Thursday, May 23, 2013

MEMBENTUK IMEJ, MENGEKAL PERSEPSI.

By: Norden Mohamed.

Pada Ahad lalu, Sinar Harian memaparkan statistik dan rajah yang menunjukkan, meskipun PR memenangi undi popular 52 % mengatasi BN, namun bila diperincikan, PR sebenarnya hanya popular di lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

Begitu juga pada keluaran semalam, team analisa PRU13 Sinar Harian telah mendapati parti Umno paling popular berbanding dengan parti-parti lain. Malah, ia lebih popular di Kelantan, mengatasi undi untuk Pas dan PKR. Pada hari ini, kami memaparkan pula statistik mengenai penguasaan PR ke atas kesemua ibu negeri, kecuali Kangar dan Johor Bahru.

Terdapat banyak lagi kajian dan carian yang sedang kami lakukan. Kami akan cuba paparkan satu demi satu. Tetapi kami maklum, bila laporan kami memihak kepada BN, pihak yang menyokong PR berasa tersinggung. Sebaliknya, apabila laporan memihak kepada PR, para penyokong BN pula yang terasa. Namun, statistik adalah statistik. Kami tidak berpihak kepada BN mahupun PR. Kami hanya berpihak kepada fakta dan angka yang melalui kajian ini, menggambarkan kebenaran.

Lagi pula, kami hanya ingin memberi pencerahan untuk memperbetulkan persepsi kita semua. Kebenaran seharusnya membentuk persepsi sebenar terhadap sesuatu perkara. Persepsi yang salah selalunya berpaksi daripada maklumat yang tidak tepat. Persepsi dan maklumat yang tidak tepat pula akan menghasilkan tindakan yang salah. Tindakan yang salah akan mengakibatkan kegagalan.

Meskipun BN dan PR merangka strategi yang tepat berdasarkan maklumat yang betul, ada banyak juga strategi yang membawa kegagalan kerana berpandukan maklumat yang salah. Di saat-saat menjelang PRU13, DS Najib Razak sebagai pemimpin BN menyatakan rasa yakin akan menguasai dua pertiga Parlimen. DS Anwar Ibrahim sebagai pemimpin PR pula menzahirkan keyakinan akan mengambil alih pemerintahan negara.

Andainya kedua-dua pemimpin menguar-uarkannya sebagai muslihat dalam peperangan, muslihat itu telah menggagalkan strategi angkatan masing-masing apabila kedua-dua pihak, khususnya jentera pilihanraya, mereka jadi khayal hingga menjadi over-confident. Pengikut turut menjadi alpa. Hasilnya, kedua-dua pihak tidak dapat sepenuhnya apa yang diimpikan.

Walau apa pun, BN yang kelihatan agak terhuyung-hayang dan kepenatan dalam menangkis segala muslihat PR menjelang PRU13 nampaknya melangkah sebaik sahaja pilihanraya berakhir. Mereka telah menubuhkan kerajaan negeri masing-masing, membariskan anggota kabinet dan sudah mula bekerja.

Sebaliknya, PR yang tampak gagah dan bergaya di saat-saat menjelang PRU13 kelihatan belum tersusun sepenuhnya hingga ke hari ini. Masih belum nampak secara terperinci apa yang akan mereka laksanakan untuk agenda negeri yang mereka kuasai. Malah, ada krisis dalaman parti mereka yang terkeluar ke khalayak ramai.

Yang jelas, apa yang dilakukan oleh BN dan PR ini menimbulkan persepsi di mata 13.26 juta rakyat yang keluar mengundi pada PRU13. Sebahagian besar daripada mereka bukan ahli mana-mana parti. Ramai yang hanya simpatisan dan golongan di atas pagar yang membuat keputusan memilih setelah mereka membuat pertimbangan berdasarkan apa yang mereka lihat dan dengar. Pertimbangan inilah yang menjelmakan persepsi.

Kerana itu, selain daripada menjaga tindak-tanduk, kedua-dua BN dan PR perlu peka untuk membentuk persepsi yang baik di mata rakyat. Di sepanjang tempoh di antara PRU12 dan PRU13, pihak BN dilihat tidak seperti berdaya mengekang persepsi buruk yang bertali arus menyerangnya. Sebaliknya, PR pula bersifat menyerang.

Bagaimana pun, setelah PRU13 berakhir, pemimpin BN nampaknya lebih cepat menjawab segala kritik dan manipulasi persepsi buruk yang dilemparkan ke arah mereka. Mereka tampak cergas, sentiasa bersiap siaga, menjawab dan menjawab seperti apa yang para pemimpin PR lakukan sebelum ini. Ini akan mempertahankan imej positif di mata rakyat.

Dalam mana-mana pertandingan atau perlawanan, orang yang menyaksikan akan condong untuk menyokong pihak yang nampaknya lebih kuat. Mereka ingin dikaitkan dengan pihak yang menang. Mana-mana pihak yang sentiasa awas untuk menjaga imejnya yang lebih handal akan memperoleh penyokong yang lebih ramai.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik