Monday, May 13, 2013

MEMPERTAHANKAN KUASA, HAK MELAYU.

By: Asyraf Wajdi Dusuki.

Transformasi bantu UMNO kekal relevan

Kelmarin, UMNO meraikan ulang tahun ke-67. Pada usia hampir menjangkau tujuh dekad ini, kalau bagi seseorang manusia biasanya dianggap cukup matang terutama selepas menempuh pelbagai peristiwa suka duka dan pahit getir kehidupan. Namun pada usia sebegini juga sering kali manusia boleh tergelincir kiranya masih bernostalgia dengan pengalaman lalu tanpa mahu mendepani realiti zaman lebih mencabar. 

Begitu jugalah dengan realiti UMNO sebagai sebuah organisasi politik yang sudah mencecah usia tujuh dekad ini. Segala pengalaman lalu tidak kira yang manis mahupun pahit seharusnya dijadikan pengajaran oleh generasi penerus perjuangan agar masa depan mampu dilakar sebaiknya demi survival parti dan manfaat umat sejagat. 
Hakikatnya, keupayaan UMNO untuk terus gah dalam mengemudi bahtera perjuangan bangsa amat bergantung kepada keupayaan warganya memahami realiti semasa yang melatari landskap sosial dan pemikiran masyarakat masa kini. Kegagalan menanggapi realiti dan mengolah strategi berkesan boleh mengakibatkan organisasi menjadi usang dimamah waktu hingga kehadirannya bukan saja tidak lagi dirasai bahkan ketiadaannya pula disyukuri. 


Mujurlah pilihan raya umum yang baru berlalu mencatatkan kemenangan buat UMNO untuk terus menerajui negara. Walau tidak mendapat majoriti dua pertiga, UMNO yang menjadi parti teras orang Melayu-Islam dalam Barisan Nasional (BN) masih mendapat kepercayaan, terutama masyarakat Melayu-Islam yang mulai rasa terancam dengan mainan politik pakatan pembangkang. 

Perlu muhasabah 

Namun terlalu banyak isyarat yang secara jelas menunjukkan bahawa setiap warga UMNO perlu melakukan muhasabah dan pembetulan untuk terus kekal relevan. Rakyat hari ini mahu melihat wujudnya perubahan yang jelas dalam kalangan pimpinan UMNO di semua peringkat. Mereka ingin melihat pimpinan UMNO yang berakhlak Islam, berwawasan, berintegriti tinggi dan merendah diri. 

Selama ini persepsi yang benar-benar berjaya mencorak imaginasi rakyat khususnya generasi muda, profesional dan masyarakat bandar, UMNO adalah parti yang penuh dengan pelbagai bentuk penyimpangan seperti korupsi, hipokrasi, sombong dan tidak amanah. 
Memang tidak dinafikan wujud segelintir kepemimpinan UMNO pada pelbagai peringkat yang sibuk dengan polemik kuasa dan harta sehingga terlupa soal menabur budi dan jasa. Obsesi terhadap nilai kebendaan, kemewahan dan kuasa sering kali menjadikan mereka rakus, bakhil, mementingkan diri sendiri dan tergamak melakukan apa saja yang melanggar prinsip dan adab bangsa. 

Justeru, isu ini harus dijernihkan agar tidak selamanya UMNO terbelenggu dalam polemik jati diri dan tercari-cari identiti yang sebenar. Sudah tiba masanya warga UMNO kini dikejutkan daripada berterusan dibuai mimpi indah siang hari. 

Kepemimpinan UMNO harus ditarik masuk ke alam realiti masyarakat hari ini agar mereka tidak hancur dimamah zaman yang sudah berubah dengan pantas sekali. 

Nostalgia lampau 

Hakikat yang harus difahami ialah tidak ada jaminan sesuatu parti dapat mengekalkan kuasa semata-mata alasan mereka adalah pejuang pribumi. Tidak ada jaminan juga parti yang banyak jasa mampu dipertahankan selama-lamanya hanya berasaskan nostalgia lampau. 

Sejarah sudah membuktikan jatuh atau bangun, unggul atau hancurnya sesuatu kuasa kepemimpinan amat bergantung kepada perilaku moral serta tingkah dan olah mereka sendiri. 

Sesuatu bangsa tidak akan mundur selama-lamanya, juga sesuatu bangsa tidak akan maju selama-lamanya. Hidup manusia diibaratkan seumpama putaran roda yang ada kalanya naik dan ada kalanya turun. 

Empayar Rom, Greek, dan Parsi semuanya mengalami proses takdir ini. Suatu ketika bangsa ini cukup gah di mercu kemegahan dan kemewahan sehingga tidak terfikir empayar besar ini boleh lenyap dan hancur. Namun sejarah sudah memaparkan sekuat manapun sesuatu kekuasaan kepemimpinan akan hancur juga sekiranya sistem nilai dan jati dirinya punah. 

Justeru, sempena ulang tahun ke-67 ini, amat mustahak seluruh kepemimpinan dan pendukung UMNO kembali bermuhasabah diri dan melakukan transformasi agar seiring dengan zaman dan kehendak rakyat masa kini. 

Sesungguhnya tidak ada jaminan kekuasaan yang dinikmati UMNO kini akan kekal abadi. Semuanya tergantung atas kesediaan warga untuk berubah atau rebah menyembah bumi. 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik