Thursday, May 16, 2013

PERIHAL TUKANG KAYU DAN PAHAT.

By: Abd Jalil Ali.

Ada orang menyebut bidalan Melayu lama untuk menggambarkan kehangatan soksek-soksek pasca PRU13. Kata mereka, rumah sudah siap pahat masih berbunyi. Kalau tidak ada usaha menghentikannya, pahat itu akan berbunyi sepanjang zaman, memekakkan telinga.

Sebenarnya pahat sudah berbunyi sekian lama, sejak tsunami politik 2008. Tukang buat rumah @ tukang kayu, tidak puas hati dengan rumah yang siap ketika itu. Maka mereka mengetuk pahat untuk memperbaiki binaan yang tidak mengikut spesifikasi.

Rakyat keluar beramai-ramai 5 Mei lalu, dan pada 6 Mei rumah baru pun siap. Tetapi kali itu rumah baru itu pun banyak cacat celanya. Tiang senget, serambi tidak rata, bumbung bocor, tiang seri bengkok, engsel berbunyi, tandas tersumbat, katil berkeriut, pendek kata serba tidak kena.

Tidak hairanlah tukang-tukang kayu menjerit lagi gelabah dan separuh sasau, sambil tidak habis-habis mengetuk pahat. Kemuncak pahat berbunyi ialah ‘Himpunan Blackout 505’ yang diadakan di Stadium Kelana Jaya, Selangor, hanya beberapa hari selepas keputusan pilihan raya.

Malam itu sekitar 50,000 orang mengasak stadium, juga melimpah di kawasan keliling. Jalan raya menjadi sesak, lalu-lintas terhalang. Anak-anak kecil menangis dalam kenderaan yang terperangkap. Hingga lewat malam tersebut, ribuan penduduk sekitar stadium berasa tidak selesa.

Mengikut jadual, himpunan anjuran pihak pembangkang itu akan diadakan di seluruh negara. Dari Kelana Jaya, akan ke Ipoh, Johor Bahru, mungkin juga ke Sabah dan Sarawak. Seperti yang dijelaskan penganjur, matlamat perhimpunan ialah mendedahkan kepincangan dan penipuan PRU13.

Pihak pembangkang ada sebab untuk tidak berpuas hati. Mereka ingin membuktikan ada penipuan dan manipulasi dalam proses pilihan raya. Beberapa perkara berbangkit tidak dapat dijelaskan secara munasabah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dakwat pada jari telunjuk yang pada mulanya dikatakan boleh kekal selama tujuh hari, mudah hilang tidak sampai dua hari. Malah, ada jari sudah bersih seperti sedia kala dalam masa beberapa jam. Maka mereka kata suruhanjaya bebas itu bercakap bohong.

Daftar pemilih didakwa tidak bersih. Ada sekian banyak pengundi hantu. Orang sudah meninggal dunia, nama masih ada dalam senarai. Ada juga tuduhan berpuluh ribu pengundi asing, antaranya dari Bangladesh, diangkut dengan pesawat untuk memangkah di Semenanjung. Malang, beberapa orang warga Malaysia tulen dihalang mengundi kerana disyaki sebagai warga negara asing.

Walaupun undi popular memihak kepada PR - 5,623,984, berbanding 5,237,699 yang diterima pihak lawan – BN masih menguasai Putrajaya dengan 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi yang dimenangi PR.

Pasukan ‘Siasat PRU13’ yang diketuai pengarah strategi PKR Rafizi Ramli telah menerima 237 laporan berhubung ketidaklaziman dalam pilihan raya, dan akan menyiasat dakwaan penipuan di 27 kerusi Parlimen.

Mereka akan mengemukakan petisyen. Jika keputusan petisyen memihak kepadanya, PR boleh membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah.

Seperti yang didakwa ada sekian banyak penipuan. PR dan mana-mana juga pihak yang tidak puas hati dengan keputusan rakyat yang dibuat pada 5 Mei, berhak untuk mengemukakan dakwaan menerusi petisyen pilihan raya.

Rasa tidak puas hati hendaklah disuarakan dan diluahkan menerusi proses undang-undang, dan bukan dengan melaungkannya menerusi tunjuk perasaan atau perhimpunan. Walaupun yang hadir puluhan ribu, itu tidak dapat menyelesaikan tuduhan penipuan dan ketidaklaziman PRU13. Lagi pun puluhan ribu yang hadir itu bukan mewakili rakyat terbanyak. Selepas membuat pemilihan, rakyat mahu ketenteraman, bukan jeritan, maki-hamun, dan kesesakan lalu-lintas.

Jadi hentikanlah bunyi pahat, sebab sejak sekian lama kita sudah jemu mendengar ketukan pahat yang tidak henti-henti itu. Telinga rakyat sudah pekak mendengar bunyi pahat. Rakyat, tidak kira yang menyokong kerajaan atau pembangkang, mahukan haluan telinga yang lebih lunak dan merdu.

Lupakan bidalan mengenai pahat, sebaliknya kini tumpukan segala usaha untuk pembangunan dan kebajikan rakyat, seperti kata satu lagi peribahasa lama: Biduk lalu kiambang bertaut.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik