Wednesday, May 15, 2013

LEBIH BANYAK PEMBOHONGAN DIBANGKITKAN.

By:  Musdalifah Mustapha.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-13 jelas menunjukkan sebahagian besar pengundi Melayu setia kepada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO. Dan pembangkang gagal menghasut orang Melayu membenci kerajaan.

Kejayaan UMNO memenangi 88 kerusi Parlimen berbanding 79 kerusi pada pilihan raya umum lalu memperlihatkan sokongan orang Melayu terhadap parti yang menjadi tonggak orang Melayu itu semakin meningkat.

Meskipun diasak dengan fitnah dan dakyah pembangkang yang disebarkan secara meluas terutama melalui media sosial, ternyata majoriti orang Melayu tidak mempercayai pembohongan pembangkang itu. Bagi sebahagian besar daripada mereka, semua itu putar belit pembangkang untuk meraih undi.

Isu inilah antara perkara yang dibincang dalam Persidangan Meja Bulat Mengenai Politik dan Kerajaan Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 'Ke mana Arah Tuju Kita' anjuran Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Sabtu lalu.

Ia turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Abdul Rahman Sulaiman; bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Mohd. Shahrir Samad.

Presiden Mubarak, Tan Sri Aziz Abdul Rahman Aziz mengakui sememangnya sukar untuk berperang dengan kumpulan cyber troopers pembangkang semasa kempen pilihan raya umum lalu.

Ini kerana pakatan pembangkang telah lama mempersiapkan tentera sibernya bagi mewujudkan sentimen politik kebencian terhadap BN dan UMNO. Dan sentimen itu berjaya ditanam dalam jiwa penyokong-penyokong mereka khususnya golongan muda.

Pengaruh media sosial yang begitu kuat itu kini telah mewujudkan 'perang persepsi' dalam kalangan masyarakat terutama apabila ia telah berjaya membentuk pemikiran baharu sehingga memberikan impak besar kepada keputusan pilihan raya umum lalu.

"Bahaya perang di media baru ini ialah apabila sebegitu banyak maklumat disebarkan pembangkang dengan kebanyakannya tidak benar dan tanpa fakta sahih, tetapi masih ramai yang memilih untuk mempercayainya," katanya pada persidangan tersebut.

Pemikiran masyarakat khususnya generasi muda jelas beliau, telah dimanipulasi melalui media sosial itu. Lantaran mudah mendapat akses Internet, terdapat kecenderungan untuk mempercayainya walaupun tanpa bukti yang sahih.

Dalam hal ini, menurut Abdul Aziz, generasi muda perlu dididik supaya memahami sejarah agar mereka mempunyai jati diri yang kuat, sekali gus dapat menangkis segala pembohongan dan provokasi pembangkang itu.

BN juga jelas beliau, harus mengambil perhatian serius terhadap perkara itu dengan mewujudkan satu pasukan yang benar-benar profesional dan pakar untuk menyertai perang siber pembangkang itu sekali gus menangkis segala dakyah yang disebarkan dengan cara yang berhemah.

Perkara ini turut dibimbangi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang merasakan provokasi pembangkang khususnya yang melibatkan isu perkauman di laman sosial kini boleh menggugat perpaduan negara.

Katanya, provokasi sedemikian boleh memecahkan perpaduan kaum jika tidak ditangani dengan berhati-hati selain boleh menimbulkan masalah dari segi keselamatan.

Selain itu, ahli panel juga mencadangkan supaya kerajaan melantik seorang jurucakap umpamanya dalam kalangan menteri untuk memberi reaksi kepada isu-isu jalanan yang pada hakikatnya merupakan perkara remeh yang sengaja diperbesar-besarkan oleh pembangkang yang kecewa dengan keputusan pilihan raya .

Isu-isu remeh itu dibangkitkan pembangkang atas rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, tidak wajar dilayan kerana ia ditimbulkan hanya sebagai propaganda untuk menarik sokongan dan simpati rakyat.

Tindakan pembangkang mengadakan perhimpunan dan demonstrasi kononnya sebagai membantah keputusan pilihan raya yang tidak adil dan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menipu, hanya mainan politik pembangkang untuk menimbulkan kekacauan. Memadai perkara itu dijawab oleh seorang jurucakap kerajaan sahaja.

Hakikatnya, banyak yang perlu dipelajari dan diteliti daripada pilihan raya umum lalu. Bagi Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim, pilihan raya lalu menunjukkan peningkatan ketara sokongan bukan Melayu terutama Cina kepada parti pembangkang.

Menurutnya, situasi itu sebenarnya membimbangkan kerana jika DAP berjaya mendapat lebih banyak sokongan daripada masyarakat Tionghua pada masa depan, pakatan pembangkang berkemungkinan boleh merampas lebih banyak negeri.

"Tetapi jika Pas bersedia bergabung dengan BN maka hasrat pembangkang untuk mengangkat salah seorang pemimpinnya sebagai Perdana Menteri tidak akan tercapai.'' katanya.

Beliau berpendapat usaha tersebut adalah jalan terbaik bagi mengembalikan kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan negara.

Apa pun, bagi ahli panel persidangan meja bulat itu, BN mahupun UMNO perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi serangan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang kerana lebih banyak pembohongan dijangka dibangkitkan oleh mereka.

Selain itu, para pemimpin BN terutama wakil rakyat yang bakal mendapat tempat dalam Kabinet yang akan dibentuk beberapa hari lagi bersikap tegas dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.

Mereka perlu tegas dalam membuat keputusan, tidak teragak-agak dan dalam masa sama jangan takut untuk kehilangan sokongan jika keputusan yang dibuat dianggap tidak popular.

Bagi mereka, yang penting keputusan dibuat adalah untuk kepentingan rakyat terutama orang Melayu. Keputusan yang dibuat pada hari ini akan menentukan bentuk sokongan yang bakal diterima kelak.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik