Thursday, May 9, 2013

MALAYSIA DI PERSIMPANGAN.

By: Zulkifli Jalil.

MALAYSIA kini berada di satu persimpangan - terutamanya dalam menjadikan kerajaan dan politik kembali makmur dalam satu gabungan kemasyarakatan dan politik yang meyakinkan.

Pakatan pembangkang seperti mana matlamat mereka, pastinya tidak akan menghargai perkara baik yang dilakukan oleh kerajaan. Bagi mereka, kehidupan ini adalah untuk membangkang, membangkang dan terus membangkang.

Satu imej yang dicorakkan oleh DAP, PKR dan Pas adalah membangkang demi tujuan membangkang. Iaitu, tanpa memegang kepada kebenaran untuk mewujudkan keseimbangan saksama dalam proses demokrasi. Pada masa sama, mereka telah lupa satu perkara iaitu apabila sesuatu yang baik dilakukan untuk kebaikan rakyat, ia menyentuh hati.

Seperti kata-kata orang bijaksana - perbuatan yang baik akan menerima balasan yang baik. Usaha gagasan 1Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mendekati rakyat dalam tempoh empat tahun ini, hakikatnya menghasilkan pelbagai titik sentuhan.

Dan salah satu sentuhannya telah menghasilkan pencapaian majoriti mudah 133 kerusi diraih Barisan Nasional (BN) daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen Ahad lalu. Ini sekali gus melenyapkan usaha pakatan pembangkang yang secara kolektif mempraktiskan 'cara bangkangan dalam kadar yang laju dan tidak sihat'.

Kerana itu, sebahagian besar rakyat Malaysia cukup sedar dan maklum apabila Perdana Menteri pagi Isnin lalu bertekad akan melaksanakan usaha penyatuan nasional untuk mengeratkan hubungan antara rakyat negara ini yang berpecah-belah seperti yang dapat dilihat melalui 'trend polarisasi' pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Najib, yang juga Pengerusi BN, menegaskan bahawa PRU-13 mempamerkan pelbagai sentimen, sesetengahnya bersifat perkauman, yang menurut beliau 'amat tidak sihat' untuk negara ini.

"Pada minggu-minggu akan datang (ini), para pemimpin BN akan membincangkan perkara itu sebagai langkah ke arah menggubal suatu dasar yang lebih bersifat sederhana serta diterima umum untuk menangkis amalan politik melampau, sikap perkauman serta pelampau agama," kata Najib. Kalau diteliti, realitinya keputusan PRU-13 tidak begitu elok untuk mencorakkan Malaysia yang harmoni pada tahun-tahun mendatang ini.

Dalam konteks BN, UMNO menyumbang 88 daripada 133 kerusi yang dimenangi parti pemerintah itu. UMNO bertanding 120 kerusi. Angka 88 kerusi itu meningkat berbanding 79 kerusi Parlimen daripada 117 kerusi yang dimenangi dulu.

Dan dengan prestasi buruk MCA pada PRU-13, yang hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi negeri berbanding 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri yang dimenanginya lima tahun lepas, kita belum pasti apakah rupa bentuk Kabinet Malaysia? Ini berikutan ketegasan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa parti itu akan menolak sebarang jawatan dalam kerajaan. Adakah akan ada wakil Cina dalam Kabinet?

Dengan DAP yang dipercayai banyak pihak termasuk kepemimpinan BN yang lama dan baru - antaranya Tun Dr. Mahathir Mohamad - memperoleh kemenangan besar dalam PRU-13 hasil memainkan sentimen perkauman, kenyataan Najib itu diakui kebenarannya.

Di sebalik semua ini, hakikatnya jika kaedah dan gaya lama tidak diubah, penguasaan BN tidak akan bertahan lama.

Lingkungan umur pengundi antara 21 hingga 45 tahun atau 46 peratus dari jumlah 13.1 juta pengundi, mempunyai penilaian dan keutamaan tersendiri dalam membuat pilihan. Golongan muda tidak gemar gaya politik yang stereotaip. Dan salah satunya adalah kerajaan lebih tahu apa yang baik dan semua perkara datang daripada pihak atasan sahaja - satu fahaman politik yang berlawanan dengan golongan tua.

Golongan muda di negara ini tidak terlalu mempedulikan kebaikan yang dibawa oleh merdeka atau apa maksud Rukun Negara.

Mereka juga tidak peduli mengenai politik tolak ansur. Kebebasan menggunakan media alternatif terutamanya melalui Internet telah membentuk satu set nilai kepada mereka. Yang mana ini berlawanan dengan kebiasaan ibu bapa mereka.

Mereka tidak tertarik untuk menyertai politik yang stereotaip. Hakikatnya mereka mempunyai kebebasan dalam pilihan melalui pelbagai alternatif dan mekanisme.

Mereka tidak lagi tertarik dengan pujukan politik untuk menjadi patriotik per se, ataupun perkara yang menuntut mereka untuk mengikut aliran konvensyen dan perkara-perkara yang berkaitan. Golongan muda lebih tertarik pada fahaman antarabangsa mengenai keadilan dan kesaksamaan, dengan ketelusan dan bertanggungjawab. Mereka bencikan ketaksuban dan prejudis.

Ini adalah perkara-perkara yang telah dikesan terlebih dahulu oleh Najib. Beliau mempunyai ramai rakan sendiri secara online yang beliau dapat berbincang pada setiap peluang yang ada.

Penembusan jalur lebar negara telah meningkat dengan pesat dan melonjak kepada 58 peratus daripada enam juta isi rumah pada Mei 2011. Terdapat lebih 16 juta pengguna Internet berbanding 31 juta pengguna telefon bimbit yang kesemuanya menjadikan komunikasi jalur lebar satu budaya yang popular. Generasi baru Malaysia, yang sebahagian besarnya terdiri daripada lingkungan umur 20 hingga 40 tahun, berada dalam dunia baru mereka sendiri.

Dengan perkhidmatan Internet seperti blog, facebook, twitter, mereka merasai persekitaran yang bebas untuk berkomunikasi dalam kalangan rakan dan juga menjangkau ke seluruh dunia.Mereka kelihatan mempunyai budaya tersendiri yang cenderung ke arah sikap suka melawan pemerintah. Golongan muda, yang cenderung mengikut budaya dunia yang popular, kini menuntut pentadbiran yang baik, universal dan hak asasi manusia. Kini, dengan cara hidup siber, Malaysia kelihatan terlalu kecil untuk mereka.

Diakui, tanpa isu-isu dan cabaran-cabaran politik, kerajaan adalah hambar dan legap, tanpa keseronokan dan keghairahan untuk kebaikan. Tetapi pada masa sama, tanpa kesediaan untuk membendung 'trend polarisasi', ia juga boleh membawa padah. Ini memandangkan sebuah kerajaan itu secara demokratiknya bergantung kepada sentimen-sentimen dan sokongan rakyat.

Politik bukan tempatnya di mana nasib memainkan peranan terlalu besar. Dalam politik, pilihan kaedah pemandu automatik tidak membantu untuk mencapai kejayaan.Semua perkara harus dirancang. Dan dilakukan dalam kaedah manual hampir setiap masa. Mungkin kini masanya sesuai untuk mempertimbangkan penggubalan undang-undang Akta Hubungan Kaum (RRA)?

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik