Thursday, May 16, 2013

MAJORITI SUDAH BERSUARA, AYUH TERUS MELANGKAH.

RAKYAT Malaysia mengharungi satu pilihan raya umum yang amat sengit baru-baru ini. Ia melibatkan pertarungan melalui pelbagai platform, selama beberapa hari dan merangkumi beraneka isu.

Semua ini membuktikan dengan jelas bahawa demokrasi di Malaysia berkembang mekar dan subur.

Kerajaan baharu sudah ditubuhkan. Kini, rakyat daripada segenap lapisan mengharapkan agar Kabinet yang dibentuk kelak dianggotai para pemimpin yang bukan sahaja berkebolehan tinggi, tetapi juga akan memastikan kehendak majoriti warganegara seperti yang dipamerkan melalui peti undi, menjadi kenyataan berdasarkan usaha dan tindakan mereka.

Kerajaan baharu ini bukan sahaja perlu mengambil kira pandangan mereka yang meletakkan semula Barisan Nasional (BN) di singgahsana kuasa, tetapi juga golongan yang tidak memberi undi kepada parti gabungan itu.

Seperti yang dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejurus setelah selesainya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), beliau adalah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Sebenarnya, itulah peranan dan fungsi kerajaan. Pada hari, bulan dan tahun yang akan datang, ia bertanggungjawab untuk memenuhi segala aku janji yang diikrarkannya sebelum pilihan raya dulu.

Bagi rakyat pula, mereka berkewajipan mengotakan ikrar mereka untuk sentiasa setia kepada raja dan negara serta mematuhi semua lunas undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.

Bagi masyarakat sivil pula, ia mempunyai peranan tambahan yang perlu dilaksanakan. Peranan yang dimaksudkan ialah mendidik orang ramai tentang hak mereka dan tidak kurang pentingnya, tentang tanggungjawab mereka dalam sebuah masyarakat demokratik. Antara tanggungjawab ini ialah menghormati kekeramatan undi serta menjunjung tinggi keazaman rakyat.

Malangnya, inilah sesuatu yang sukar difahami sesetengah mereka yang mengalami kekalahan pada PRU-13.

Sesetengah ahli politik berkenaan telah berkempen bermatian-matian, termasuk untuk melakukan transformasi terhadap instrumen demokrasi. Tetapi, anehnya, kini ahli politik yang sama juga menolak asas paling utama dalam proses demokrasi dan enggan menerima keputusan rakyat.

Pada tepat pukul 12.50 pagi Isnin, 6 Mei 2013, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan BN memperoleh majoriti mudah dengan memenangi 112 kerusi Parlimen. Rakyat telah menyuarakan hasrat mereka.

Mulai detik itu, kehendak rakyat perlu dihormati - tanpa sebarang alasan, syarat dan penangguhan. Sejajar dengan itu, sebagai satu daripada tiga cabang kerajaan, badan eksekutif perlu dibenarkan berfungsi tanpa sebarang halangan.

Satu lagi tonggak utama demokrasi ialah mereka yang berasa terkilan atau ingin mencabar keputusan pilihan raya diberi ruang untuk menyuarakannya kepada cabang kedua kerajaan iautu badan kehakiman.

Mereka boleh bawa segala perkara yang mereka rasa tidak puas hati itu kepada mahkamah dengan mengemukakan bukti yang diperlukan agar undang-undang boleh membuat keputusan mengenainya. Badan kehakiman tidak akan sekali-kali bersikap berat sebelah.

Kebebasan badan kehakiman dapat dilihat dengan jelas kebelakangan ini apabila banyak kes yang dikendalikannya tidak menyebelahi kerajaan dan ahli politik daripada parti pemerintah.

Oleh itu, mengadakan perhimpunan bagi membantah keputusan pilihan raya merupakan perbuatan yang menyalah guna proses undang-undang. Ia secara terang-terangan merupakan penolakan terhadap sistem yang sesetengah ahli politik mendapat manfaat daripadanya.

Tindakan pihak yang menggunakan kaedah separa undang-undang untuk mengubah keputusan pilihan raya dan menggulingkan kerajaan, dengan jelas mempamerkan sikap mereka yang tidak mempedulikan kehendak berjuta-juta pemilih yang mengundi pada PRU-13 serta tidak menghormati kedaulatan undang-undang.

Masyarakat sivil perlu menolak dakwaan anasir ini yang bersikap memilih dalam menerima keputusan pilihan raya. Wajarkah kita menerima mereka yang berpendirian hanya menerima keputusan pilihan raya yang menyebelahi mereka, tetapi menolak keputusan yang tidak memihak kepada mereka?

Masyarakat sivil perlu mendidik rakyat supaya menolak mereka yang bersikap tamak dan tidak boleh menerima kenyataan.

Jika rakyat negara ini bersikap hanya bersedia menerima keputusan yang memenuhi hawa nafsu mereka semata-mata dan menolak sesuatu keputusan yang tidak menyebelahi mereka, maka sesuatu yang pasti ialah sikap ini akan memusnahkan semua kebaikan yang diperjuangkan dan dibina di negara ini sejak merdeka dulu.

PRU-13 jelas sekali diadakan secara adil dan bebas, seperti yang dinyatakan pemerhati dari dalam dan luar negara.

Lima hari selepas PRU-13, tiada kes penyelewengan secara serius dibuktikan berlaku, kecuali beberapa kes pemilih yang sah dihalang daripada mengundi atas dakwaaan tidak berasas kononnya mereka adalah rakyat asing.

Bukti jelas bahawa pilihan raya umum baru-baru ini diadakan secara adil dapat dilihat apabila pembangkang mampu meraih jumlah undi yang lebih banyak daripada yang mereka peroleh pada 2008.

Sebagai sebuah negara bangsa, kita telah melakar banyak kejayaan sejak pilihan raya pertama diadakan pada 1959.

Walaupun kita mencatat pelbagai pencapaian cemerlang setakat ini, namun banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum kita dapat mencapai Wawasan 2020.

Hakikatnya, rakyat sudah bersuara, maka hormatilah keputusan mereka. Marilah kita sama-sama terus melangkah ke hadapan. 

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik