaya dapat diwariskan kepada anak cucu kita di masa hadapan. Kita tidak mahu menjadi seperti kacang yang lupakan kulit dan menjadi anjing yang menggigit tangan tuan yang melepaskan mereka daripada tersepit.

Pelajarilah nikmat dan rahmat yang tersedia, bukalah mata dan minda dan fahamilah duduk perkara supaya apa yang didengar jangan terus diterima.

Kita perlu tukar segera landskap politik dan kepercayaan yang sangat berbahaya ini bukan dengan cara menukar parti yang memerintah tetapi bantu mereka demi membantu diri kita sendiri. Ingatlah, bahawa bukan hanya diri kita yang ada hati dan perasaan. Kita perlu juga tahu bahawa orang lain juga ada batas dan hak mereka untuk dipertahankan. Jadilah warganegara yang bersyukur dan sudi berkongsi dengan ikhlas dan bukan saling berdengki.

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik