Saturday, May 11, 2013

PAKATAN YANG TIADA KESEPAKATAN.

PERHIMPUNAN pakatan pembangkang malam kelmarin tidak dihadiri oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, dan juga Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin.

Ia menjadi lebih menarik setelah Azmin mengkritik Anwar dalam twitnya kerana mengamalkan "politik melampau". Katanya lagi seperti yang dilaporkan oleh Antarapos - "Terima hukuman. Muhasabah diri. Akui kelemahan. Tumpu rakyat bukan kerabat".

Malah Zuraida, menyatakan beliau akan meletakkan jawatan dalam parti sekiranya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor.

Khalayak mengetahui bahawa Azmin sejak dulu lagi bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid. Azmin ialah orang kesayangan Anwar Ibrahim. Tetapi Dr. Wan Azizah Ismail, Presiden PKR amat menyokong Khalid.

Kedudukan dalam kepimpinan PKR, Anwar sangat dekat dengan Azmin tetapi Wan Azizah, Nurul Izzah Anwar adalah dalam kumpulan Abdul Khalid. Ini menyebabkan Anwar menjadi serba salah. Memihak kepada Abdul Khalid bermakna menentang kelompok Azmin dan Zuraidah.

Pelantikan Menteri Besar yang baharu menjadi lebih menarik kerana DAP mencadangkan Abdul Khalid diteruskan kerana merasa selesa dengannya.

Pas mengikut Mustafa Ali tidak berminat dan mencadangkan supaya Abdul Khalid meneruskan khidmatnya.

Pas mempunyai 15 kerusi sama seperti DAP tetapi meningkat berbanding dengan PKR yang mendapat 14 kerusi. Dari segi giliran, Pas patut diberi peluang. Hairan Pas yang selalu mahukan kuasa, tidak memperjuangkannya walaupun peluang ada.

Kalau diserahkan kepada budi bicara Pakatan, Abdul Khalid bakal menjadi Menteri Besar manakala kalau diserahkan kepada Anwar, Anwar berada di persimpangan antara memenuhi cita rasa politik Azmin kawan baiknya atau memihak kepada kumpulan Wan Azizah.

Sekiranya Azmin menjadi Menteri Besar, Pas dan DAP sudah tentu membantah. Sebaliknya, Abdul Khalid dikekalkan kepimpinan PKR akan menghadapi masalah. Jalan terbaiknya ialah Pas harus tampil.

Malangnya, Pas tidak ghairah. Apakah Pas tidak mampu memimpin Selangor atau bersikap "tawaduk" terhadap jawatan.

Pas tidak harus bersikap merendah diri terhadap kuasa. Kalau Pas ingin memperlihatkan urus tadbir secara Islamnya inilah masanya. Tetapi bolehkah DAP menerima hakikat Islam dijadikan sandaran mentadbir negeri.

Pas harus terima cabaran ini kerana Selangor adalah model terbaik gambaran masyarakat Malaysia. Kalau Pas mampu mentadbir masyarakat Selangor yang dianggap maju, berbilang kaum dan kompleks budaya dan kegiatan ekonominya ia menjadi suatu testimoni untuk mentadbir Malaysia.

Tapi kalau awal-awal lagi sudah menolak bermakna Pas merasa dirinya kerdil dalam mengendalikan sebuah negeri seperti Selangor dalam masa yang sama tentunya cuba mengelak terjadinya konflik dengan DAP yang tidak mahu sistem Islam wujud dan dalam masa yang sama meraikan PKR walaupun kerusi yang dimenangi rendah daripada Pas.

Jalan yang terbuka ialah kepada PKR untuk melantik Menteri Besarnya. Anwar Ibrahim berada di suatu persimpangan. Takdirnya berlaku krisis dengan Azmin kerana Anwar terkini mahukan Abdul Khalid ia mempertajamkan lagi hubungan Azmin dengan Wan Azizah.

Berkrisis dengan Azmin bukanlah sesuatu dipilih oleh Anwar. Azmin ialah tokoh kesayangan Anwar. Azmin maha tahu siapa Anwar sebenarnya. Kalau Anwar memilih Azmin apa pula kata DAP dan Pas. DAP awal-awal lagi mahukan Abdul Khalid sementara Pas juga mahukan orang yang sama.

Azmin dalam twitnya sudah mula memperlihatkan taringnya berbeza pendekatan dengan Anwar. Apakah ini secara psikologi menyatakan kepada Anwar bahawa lantik dirinya (Azmin) sebagai Menteri Besar kalau ingin mengelakkan krisis yang lebih parah dalam parti.

Kalau krisis terjadi khalayak akan mendapati Anwar gagal menguruskan urusan partinya. Khalayak juga akan berkata, kalau mengurus parti tidak mampu bagaimana hendak mengurus Malaysia?

Sumber: Utusan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik