Sunday, May 19, 2013

MEDIA SOSIAL PENGGALAK UNDANG2 KOBOI.


By: Ku Seman Ku Hussain.

DALAM kalangan penganalisis politik, mereka menggambarkan Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) sebagai ibu segala pilihan raya di negara ini. Sebabnya Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan cabaran paling sengit untuk mengatasi pembangkang; DAP, PKR dan Pas. Perubahan terhadap landskap politik sejak 2008 sebenarnya mengubah banyak perkara, bukan sahaja politik malah sosial, budaya dan tatasusila.

PRU13 dikaitkan dengan pertumbuhan media sosial yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Pada 2008, PRU12 hanya berperang dengan portal yang pro pembangkang dan lebih setengah juta blog. Ketika itu blog muncul sebagai satu media baharu alternatif kepada media konvensional seperti akhbar dan televisyen serta radio.

Tetapi pada PRU13, media sosial seperti Facebook, Twiter, blog serta portal berita pro pembangkang lebih agresif memainkan peranan dalam ruang kebebasan bersuara hingga melanggar sempadan peribadi pihak tertentu. Cerita palsu tentang sesuatu dijual di pasaran terbuka dan masyarakat menerimanya sebagai satu yang benar.

Keadaan menjadi paradoks. Media yang menyiarkan kebenaran dianggap sebagai pembohongan, media sosial yang menyiarkan pembohongan pula dianggap sebagai kebenaran yang selama ini disembunyikan daripada umum. Tsunami media sosial mencetuskan porak peranda kerana masyarakat kita umumnya belum bersedia untuk berdepan dengan realiti dan permainannya.

Akhirnya kita seolah-olah kembali pada zaman koboi di Old West di Amerika Syarikat (AS) tahun 1930-an dulu di mana undang-undang berada di muncung senapang. Siapa yang kuat, berani dan tidak berperikemanusiaan akan menakluki yang lebih lemah. Media sosial mengembalikan zaman undang-undang di tangan sendiri dan lihatlah bagaimana pengendali media sosial bertindak membunuh karakter tokoh tertentu dengan pembohongan yang dijaja sebagai kebenaran.

Perang media sosial pasca PRU12 dan menjelang PRU13 banyak sekali menghakiskan nilai dan tamadun yang selama ini menjadi kebanggaan kita terutama Melayu. Kebiadapan diperagakan tanpa segan silu di laman media sosial atas nama demokrasi kebebasan bersuara.

Secara idealnya media sosial membuka ruang dan kebebasan bersuara dengan lebih luas. Positifnya ruang media sosial ini menyediakan pentas untuk masyarakat berforum tentang semua perkara. Malah boleh pula disertai oleh sesiapa sahaja seperti di laman Facebook, blog dan ruangan komen di portal berita Malaysiakini dan Malaysian Insider.

Tetapi yang bahayanya ruang kebebasan bersuara ini disalahgunakan sebagai pemangkin kebiadapan dan perosak tatasusila. Kalau kita meneliti komen-komen di media sosial kita akan tahu betapa teruknya keruntuhan nilai masyarakat terutama generasi baharu semata-mata untuk meluahkan perasaan.

Sebelum ini kebiadapan seperti memaki hamun tidak pernah berlaku secara terbuka di depan khalayak. Media arus perdana yang dikatakan menyembunyikan "kebenaran" tidak akan menyuburkan kebiadapan begini dalam komen-komen pembaca mereka. Adakah ini satu kesalahan?

Tetapi sempadan ini telah diceroboh oleh media sosial atas nama kebebasan bersuara. Sebenarnya hanya sebahagian sahaja pemilik akaun blog, Facebook atau Twiter yang benar-benar memanfaatkan media sosial untuk menyuburkan kebebasan bersuara yang beradab. Mereka tidak akan menyiarkan komen yang berbaur fitnah kepada pihak tertentu.

Tetapi selebihnya memberikan kebebasan mutlak kepada orang ramai untuk meluahkan perasaan tanpa mengambil kira ruang peribadi pihak yang lain. Blog-blog politik tidak kira sama ada BN atau pembangkang sebahagiannya menjadi pemangkin kebiadapan ini.

Generasi muda termasuk dalam kalangan Melayu lebih terarah kepada media sosial berbanding media arus perdana kerana menganggap itu adalah suara kerajaan. Selain media sosial, golongan ini mendapat maklumat mengenai politik daripada portal berita pro pembangkang antaranya. Semua orang tahu portal berita ini walaupun kelihatan profesional menyiarkan berita tetapi sangat condong kepada pembangkang. Maklumat politik dalam portal begini sangat berkesan untuk membina persepsi tentang politik di negara ini terutamanya kewajaran mereka menolak aliran establishment.

Politik adalah persepsi. Kejayaan menimbulkan persepsi yang buruk kepada pihak lawan dan yang baik kepada diri sendiri adalah peluang untuk meraih sokongan. Pengaruh media sosial dan portal berita pro pembangkang sangat berkesan membina persepsi.

Walaupun sebahagian daripada masyarakat menganggap media sosial bukan penyalur maklumat yang sahih tetapi kepada pembangkang bukanlah kesahihan. Yang penting boleh membina persepsi. Golongan muda adalah pelanggan media sosial dan dengan sikap anti establishment yang dibina oleh pembangkang.

Kalau dilihat pula kadar penembusan Internet jalur lebar pada tahun 2008 hanya 22 peratus dan meningkat 66.7 peratus tahun 2013. Ketika ini negara mencatatkan pengguna Internet sebanyak 22.7 juta atau 77.84 peratus daripada populasi 29.1 juta. Sementara itu 50 peratus daripada populasi pula adalah pemilik akaun Facebook dan ini meletakkan Malaysia negara ke 18 terbanyak pemilik akaun Facebook terbanyak. Daripada jumlah ini 34 peratus pemilik akaun facebook berumur antara 18 hingga 24 tahun.

Maka tidak hairanlah kalau DAP menubuhkan pasukan tentera siber yang dinamakan Red Bean Army yang terdiri daripada pengundi muda parti itu. Kumpulan tentera siber yang seramai 200 orang ini diberi gaji dan latihan secukupnya untuk menyebarkan doktrin politik DAP sejak enam tahun lalu. DAP terlebih dahulu memanfaatkan media sosial untuk tujuan memperkasakan parti dan orang Cina.

Walaupun media sosial menjadi pemangkin kebiadapan tetapi analoginya sama seperti pisau yang boleh melukakan. Pada masa yang sama boleh digunakan untuk mempertahankan diri dan memudahkan kehidupan harian. Media sosial memberikan banyak faedah sekiranya kita menyedari kesan buruknya kalau tidak digunakan dengan tujuan yang betul. Kebebasan tetap ada sempadannya dan yang berlaku dalam media sosial bukan kebebasan tetetapi pencabulan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik