Saturday, May 18, 2013

USAHA DAMAIKAN ANWAR-NAJIB HANYA SIA-SIA.



Keratan Utusan Malaysia, semalam.

Usaha mendamaikan perseteruan politik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dilakukan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla disifatkan satu tindakan sia-sia dan membuang masa.

Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, usaha itu juga dianggap mengarut kerana umum mengetahui bahawa Anwar telah sekian lama begitu rapat dengan Jusuf.

"Saya amat yakin usaha yang mahu dirintis Jusuf ini telah diminta dilakukan oleh Anwar sendiri. Sebab kita di Malaysia sekarang ini, semua orang bercakap mengenai perpaduan UMNO dan Pas yang mewakili orang Islam.

"Jadi ini membuatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terpinggir kerana amat jelas dan nyata bahawa PKR bukan parti mewakili Melayu mahupun Islam dan tiada siapa yang mahu peduli tentang penyatuan dengan PKR.

"Oleh itu PKR sudah tersepit dan terpinggir maka orang yang dikatakan mempunyai imej baik untuk usaha perdamaian ini adalah Jusuf," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas usaha yang sedang dirintis Jusuf itu atas dasar Najib dan Anwar adalah sahabat baik dan bagi menjaga kepentingan Malaysia serta Indonesia.

Walaubagaimanapun, usaha yang dirintis oleh Jusuf itu masih menemui jalan buntu kerana dipercayai ekoran keengganan Anwar sendiri menerima keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang telah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

Ismail Mina berkata, disebabkan usaha tersebut adalah satu yang sia-sia untuk dilakukan, Najib sewajarnya memberi tumpuan kepada proses membangunkan negara yang lebih rancak selepas berakhirnya PRU-13.

"Lebih penting, usaha menyatukan UMNO dan Pas wajar diperhebatkan bukannya mendamaikan Najib dan Anwar. Kami dalam Muafakat sememangnya menyokong usaha perpaduan UMNO dan Pas," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, Anwar terlalu taksub untuk berkuasa sehingga tidak mahu menerima hakikat kekalahan pembangkang pada PRU-13 lalu.

Katanya, disebabkan sikapnya itu, maka sudah pasti usaha perdamaian antara beliau dengan sesiapa juga akan menemui jalan buntu.

"Pada saya, kerjasama dengan mana-mana parti politik juga boleh diwujudkan dalam usaha penyatuan nasional. Usaha ini wajar supaya kita dapat kurangkan politiking yang menambah jurang sesama kita sehingga timbul konflik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik