Friday, May 31, 2013

PERBEZAAN YANG DIHARGAI, DIHORMATI.

By: Dr Sivamurugan Pandian.

SUASANA hari ini memberikan nafas kepada paparan sebenar persekitaran yang dihuni. Dengan perubahan proses perbandaran, peningkatan kedudukan dalam kelas stratifikasi masyarakat baik di peringkat bawahan, pertengahan dan atasan, sudah pasti wujud tren pemikiran yang berbeza dengan mengambil kira keperluan dan kemahuan masing-masing.

Hatta, adakah ia sudah merentasi nilai kaum dan etnik serta agama sehingga kepentingan nasional diberi keutamaan. Atau, ia merupakan satu perhubungan resiprokal yang saling perlu memerlukan di antara satu sama lain? Apakah muhibbah bagi kaum, kelas, bandar dan warga khususnya?

Baik seorang kanak-kanak, ibu bapa, warga emas, pejalan kaki, pelajar, peniaga, dan pemimpin sekalipun, yang penting adalah kualiti kehidupan.

Walaupun pendefinisian ke atas kualiti kehidupan merangkumi pelbagai isu yang terikat dengan seseorang individu, yang jelas adalah bagaimana ia boleh memberikan kesan positif dan negatif serta cabaran yang perlu diharungi untuk memastikan ia sentiasa dapat dipertingkatkan dengan penambahbaikan secara berterusan disimpul dengan kepentingan nasional dan latar belakang masing-masing.

Kepekaan kepada sensitiviti ideologi politik wajarkah memencilkan nilai perkongsian dan kepunyaan yang menjadi bimbingan selama ini? Perlukah semangat roh jiwa Malaysia atas prinsip Kitak kan Malaysia dengan kemuafakatan pada rakyatnya dikompromi kerana tidak mahu menerima hakikat dalam meraikan kejayaan; ada pihak yang lebih berjaya yang secara berhemah memerhati dan memegang teguh terma hormat, faham dan menerima atas satu sama lain.

Yang mahu dibina sekian lama adalah sifat kepunyaan dalam diri masing-masing kerana ada juga individu perlu tahu bukan mudah untuk membina apa yang sudah dicapai selama 56 tahun tetapi ia boleh roboh sekelip mata kerana keterlanjuran emosi yang memerlukan kematangan dalam melihat sesuatu dengan rasional.

Soal periuk nasi tidak pernah dikompromi dan agenda muhibbah adalah untuk memastikan sesiapa sahaja masih dapat sesuap nasi dalam kemelut kehidupan harian mereka. Sama-sama kita bertanggungjawab ke atas agenda muhibbah agar dapat dilaksanakan dan ketepikan perbezaan yang mesti dilihat sebagai aset dan bukan liabiliti dalam negara yang bernama Malaysia ini.

Setiap warga Malaysia ada haknya sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan prinsip Rukunegara menjadi junjungan bersama. Raikan kemakmuran, keamanan dan keselamatan negara ini kerana asasnya adalah muafakat bersama. Yang menang tidak menang semuanya; yang kalah tidak kalah semuanya baik berbeza dari sudut fahaman politik sekalipun.

Penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan dan Kewarganegaraan di bawah Penyatuan Nasional boleh dipertimbangkan di peringkat Pusat supaya masing-masing tahu bahawa soal tanggungjawab warganegara bukan sekadar menjaga periuk nasi masing-masing tetapi lebih daripada itu, memelihara kemuafakatan dan perpaduan demi masa depan anak bangsa negara ini.

Ia boleh dipanjangkan merentasi peranan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bersama Rukun Tetangga; perlu ada agensi memulihara perpaduan di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat dalam konteks parti politik tidak ketinggalan di agensi kerajaan termasuk sekolah dan universiti, badan sukan, hiburan dan rekreasi di luar lingkaran keduniaan politik.

Gen-Y juga mesti sedar bahawa dalam keseronokan mahukan perubahan, bagaimana nilai Malaysia tidak luntur dek perbezaan yang sepatutnya dihargai dan dihormati. Ekspektasi menjadi tinggi saban hari tetapi kita juga tidak boleh bersifat selektif. Hormati dan akur apa yang sudah ditentukan oleh mandat majoriti masyarakat negara ini.

Persekitaran hari ini perlu jaminan bahawa masing-masing walau berbeza pandangan dan fahaman; masing-masing masih boleh bersama dalam konteks hal tertentu supaya muhibbah tidak ada jangka hayatnya. Yang ada hanya kesinambungan untuk melakukan pembaharuan dan perubahan tanpa perlu gugat apa yang sudah wujud sekian lamanya.

Ada yang melakukan perilaku yang bersifat lakonan semata-mata untuk meraih sokongan malahan ada juga menjadi penghibur muafakat pelbagai etnik tetapi integriti perpaduan mereka boleh dipersoal kerana tingkahlaku mereka bersifat bermusim terutama ketika memerlukan sokongan dalam meneruskan kepimpinan politik mereka. Golongan bersifat bermusim perlu ditolak kerana boleh memberikan kesan jangka panjang jika tidak ditangani segera.

Kelahiran golongan radikal atau ekstrem adalah kerana wujud lompong yang membolehkan mereka bergiat aktif akibat golongan majoriti yang senyap dan membiarkan mereka ini menggunakan ruang untuk membolehkan mereka bermaharajalela akibat kealpaan kelompok majoriti sendiri. Jika bersatu dan tahu tuntutan yang perlu disertai dengan iktibar dan iltizam, apa mungkin kelompok radikal ini mahu bersuara?

Apa sahaja berlaku turut menjadi tanggungjawab bersama. Jika ada kegagalan, kita juga mesti bertanggungjawab kerana tidak mencari penyelesaian untuk membolehkan ia diatasi sebelum merebak. Begitu juga dalam konteks muhibbah. Jika ia dibiarkan tanpa dilihat penting dari peringkat awal lagi, kesejahteraan sosial akan menjadi percaturan dominan kesan dari tingkahlaku masyarakat yang sebilangannya kini merasakan proses pembangunan dan modenisasi telah membuka ruang pemetaan pemikiran yang jauh menyimpang dari emansipasi rakyat sebenar.

Seperempat kehidupan dihabiskan di sekolah oleh seorang yang berumur 7 hingga 17 tahun; adakah ia perlu bermula di sekolah atau keluarga menjadi tiang seri integriti perpaduan? Bagaimana jika di sekolah dan universiti direncanakan Indeks Pengukuran Kemuafakatan Nasional bilamana mereka akan menjadi perisai kekuatan negara satu hari nanti. Dengan paras indeks ini, sekurang-kurangnya pihak berwajib tahu apakah pendekatan yang boleh diambil untuk mengatasi sesuatu permasalahan yang timbul walaupun Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sudah mempunyai Indeks Ketegangan Sosial yang pada 2012 melihat 19.9 kes ke atas sejuta penduduk.

Walau apa perbezaan, setiap warga ada peranan ke atas negara ini. Dalam hal-ehwal muhibbah dan perpaduan; jika kita bersama, yang untung ialah kesemua anggota masyarakat yang tahu jiwa mereka mesti diwarnai dengan jiwa Malaysia dengan nilai-nilai bersama dan bukan sebaliknya.

Kecemerlangan ketamadunan yang mahu dibina dalam negara ini bergantung kepada kesemua lapisan masyarakat. Semangat beradab, sepadu dan sepunya di samping muafakat adalah antara ciri-ciri dominan diangkat untuk mempertahankan kepercayaan dan keyakinan.

Wadah perjuangan bersama untuk menyimpulkan nilai lokal dalam memacu kecemerlangan dasar yang lebih menyeluruh ke arah wawasan nasional dengan diselaputi oleh warga yang tahu kekuatan perpaduan dan jati diri serta meminggirkan diri dari diracuni oleh model bersifat peribadi akan memastikan Malaysia kekal muhibbah dalam dinamika pembangunan berterusan sentiasa.




No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik