Tuesday, May 14, 2013

MARI KITA BERSATU SEMULA.

By: Tok Perak.

GENAP seminggu berlalu, orang ramai, terutama penyokong dan macai politik, masih tidak habis-habis bercakap dan bertegang urat mengenai PRU13 yang juga dikenali sebagai ‘ibu segala pilihan raya’.

Pada peringkat yang lebih tinggi, para pemimpin parti – baik yang menang, mahu pun yang tewas – masing-masing menyuarakan rasa tidak puas hati sambil membuat kenyataan demi kenyataan yang boleh membangkitkan semangat rakyat.

Ada yang kata pilihan raya minggu lalu mencetuskan ‘tsunami Cina’. Ada pula yang tidak setuju istilah tsunami Cina sebab itu berbau perkauman. Ada yang menuntut pihak yang mencipta istilah tersebut memohon maaf.
Dalam pada itu ada pula yang awal-awal menganjurkan perhimpunan untuk menyuarakan bantahan kepada kerajaan, khasnya SPR, yang dikatakan gagal melaksanakan pilihan raya yang bersih dan telus. Rasa tidak puas hati ditunjukkan pada perhimpunan yang disertai lebih 50,000 orang di Stadium Kelana Jaya, Selangor.

Masih ada yang membangkitkan berbagai tuduhan kepincangan dalam pengurusan PRU13 – pengundi hantu, dakwat kekal, undi pos tidak adil, bekalan elektrik terhenti ketika pengiraan undi, penipuan dan lain-lain.
Sila ambil perhatian bahawa pilihan raya telah berlalu, rakyat telah membuat keputusan: BN memenangi peringkat pusat dengan 133 kerusi parlimen, PR dapat 89. Walaupun gagal menguasai Putrajaya, PR memenangi undi popular dengan 5,623,984, berbanding 5,237,699 yang diterima BN.

Tidak kira BN atau PR, terimalah apa yang telah diputuskan oleh rakyat. Ketepikan sentimen sempit, buang segala dendam kesumat, dan jadilah orang bertamadun. Semua pihak mesti berganding bahu untuk sebuah Malaysia yang harmoni.

Lima tahun yang lalu – sejak PRU12 – kita tidak habis-habis berpolitiking. Pagi-petang, siang-malam, saling menghentam walaupun atas perkara yang amat remeh dan bodoh. Janganlah habiskan lima tahun akan datang dengan kebodohan lagi. Rakyat sudah bosan.

Sekarang bukan masa berpolitiking, tetapi masa untuk menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Tidak kira BN atau PR, tidak kira pemimpin atau rakyat, berhentilah berkelahi. Tidak kira Melayu, Cina, India, Bidayuh, Kadazan, Jawa dan lain-lain, marilah sama-sama kita bangunkan negara tercinta ini.

*TUMPUAN umum kini ialah siapa yang akan menyertai Kabinet baru Datuk Seri Najib Tun Razak? Siapa pengganti menteri-menteri yang tewas pada pilihan raya hujung minggu lalu? Berapa orang menteri wanita? Berapa menteri Cina, berapa menteri India? Berapa menteri dari Sabah, berapa dari Sarawak?

Bagi orang muda, mereka ingin lihat apakah Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan dilantik menyertai Kabinet. Beliau sudah berterus terang menyatakan kesediaan untuk masuk Kabinet.

“Saya menawarkan diri untuk memainkan peranan, apa sahaja peranan yang boleh bantu beliau (Perdana Menteri) dan saya serah kepada beliau untuk menentukannya,” katanya seperti yang disiarkan media. Beliau diketepikan dalam Kabinet yang lalu, apakah Anggota Parlimen Rembau itu akan disisihkan lagi kali ini?

*DI SELANGOR, Azmin Ali yang sejak awal mengkritik kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar, akan tetap bersama PKR. Timbalan Presiden parti itu menegaskan:

“Saya tidak berhasrat untuk letak jawatan dalam parti, jauh sekali letak jawatan ahli Parlimen dan Adun.” Kata pepatah, biduk lalu kiambang bertaut.

Sementara di Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat melepaskan jawatan Menteri Besar juga jawatan Pesuruhjaya Pas Kelantan negeri. Katanya biarlah kedua jawatan penting itu dipegang oleh Datuk Ahmad Yakob.

“Tidak boleh Pesuruhjaya Pas Negeri orang lain, menteri besar orang lain. Tentu menteri besar juga yang kena pegang kedua-duanya sekali,” katanya. Demikianlah kata pepatah, sekali air bah sekali pantai berubah.

*AKHIR kalam, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak masih dirawat di Hospital Pulau Pinang setelah menjalani pembedahan memotong kedua kakinya akibat jangkitan kuman. Marilah sama-sama kita berdoa semoga beliau cepat sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik