Thursday, May 16, 2013

KEUNIKAN PERLANTIKAN MENTERI BESAR SELANGOR.

By: Dr Hasan Mohamed Ali.

Mewakili JATI, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah dilantik semula menjadi Dato Menteri Besar Selangor.

Walaupun di peringkat awalnya perlantikan Menteri Besar Selangor diselubungi oleh pelbagai isu yang sebahagiannya bukan sahaja melibatkan individu yang berminat menawarkan diri sebagai orang yang paling layak menjawat jawatan itu tetapi telah melarat kepada polemik melibatkan dua komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS dan PKR.

Dilaporkan Azmin Ali begitu berminat dan menaruh cita-cita tinggi untuk menjadi Menteri Besar hingga dikatakan mengeluarkan ugutan untuk meninggalkan PKR bersama-sama dengan ahli-ahli Parlimen dan ADUN yang sebahagian besarnya calon-calon yang dikenal pasti oleh Azmin. Suasana berubah bila dalam sidang media yang diadakan, Azmin mengubah pendirian dan mengeluarkan kenyataan kononnya menyokong pencalonan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

PAS Pusat pula dengan budaya tawadhu’nya melepaskan peluang keemasan untuk menerajui Selangor dengan tidak mengemukakan sebarang nama mewakili Parti Islam itu walaupun diminta oleh pihak Istana. Sebaliknya telah bertindak menyokong kuat Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menduduki kerusi panas itu. Walaupun pada masa yang sama rakyat Selangor khasnya menyaksikan bagaimana terdapat seorang ADUN PAS yang memang sudah lama berangan-angan untuk menjadi ahli EXCO tanpa segan silu menawarkan dirinya untuk menjadi calon Menteri Besar. Sudah tentu tawaran yang dibuat itu bercanggah dengan prinsip tawadhu’ yang dipaparkan oleh pimpinan PAS Pusat khasnya Tuan Guru Presiden parti.

JATI mengikuti dengan penuh minat perkembangan seterusnya hinggalah ke saat majlis mengangkat sumpah dihadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang berlangsung di Istana Alam Shah, Bandar Di Raja Kelang.

Buat pertama kalinya rakyat menyaksikan upacara mengangkat sumpah yang lain daripada yang lain. Menteri Besar yang menggunakan pakaian Melayu lengkap bersampin dan bertengkolok sambil memengang tombak di tangan kanan dan memegang teks sumpah setia di tangan kiri melafazkan kalimat sumpah taat setia seperti yang lazim dilakukan.

Yang jelas membezakan Upacara Mengangkat Sumpah Menteri Besar Selangor dengan negeri-negeri lain ialah Menteri Besar Selangor dikehendaki membaca 10 akujanji di hadapan Baginda Tuanku, Pembesar-Pembesar Negeri dan tetamu-tetamu yang hadir.

Sekali imbas kami di JATI berasa gembira dan terharu terhadap kandungan akujanji yang dibacakan disebabkan keseluruhan teks akujanji itu dari segi semangatnya saling tak tumpah seperti apa yang diperjuangkan oleh JATI selama ini. IMR (Islam, Melayu, Raja) yang diperjuangkan oleh JATI itulah sebenarnya yang menjadikan katakunci kepada teks akujanji yang dibacakan.

Persoalannya sama ada roh dan perlaksanaan sumpah itu apakah hanya bergema di Balairong Seri sahaja. Sebahagian daripada kita mengetahui selama tempoh lima tahun sebelum ini, Tan Sri Khalid Ibrahim menggunakan pendekatan badan korporat untuk mentadbir Selangor.

Kebanyakan keputusan dibuat oleh beliau secara unilateral tanpa merujuk kepada anggota-anggota Exco. Kalaupun ada percubaan untuk membuat rujukan ianya hanya merupakan tindakan formaliti mengikut peraturan pentadbiran negeri yang sedia ada.

JATI berpendapat supaya dapat diwujudkan satu majlis perunding mengandungi individu-individu bebas yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam berbagai bidang pentadbiran negeri untuk secara berkala membuat penilaian terhadap tindakan-tindakan yang di ambil oleh Tan Sri Khalid Ibrahim atas sifatnya sebagai Dato Menteri Besar Selangor. Badan penilai tersebut dapat melaporkan secara objektif samada Tan Sri Khalid Ibrahim yang membacakan akujanji itu benar-benar memahami, menghayati dan sanggup melaksanakan mengikut apa yang dikehendaki oleh kandungan akujanji tersebut.

Badan penilai tersebut boleh membuat perakuan kepada pihak Istana mengenai kedudukan Menteri Besar sekiranya didapati berlakunya keingkaran dan ketidakpatuhan terhadap isi kandungan akujanji tersebut.

Apapun JATI merasakan pembacaan akujanji yang dipelopori oleh Negeri Selangor mungkin boleh dijadikan salah satu acara rasmi perlantikan Menteri Besar dan Ketua Eksektif Negeri yang lain demi menjamin bahawa tonggak-tonggak asas Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri dapat terus dipertahan dan dimartabatkan.

Atas hasrat untuk melihat IMR (Islam-Melayu-Raja) terus berada dipersadanya pimpinan JATI bersedia untuk berbincang dan memberikan buah fikiran mengenai caramana prinsip IMR dapat disubur dan terus dilembagakan di negeri Selangor. JATI berharap pejabat Dato Menteri Besar sentiasa terbuka untuk menerima delegasi JATI sekiranya keadaan memerlukan.

Sebagai ujian pertama kepada kesungguhan dan keikhlasan Tan Sri Khalid Ibrahim terhadap akujanji yang dibacakannya, rakyat Selangor ingin melihat bentuk tindakan yang bakal diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap kebiadaban pihak gereja NECF (The National Evangelical Christian Fellowship) yang telah dengan sengaja menggunakan Kalimah Allah dalam mesej agama mereka. JATI telahpun membuat laporan kepada pihak polis dan JAIS di atas tindakan pihak gereja tersebut yang secara terang telah melanggar Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor.

Mudah-mudahan isu ini dapat ditangani dengan sebijaksana mungkin dengan sama sekali tidak mengenepikan hasrat dan jiwa murni yang dipandu dengan keimanan oleh rakyat Selangor khususnya yang beragama Islam.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik