Friday, May 10, 2013

MASA TERBAIK BERSATU JAYAKAN MISI NASIONAL.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai alasan kukuh untuk menyatakan pengundi Cina sudah diperdaya oleh pembangkang kononnya undi mereka boleh menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan menukar kerajaan. 

Penipuan juga berlaku secara terbuka dalam bentuk kempen dan ceramah menyebabkan ada pihak yakin penubuhan kerajaan baru sedangkan hakikat sebenar majoriti Melayu, India dan kaum lain masih mengekalkan BN untuk kestabilan dan keamanan negara. Pengundi Cina kini mulai sedar mereka ditipu semata-mata untuk menjayakan misi beberapa individu yang berkepentingan. 



Bagaimanapun kesan politik jangka panjang tidak mudah dihuraikan. Tsunami Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad lalu menyaksikan sokongan kepada BN merosot dan pembangkang terutama DAP mendapat peningkatan undi sama ada di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. 


Secara keseluruhan kerusi Parlimen pakatan pembangkang meningkat daripada 82 pada 2008, kepada 89 pada PRU-13. Dalam tempoh sama, kerusi Parlimen BN merosot daripada 140 kepada 133. DAP yang mendapat manfaat langsung hasil percaturan perkauman meningkat daripada 28 kerusi Parlimen pada 2008 kepada 38 pada PRU-13. 

Kita akui kerajaan yang ada sekarang masih kukuh dan Najib mendapat mandat daripada sebahagian besar rakyat. UMNO yang mengetuai BN masih mendapat tempat dan menjadi harapan Melayu bagi menentukan survival bangsa pada masa akan datang. Sokongan terhadap UMNO juga meningkat apabila memperoleh 88 kerusi Parlimen berbanding 79 pada 8 Mac 2008.

Tentunya populariti Najib dan dasar memakmurkan negara tanpa membezakan mana-mana kaum menjadikan UMNO dan BN kekal relevan. Pengundi Cina yang menyedari diri mereka diperdaya oleh anarkis politik wajar kembali memberi sokongan kepada kerajaan dalam menjayakan program transformasi ekonomi. Kita akui masih ada yang bersikap rasional dan bersedia menghadapi perubahan bagi kepentingan nasional. Sekarang adalah masa terbaik untuk semua pihak bersatu hati dan melupakan sengketa politik demi masa depan. 

PRU-13 membuktikan isu kaum boleh meruntuhkan perpaduan nasional yang dijayakan kerajaan selepas kita merasai sendiri keperitan peristiwa 13 Mei 1969 yang sepatutnya tidak berulang lagi. Kita wajar bersatu hati dan pastikan generasi masa depan saling menghargai tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama.


Sumber: Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik