Saturday, May 25, 2013

MEMENUHI ASPIRASI PENGUNDI.

By: Datuk Hashim Subuh.

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah berlalu. Walau apa pun keputusannya, Barisan Nasional (BN) telah menang. Jika ada yang agak sinikal dengan kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen berbanding PRU-12, ia masih sebuah kemenangan.

Biarpun gelombang siri-siri perhimpunan raksasa pakatan pembangkang kelihatan hebat, BN masih terus mendapat mandat rakyat. Sekalipun kekuatan BN merosot di Selangor dan situasi membimbangkan di Perak dan Terengganu, hakikatnya BN berjaya merampas balik Kedah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu berasa terganggu dengan komen bahawa prestasi BN di bawah kepimpinan beliau lebih buruk berbanding prestasi BN di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, semua pihak perlu berhenti menghentam Abdullah, landskap dan persekitaran politik di zaman Najib sangat mencabar dan jauh berbeza daripada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah.

Berhadapan segala kelicikan dan muslihat politik Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng serta dibentengi oleh blok penyokong taksub Pas; ditunjangi pula dengan kekuatan media sosial yang gigih mempertajam serangan bertali arus terhadap Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan kerajaan BN, penyelamat utama BN dalam PRU-13 kali ini adalah Najib sendiri.

Dengan beban yang terpaksa digalas oleh Perdana Menteri kerana kesilapan dan kelemahan masa lalu termasuk juga kudis, panau dan kurap dalaman parti yang terpaksa diheret bersama, Najib sebenarnya memiliki pakej kekuatan untuk mengemudi kejayaan di masa depan. Beliau juga sewajarnya kembali memperteguh fokus kepada tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO selepas PRU-13 berlalu.

Memandangkan mandat yang diperolehi oleh BN untuk membentuk Kerajaan Pusat adalah kerana sokongan kuat pengundi bumiputera luar bandar serta pengundi di Sabah dan Sarawak, Najib sangat diharapkan untuk memberikan keutamaan kepada agenda memajukan sektor luar bandar di samping secara serius mentransformasikan kemajuan rakyat dan negeri Sabah dan Sarawak dalam penggal pemerintahan ini tanpa bertangguh lagi. Tanpa perlu apologetik, Dasar Transformasi Ekonomi Nasional yang akan menyambung semula semangat Dasar Ekonomi Baru perlu segera dirumus dan dilaksanakan bagi meneruskan agenda bumiputera yang belum selesai itu.

Jika dinilai kembali, Kerajaan Persekutuan sebenarnya telah membentuk begitu banyak sekali agensi, program, projek dan dana untuk memajukan bumiputera dalam bidang ekonomi. Malangnya, hampir kebanyakan agensi, program, projek dan dana ini terperangkap dalam sindrom tangkap muat dan syok sendiri di samping terus dibalut dengan penyakit kronik kerajaan tahu semua.

Selain itu proses perancangan dan operasi pelaksanaannya juga tidak distrukturkan dengan cekap dan berkesan sehingga sumber-sumber yang ada ini dibazirkan tanpa sebarang impak yang mengesankan.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang dahulunya menjadi agensi penyelarasan dan pemantauan projek yang sangat berkesan nampaknya semakin kehilangan arah dan kini menjadi penjaga gol yang semakin kerap membiarkan gawang ditembusi melalui begitu banyak projek yang terbengkalai, bermasalah dan melantun ke muka kerajaan. Najib wajar melakukan sesuatu kerana inilah yang kerap kali mengecewakan rakyat selama ini.

Sesuai dengan Agenda Transformasi Nasional yang diketengahkan beliau, sektor luar bandar khususnya dalam bidang pertanian seharusnya menerima sentuhan baru daripada kerajaan pimpinan Najib. Gerakan ekonomi massa seperti mana yang pernah digerakkan oleh Allahyarham Tun Razak perlu dirumus dan digerakkan semula.

Jika begitu banyak insentif dan dasar perlindungan boleh diwujudkan untuk memajukan lain-lain sektor ekonomi negara, insentif dan dasar perlindungan yang sama perlu diwujudkan di sektor pertanian. Sewajarnya juga teras pelaksanaan projek-projek ekonomi luar bandar dan di sektor pertanian sentiasa memenuhi teras projek berimpak besar, bernilai tinggi dan merakyat (people centric); bukannya lagi projek-projek semberono dan bersifat ad-hoc yang gagal membawa rakyat ke mana-mana.

Sentuhan dan hala tuju baru ini sangat diperlukan bagi memenuhi aspirasi pengundi yang setia mendokong Perdana Menteri dan BN. Sementara projek mega seperti Greater KL dan MRT boleh diteruskan, peruntukan dan gerakan ekonomi massa besar-besaran perlu segera dilaksanakan di pangkalan politik BN dan UMNO yang setia selama ini.

Bangkitkanlah keghairahan untuk pengundi dan penyokong setia akar umbi di luar bandar bahawa mereka sentiasa dihargai dan diberikan pembelaan maksimum.

Mengenai UMNO, penambahan bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh UMNO-BN tidak harus melekakan kita daripada melakukan transformasi dan pembetulan politik dalam parti. Walaupun calon UMNO-BN masih boleh menang, kemenangan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh ikatan emosi terhadap parti dan kekuatan kepimpinan Najib sendiri.

Bukan sedikit calon di peringkat DUN dan Parlimen yang diterima dengan perasaan berat, meluat dan menyakitkan hati. Bukan sedikit calon yang berkaliber dan berpotensi diketepikan untuk melayan politiking dan pembunuhan politik yang sangat merugikan parti.

Bukan sedikit juga yang meragui sebilangan anggota pasukan transformasi yang diketengahkan sebagai calon PRU-13 memandangkan kepada kelibat individu tertentu yang agak menjengkelkan dalam pasaran politik tempatan. Jika pun masih menang, percayalah ia berlaku kerana bendera parti dan sosok berkarisma bernama Najib.

Menjelang pemilihan UMNO di peringkat bahagian dan kebangsaan, Najib mempunyai tanggungjawab untuk melakukan semula penjenamaan parti, merombak orientasi dan pendekatan perjuangan di samping berusaha mengembalikan semula karakteristik UMNO sebagai sebuah parti politik dan sebuah wadah perjuangan.

Idealisme perjuangan yang semakin terhakis oleh ketamakan meraih hadiah kemenangan dalam bentuk peluang besar untuk membina kekayaan peribadi perlu segera dibenteng dan diperteguhkan kembali supaya UMNO relevan dan dipercayai.

Hentikanlah segala kepandiran politik yang menjarakkan keyakinan Melayu yang terpelajar dan analitikal terhadap UMNO yang dikuasai oleh mereka yang tidak cukup berwibawa tetapi berkepakaran tinggi dalam strategi cantas mencantas kawan di dalam parti.Garis pemisah antara UMNO sebagai parti pemerintah dengan kerajaan harus dilakar semula. Kepercayaan bahawa menegur dan mengkritik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Menteri Besar, Timbalan Menteri dan Menteri, Timbalan Perdana Menteri hatta Perdana Menteri sebagai suatu penderhakaan dan tindakan kepetualangan terhadap parti, harus dilerai dan ditafsirkan semula supaya parti UMNO terus dinamik dan tidak kaku.

Izinkanlah proses semak dan seimbang kembali disegarkan untuk proses penjenamaan dan transformasi parti dilakukan dengan berkesan. Biarlah Pemuda UMNO menjadi suara yang lantang dan dirasai kesan kehadirannya oleh rakyat kerana keberanian mereka menjuarai dan mendepani isu-isu agama, bangsa, rakyat dan negara.

UMNO dan BN masih mempunyai kekuatan dan dokongan daripada rakyat. Proses pelunturan sokongan terhadap UMNO-BN boleh dihalang jika kekuatan dan visi kepimpinan Najib benar-benar ditumpukan ke sasaran yang tepat.

Kunci utama adalah UMNO sendiri perlu kembali kepada ciri dan karakternya yang asal. UMNO tidak perlu terikut dengan pesona Pas yang menampilkan pemidato agama yang hebat tanpa kemampuan menterjemahkan perjuangan ummah di alam nyata dan dalam bentuk yang nyata dan konkrit.

Sebaliknya UMNO perlu kembali memperkukuh sumbangannya dalam membangunkan instrumen dan institusi perjuangan yang besar seperti Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Amanah Saham Nasional, Mara, Felda dan sebagainya. Cetuskanlah gagasan yang mudah dan dapat menangkap imaginasi rakyat.

Akhir kata, kita doakan agar Perdana Menteri terus cekal, kuat, tegas dan berani untuk memimpin rakyat serta negara melangkah ke fasa yang sangat mencabar dalam pembinaan negara bangsa Malaysia yang maju dan berjaya.




No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik