Wednesday, May 29, 2013

KISAH PRNYOKONG TEGAR.....

By: Fauziah Arof.

KATA seorang kawan saya, dia telah hilang ramai kawan dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sehingga tamatnya pilihan raya berkenaan. Dia juga menjangkakan hilang lebih ramai lagi kawannya dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, katanya, dia sedikit pun tidak kisah hilang ramai kawan atas nama kebenaran kononnya. Ya, bunyinya amat besar.

Walaupun PRU-13 sudah lama berlalu, dia tidak letih mengulas dan tidak habis-habis bercakap mengenai rasa kecewa dan rasa tidak puas hatinya di atas kekalahan parti yang disokongnya. Setiap jam dia akan terus mengulas tidak habis-habis di Facebook dan Twitter miliknya.

Gambar profail di Facebooknya yang dulu segak di hadapan motor besar dan ada kalanya diselang seli dengan gambar Harimau Malaya sudah ditukar jadi gelap hitam. Apa sahaja gambar, video dan artikel yang tidak sahih, kononnya berlakunya penyelewengan dalam PRU-13 dikongsi dan dikomen, siap dengan maki hamun.

Cerita-ceritanya asyik berpusing-pusing pasal pengundi hantu, blackout, penipuan yang dilakukan oleh kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dakwat kekal.

Walaupun sudah ada banyak penerangan mengenainya. Dia tidak minat untuk membacanya. Kerana penerangan itu hanya mahu disiarkan oleh media arus perdana sedangkan kepercayaannya hanya pada media dan blogger propembangkang yang tentu tidak menyiarkannya. Apa yang ditulis oleh media kepercayaannya itu, kepadanya itulah dia yang betul-betul sahih dan betul-betul berlaku. Yang lain semuanya jenis putar alam saja.

Sesiapa saja kawan-kawannya yang memberi pendapat yang tidak sehaluan dengannya dalam media sosial itu, akan dipadam atau unfriend. Dulu elok-elok dia boleh melepak atau ngeteh bersama kawan-kawan di warung mamak sambil tengok bola, sekarang sudah buat hal masing-masing. Dulu dia dan kawan-kawannyalah penyokong tegar pasukan Liverpool yang sama-sama berkongsi kekecewaan ketika pasukan itu kalah.

Dan, akuinya lagi, dia juga sampai sekarang tidak bertegur sapa dengan adik-beradiknya dan beberapa saudara-maranya yang lain. Yang ini, katanya, tidak langsung merisaukannya. Nanti bila Hari Raya bolehlah bermaaf-maafan sambil menangis dan berpeluk-pelukkan.

Kata saya pula, PRU-13 sudah lama habis. Yang menang itu dah tetap menang. Jika dia terus bergaduh dan menambah musuh dengan ramai lagi kawan hanya kerana perbezaan pendapat dan sokongan pada parti politik ini, tindakan ini tidak dapat mengubah apa-apa pun keputusan PRU. Akhirnya, apa yang dia dapat? Yang jelas dapat musuh saja.

Saya katakan kepadanya, baik terima saja kenyataan atau kalau tidak boleh terima pun, duduk diam-diam, jalani kehidupan seperti biasa bersama keluarga dan kawan-kawan dan tunggu lima tahun lagi untuk mengundi. Jangan cari musuh keliling pinggang hanya pasal sokong parti politik.

Tetapi dia tetap begitulah. Dan saya pun tahu, betapa membuang masa saja bercakap dengan penyokong-penyokong tegar mana-mana parti politik ini. Mereka tidak akan mahu kalah bila berhujah. Sebelum saya pun hilang kawan, lebih baik saya berhenti menasihat.

Begitulah terlalu taksubnya sesetengah dalam kalangan kita apabila bercakap mengenai politik. Biar hilang kawan, biar hilang adik beradik, saudara-mara dan hilang kewarasan berfikir asalkan dapat menegakkan parti politik yang mereka sokong.

Mereka mahu menegakkan kebenaran dan keadilan, tetapi bila pihak yang benar-benar terlibat dalam sesuatu yang didakwa ada penyelewengan itu, beri penjelasan dan penerangan, dikata karut pula.

Dan bila berbeza fahaman politik, budi bahasa pun hilang entah ke mana. Baik yang berpelajaran tinggi sampai keluar negara hinggalah yang lulus setakat Sijil Pelajaran Malaysia, bila sudah menjadi penyokong tegar mana-mana parti politik , segala ayat-ayat tidak beradab boleh saja keluar, tidak kiralah apa bangsa pun, hanya kerana perbezaan ideologi politik ini.

Maka sudah tentunya, tiada apa salah dan ruginya selepas PRU-13 ini, segala yang keruh dijernihkan semula. Berbaik-baik semula seperti sedia kala. Tidak kiralah anda penyokong-penyokong dari parti politik mana.

Sedangkan di Bangunan Parlimen pun, Ahli-Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang boleh duduk bersama ketika waktu makan dan berbual seperti biasa sesama mereka. Pemimpin-pemimpin yang berlainan ideologi politik ini pun juga ziarah menziarahi sesama mereka ketika sakit. Inikan pula anda penyokong-penyokong tegar yang hanya kecoh berperang dalam media sosial. Jangan berlebih-lebihlah. Jangan beremosi. Usah lebih sudu daripada kuah!


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik