Thursday, May 30, 2013

PENDIDIKAN ASAS KESEJAHTRAAN MASYARAKAT.

By: Mohd Ayop Abdul Razid.

Kesejahteraan sosial adalah elemen utama dalam menentukan tahap pembangunan sesebuah negara. Pada asasnya kesejahteraan sosial ialah perkara berkaitan dengan apa yang ingin dicapai oleh sesebuah komuniti. Ia mempunyai hubungan dengan apa yang dirasai dan dinikmati oleh sesebuah komuniti itu. 

Kebanyakan ahli sosiologi mendefinisikan kesejahteraan sosial sebagai usaha untuk merubah atau meningkatkan keadaan yang sejahtera, baik dari segi fizikal, mental dan sosial. Definisi ini juga dipakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menakrif kesejahteraan sosial sebagai satu keadaan yang sejahtera mencakupi aspek fizikal, mental dan sosial. 
Hakikatnya, kesejahteraan sosial adalah perkara berkaitan dengan kesejahteraan rakyat. Justeru, pembangunan negara harus dapat menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Menurut Midgley dalam bukunya Social Development: The Development Perspective in Social (London: Sage Publication, 1995) terdapat tiga elemen penting berkaitan dengan konsep kesejahteraan sosial. 


Elemen terbabit ialah aspek memenuhi keperluan hidup, peluang mobiliti sosial dan pengurusan isu dan masalah sosial. Justeru, pembuat dasar dan badan pelaksana mesti mengaplikasikan ketiga-tiga perkara itu secara bersepadu supaya usaha meningkatkan kualiti hidup individu, keluarga dan masyarakat dapat berjalan lancar. 

Aplikasi ketiga-tiga elemen itu penting bagi mencapai matlamat kepuasan maksimum terhadap keperluan asas, mewujudkan keadaan persekitaran yang selamat dan memaksimumkan peluang mobiliti sosial. Untuk mencapainya, pelaksanaan itu mesti membuka ruang dan peluang kepada kebebasan ahli komuniti membangun potensi diri serta pembabitan secara aktif dalam aktiviti komuniti yang dapat memberi sumbangan kepada komuniti. 

Usaha pengembangan potensi diri 

Elemen penting yang mesti ditekankan dalam pembangunan komuniti ialah usaha pengembangan potensi diri bagi meningkatkan tahap kualiti hidup. Mereka mesti didedahkan dengan hak dan peluang untuk merealisasi potensi kehidupan sosial mereka. 
Secara garis kasarnya, pendekatan diamalkan oleh negara bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat adalah melalui tiga pendekatan, iaitu pendekatan pembangunan sosial, pendekatan pentadbiran sosial dan pendekatan kerja sosial. Objektif besarnya adalah bertujuan mengawal dan mengatasi masalah sosial yang berlaku. 

Pada asasnya, tahap kesejahteraan sosial boleh dinilai berdasarkan kepada indikator kesejahteraan sosial. Perkara inilah yang cuba diteliti oleh Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Majlis Profesor Negara (MPN) dalam Konvensyen Kebangsaan Pengukuhan Kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi Dalam Transformasi Kesejahteraan Sosial Negara yang diadakan pada 11 Oktober tahun lalu. 

Indeks Kesejahteraan Sosial 

Usaha untuk membangunkan indeks berkenaan penting bagi mengenal pasti tahap kualiti hidup serta dasar sosial yang ada di negara ini. Terdapat dua rujukan utama yang boleh dijadikan sandaran kepada Indeks Kesejahteraan Sosial iaitu Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) dan Dasar Sosial Negara 2003. 

IKHM merangkumi 11 komponen, iaitu pendapatan dan pengagihan, pendidikan, keselamatan awam, perumahan, pengangkutan dan komunikasi, kehidupan keluarga, alam sekitar, penyertaan sosial serta kebudayaan dan liburan. Dasar Sosial Negara (DSN) pula adalah berteraskan nilai murni dan peningkatan keupayaan insan untuk mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat. 

Menariknya, Indeks Kesejahteraan Sosial yang ingin dibangunkan oleh MPN itu tidak hanya tertumpu pada penilaian terhadap perkara berkaitan ukuran material semata-mata, tetapi ia juga mengambil kira aspek spiritual berkaitan dengan nilai murni dan moral dalam kehidupan masyarakat. Ia bukan perkara yang mudah, tetapi kita yakin anggota MPN yang memiliki ramai tenaga pakar boleh melakukannya. 

Satu perkara yang harus difahami ialah asas penting kepada kesejahteraan sosial ialah pendidikan. Mengapa pendidikan dianggap sebagai asas kesejahteraan sosial? Ini adalah kerana pendidikan adalah tapak kepada pembangunan modal insan. 

Justeru, dalam konvensyen kali kedua, Konvensyen Kebangsaan Kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi dan Kesejahteraan Sosial: Merealisasikan Transformasi Ke Arah Masyarakat Sejahtera yang diadakan pada 20 hingga 21 Mei lalu, fokus perbincangan ditumpukan kepada peranan institusi pengajian tinggi (IPT) ke arah menyumbang kepada kesejahteraan sosial. 

Konvensyen terbabit dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept), MPN dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Penulis turut hadir sebagai peserta dalam konvensyen itu. Penulis tertarik dengan apa yang disebut oleh Profesor Ulung, Tan Sri Professor Dr Kamal Hassan dalam ucaptamanya yang menyebut IPT mesti menjadi model terbaik dengan berpegang kepada prinsip kesejahteraan yang tinggi. 

Pembangunan sahsiah insan 

Beliau menekankan aspek kalbu (hati) sebagai paksi penting bagi mencapai kesejahteraan sosial. Justeru, ia menuntut hala tuju IPT serta sikap kepemimpinan tertinggi IPT agar komited untuk membangun sahsiah insan yang memiliki ‘kesejahteraan kalbu’. Ia mesti dibina berasaskan perspektif agama tauhid yang memberi tumpuan kepada dua bentuk hubungan, iaitu hubungan manusia dengan Tuhan (hubungan secara vertikal) dan juga hubungan sesama manusia (hubungan secara horizontal) bagi melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni. 

Walaupun peranan IPT hari ini dilihat memberi tumpuan kepada memenuhi kehendak industri atau pasaran kerja, tetapi IPT harus merangka kurikulum dan kokurikulum yang dapat membina keseimbangan dari segi kecerdasan minda (intelek), emosi, spiritual dan sosial. Selain tanggungjawab melahirkan modal insan berkualiti, IPT juga perlu memainkan peranan mengenal pasti penyelesaian atau alternatif kepada pelbagai permasalahan yang mendepani masyarakat. 

Ini bermakna IPT di negara ini harus mengorak langkah untuk merealisasikan agenda simbiosis antara pendidikan tinggi dengan masyarakat melalui pelbagai program yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat. Dalam konteks ini, IPT wajar menyediakan perkhidmatan inkubasi yang boleh memberi sesuatu yang baru kepada pelajar dan pembangunan sumber manusia. Perkhidmatan ini bukan sahaja dapat mewujudkan sinergi yang berkesan antara IPT dan industri, tetapi juga antara IPT dan masyarakat. 

Kesimpulan, aspek kesejahteraan sosial mesti diberi perhatian oleh kerajaan terutama dalam usaha mencapai Wawasan 2020. Namun, tanggungjawab ini tidak harus diletakkan di bahu kerajaan semata-mata, tetapi ia memerlukan pembabitan aktif pelbagai pihak termasuk IPT di negara ini. Pembabitan aktif pihak terbabit dapat membantu kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berusaha keras untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui agenda transformasi ekonomi dan sosial. 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik