Tuesday, May 21, 2013

KETEGASAN ZAHID ADA ASASNYA.


By: Shahbudin Embun.

Dalam keadaan dan persekitaran politik hari ini, sudah tentunya ada yang menganggap kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dianggap sebagai sesuatu yang ekstrem.

Namun pada masa yang sama, kita juga perlu melihat ketegasan kenyataan daripada seorang menteri yang menjaga hal ehwal dalam negeri.

Bagi Zahid, yang penting bukan elemen populist, tetapi tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada beliau oleh Perdana Menteri.

Kita perlukan seorang menteri yang tegas. Dalam hal ini, mereka yang terlibat dengan pilihan raya dan juga rakyat Malaysia umumnya sudah tahu akan sistem demokrasi dan pemilihan kerajaan yang sudah lama diamalkan.

Sebab itu penulis bersetuju sangat akan kenyataan Zahid bahawa: "Jika golongan ini mahu menerima pakai single transferable vote yang digunakan oleh negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka.

"Malaysia bukan negara untuk menterjemahkan kepercayaan politik mereka. Jika benar setia kepada negara, mereka kena terima sistem politik yang membentuk kerajaan sedia ada kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,"

Ya, apa yang Zahid perjuangkan ialah sesuatu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sistem pilihan raya kita yang sudah dijalankan sebanyak 13 kali adalah berasaskan acuan yang diperkenalkan oleh kerajaan British.

Kemenangan adalah berpandukan kepada parti yang memenangi kerusi yang paling banyak dan bukannya undi popular.

Kalau dalam bahasa bola sepak, kemenangan ditentukan oleh jaringan gol. Pasukan itu mungkin menguasai 95 peratus permainan dan rembatan 10 kali kena palang gol, tetapi jika pasukan lawan menjaringkan gol lebih banyak, maka pasukan lawan itu dikira pemenang.

Dan jika pasukan yang tewas tidak boleh menerima keputusan itu, maka tidak perlu untuk pasukan tersebut bermain bola sepak lagi, kerana itulah peraturannya yang telah lama dipersetujui.

Jika ada pihak yang tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya dan mahu mengemukakan petisyen, sila lakukannya dan biarkan mahkamah yang membuat keputusan. Itulah apa yang mahu dinyatakan oleh Zahid juga.

Kenapa tiba-tiba undi popular pula yang dibangkitkan. Ini bukannya pertandingan realiti nyanyian yang ditentukan oleh undian sms. Ini jelas membuktikan bahawa pihak pembangkang tidak menghormati peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Mungkin ada pihak yang beranggapan cadangan agar berhijrah ke negara republik itu dilihat sebagai saranan yang mengikut perasaan dan tidak sepatutnya dilaungkan oleh seorang menteri.

Namun mengikut perkiraan penulis, ini merupakan satu kenyataan yang tegas dan tidak takut. Ia satu kenyataan yang begitu berani menyaran kepada semua pihak agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ada.

Jika kenyataan itu membuatkan beliau dibenci, bagi Zahid, itu tidak penting. Yang lebih penting ialah soal kedaulatan dan keamanan negara!

Dan ada masanya kita perlu membuat sesuatu kenyataan yang kontroversi untuk mengajak semua rakyat berfikir.

Itu sebabnya Zahid tidak perlu meminta maaf dan selepas ini Zahid hanya perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Menteri Dalam Negeri dan bukannya melayan perasaan tidak puas hati tentang apa yang dinyatakannya.

Zahid telah pun membuat penjelasan tentang kenyataannya itu dan semua pihak perlu menghormati pendirian beliau. Sesiapa yang mengenali Zahid, tahu bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang praktikal, tegas dan berani.

Kita dapat lihat bagaimana ketegasan beliau sebagai Menteri Pertahanan semasa menangani isu Lahad Datu, Sabah. Dan sebab itu, diulangi sekali lagi bahawa keputusan meletakkan Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri adalah satu keputusan yang tepat oleh Perdana Menteri.

Bagi Zahid, keamanan negara adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dan saya yakin majoriti rakyat Malaysia setuju dengan Zahid bahawa soal keamanan negara perlu menjadi agenda utama.
Jika Zahid tidak bersuara, maka akan lebih banyak pihak yang "naik toncang" dan akhirnya akan menghuru-harakan negara ini.

Penulis juga yakin ramai penyokong pihak pembangkang yang sudah menerima keputusan PRU-13 yang lalu. Mereka juga menerima hakikat bahawa sistem pemilihan kerajaan kita adalah berdasarkan sistem yang sudah lama dipraktikkan.

Kepada golongan ini, penulis hormati kerana mereka faham dengan sistem yang diamalkan. Apa yang menjadi masalah ialah golongan yang menggunakan isu undi popular sebagai satu isu untuk meraih simpati.
Penulis ingin bertanyakan soalan kepada golongan ini. Jika perkara yang sebaliknya berlaku, adakah pihak pembangkang akan menyatakan yang mereka tidak berhak untuk menerajui kerajaan. Bahkan jika ditakdirkan pada PRU-13 yang lalu, pihak pembangkang hanya menang dengan satu kerusi dan tewas undi popular, mereka juga akan menjerit ke seluruh pelosok tanah air dan menegaskan bahawa sistem pilihan raya di Malaysia adalah yang terbaik. Tetapi apabila kalah, semuanya tidak kena.

Itu sebabnya golongan ini cuba menjadikan kenyataan Zahid sebagai satu isu untuk menutup kelemahan mereka sendiri. Itulah hakikatnya. Kepada Zahid Hamidi, syabas diucapkan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik