Friday, May 24, 2013

KENAPA FOBIA APOLOGETIK DAN BERBALAH LAGI?

JBy: Ahmad Zaki Ismail.

TINGKAH laku rakan kongsi kita yang selama ini ditatang dalam dulang emas dibalas dengan tuba, cemuhan dan hinaan. Tidak cukup menghentam akhbar ini, para penulis yang menyumbang buah fikiran dan artikel mereka diekori, dicari dikesan dan dimusnahkan dengan pelbagai cara, baik dari segi serangan siber, menekan dalam perniagaan, mencari salah, membuat pelbagai tuduhan, menghantar pelbagai laporan kepada pelbagai agensi kerajaan yang semuanya dikuasai anak bangsa sendiri dan malangnya mereka termakan dengan hasutan ini.

Tragedi pembunuhan personaliti dilakukan terhadap penulis, ditohmah, malah mencantas peluang perniagaan dan menghasut rakan perniagaan menyebabkan penulis terbungkang keseorangan. Kini akaun FB pula diserang apabila menghentam secara terang-terangan kes penjualan pangkat kehormat RELA dan penyalahgunaan kuasa didedahkan.

Memang terasa sedih dan kecewa dalam keadaan ini, mereka yang terlibat begitu bermaharaja lela membuat kenyataan akhbar seolah-olah RELA milik mereka dan boleh mengeluarkan kenyataan rasmi dengan memakai seragamnya.

Teguran ini membawa padah kepada individu yang memperkatakannya tetapi mereka yang berkenaan seolah-olah mendapat pembelaan.

Meskipun pernah diberi teguran dalam pemberian pangkat kehormat yang dilihat secara wewenang dengan ranking tertinggi yang tidak masuk akal, kononnya ada muslihat untuk menarik sokongan kepada kerajaan. Walhal, sejarah penubuhan dan perkara yang berkaitan yang tersirat mengenai organisasi ini tidak pernah dihirau dan diambil faham oleh mereka yang berkaitan.

Kini nasi sudah menjadi bubur, lebih buruk lagi akan dibiarkan menjadi basi berkulat seterusnya membiakkan virus sekiranya tidak segera diambil tindakan susulan.

Saban masa, orang lain menghentam kiri dan kanan kita. Malangnya sebahagian besar daripada kita bukan sahaja tidak bersimpati tetapi turut bertepuk sorak. Lebih buruk lagi turut masuk menyertainya menginjak, menindih, menindas dan memenyek habis sekumpulan manusia yang sudah sedar dan tangkas berjuang mempertahan dan mengambil balik apa yang sudah dirampas daripada kita semua. Ini kalilah kita buktikan bahawa tunduk bukan untuk dipijak, undur bukan mengalah.

Atas nama ketelusan, atas nama menjaga ketenteraman, keamanan dan sebagainya orang seperti penulis disekat kebebasan tetapi tidak kepada mereka yang secara terang menghentam kita di media alternatif berkenaan. Kita ternyata bertindak berseorangan, mereka bergerak secara berkumpulan.

Kita sentiasa percaya apa yang dilaporkan tanpa sebarang usul periksa. Terus ambil tindakan, bangkrapkan, gantung projek, tarik pinjaman, sekat perjalanan. Itu kuasa siapa sebenarnya?

Kita memohon kadang kala mengemis dan merayu untuk beroleh sesuap nasi dan bertanding dengan gergasi dalam pelbagai bidang. Pernahkah kita mendapat sebarang keistimewaan sebagai aktivis atau pejuang bangsa.

Tepuk dada dan tanyalah selera kepimpinan baru negara, kami sudah memperjuangkan anda semua dan sudah terselamat daripada jurang kebinasaan. Jangan silap percaturan kerana kami tidak pandai bersandiwara dan menonjolkan diri meminta-minta. Tetapi kami juga ada mata, telinga dan hati untuk terasa bahawa memang sumbangan selama ini sudah dipandang sepi.

Tengok sahajalah barisan kabinet yang ada ini. Lihat dan nilai sendiri di mana letaknya para pejuang yang sanggup hara-kiri. Orang lain yang makan nangka orang lain yang dapat getahnya, memang sudah tiba masanya kita orak langkah bercakap besar, melaung sana sini, cari pasal dan buat riuh rendah supaya orang atas boleh nampak dan boleh dengar sebab kita sudah tidak ada organisasi yang sanggup menjadi mata dan telinga kerajaan sebab mereka sudah dibuta dan dibisukan adanya.

Para pegawai kanan kerajaan, peneraju GLC, peneraju institusi perbankan milik negara, bukalah mata, buka minda dan buka hati. Anda jangan jadi pengkhianat, anda jangan jadi gunting dalam lipatan dan anda jangan menolak tangga dan berjuntai kaki setelah anda berada di puncak.

Segala tulisan ini tidak lagi bersifat apologetik dan kata-kata berlapik kerana orang Melayu moden sekarang tidak memahami bahasa berkias. Mereka cuma faham bahasa maki hamun dan keras pedas.

Kita sudah hilang nama-nama besar bank seperti Bank Bumiputra, kita sudah korbankan bahasa Melayu dengan merelakannya menjadi bahasa Malaysia, kita sudah hampir membunuh peranan Dewan Bahasa dan Pustaka, kini kita sedang beransur-ansur membunuh Utusan Malaysia.

Kenapa bukan Berita Harian, NSTP tentu anda semua yang berjuang faham kenapa dan bagaimana sejarah yang berbeza dulu kini dan selamanya.

Apa sahaja tuduhan yang bakal dilemparkan, apa sahaja tohmahan yang bakal diterima sudah dianggap mangli dan tidak memberi kesan dan bekas.

Ini saja senjata yang masih bersisa -- sebuah akhbar kalam kita. Kalau ini pun kita tuduh dengan pelbagai agenda, maka keluar sahajalah daripada menjadi anak bangsa. Jadilah pengkhianat jadilah laknat.

Bangun, buka mata, buka minda - kita adalah anak merdeka. Lita adalah tuan kepada diri kita, kenapa biarkan orang lain memperkulikan kita. Betulkan saf, mari teruskan perjuangan yang belum selesai kerana sesungguhnya Melayu Tidak Pernah Lupa seperti mana pelanduk yang boleh melupakan jeratnya.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik