Wednesday, May 29, 2013

PERJUANGAN HAK MELAYU TIDAK ABAI BANGSA LAIN.

by: Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dewasa ini makin ramai golongan profesional Melayu dalam bidang korporat yang semacam rasa bersalah atau apologetik apabila bercakap mengenai hak dan kepentingan Melayu sebagai mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Bahkan ada juga yang sudah berjaya menjadi CEO syarikat korporat melalui dasar afirmatif, tergamak memperlekeh dan mempertikaikan mereka yang memperjuangkan agenda itu. 

Seolah-olah agenda memartabatkan bangsa Melayu dan Bumiputera sebagaimana peruntukan Perlembagaan itu adalah cukup hina dan bersifat rasis. Sedangkan bangsa lain yang berjuang menegakkan hak dan kepentingan mereka sehingga melangkaui Perlembagaan tidak pula dianggap rasis. 


Jika dirujuk kamus Oxford antarabangsa, rasis ialah satu kefahaman bahawa sesuatu bangsa itu lebih mulia berbanding bangsa lain hingga menebal nilai prejudis yang membawa kepada perlakuan diskriminasi, menafikan hak bangsa lain kerana dianggap lebih rendah martabatnya berbanding mereka. 

Persoalannya benarkah pejuang Melayu bersikap rasis sebagai mana definisi ini? 
Apakah agenda memartabatkan bangsa Melayu ini bertentangan dengan prinsip Islam? Atau apakah benar tanggapan segelintir yang berpandangan bahawa ia tidak ubah seperti konsep assabiyah jahiliah yang sesat lagi menyesatkan? 

Hakikatnya, mereka yang sering memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera tidak pernah mendakwa Melayu itu lebih mulia berbanding bangsa lain. Mereka juga tidak sesekali mendesak kerajaan melakukan diskriminasi hingga menafikan hak dan kepentingan bangsa lain. 
Sikap ekstremes kaum 

Perjuangan memartabatkan agenda Melayu hanya menegaskan kembali dasar afirmatif yang menzahirkan semangat dan aspirasi Perlembagaan agar terus dipertahankan. Desakan sedemikian lahir atas rasa khuatir dengan sikap segelintir ekstremes kaum yang mulai berani mencabar Perlembagaan yang menerasi keharmonian kaum di negara ini selama lebih 55 tahun. 

Agenda Melayu bukanlah nasionalisme sekular Barat yang terpisah daripada prinsip dan aturan agama hingga mewujudkan gejala perkauman sempit yang membinasakan. Semangat kebangsaan juga tidak sama sekali berintikan kesombongan dan kefanatikan melulu hingga tercerna nilai materialistik yang mengancam kemanusiaan. 

Sebaliknya, agenda Melayu mencakupi makna kebangsaan yang luas dan subur nilai keislaman sejati yang hakikatnya begitu kental menerasi jiwa dan jatidiri pejuang Melayu Islam. 

Berpaksi nilai Islam 

Bagi menyuburkan semangat kebangsaan dan patriotisme, bekas pemimpin PAS yang juga tokoh nasionalis terkenal, Dr Burhanuddin al-Hilmy dalam makalah bertajuk Perjuangan Kita, merungkaikan makna perjuangan nasionalisme Melayu yang berpaksikan nilai keislaman sejati bersifat akomodatif, menjunjung prinsip keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan sejagat. 

Katanya, prinsip keadilan dan kebenaran sahajalah yang mampu menjelmakan semangat kebangsaan luhur dan tidak mudah terjerat dalam kerangka assabiyah jahiliah atau fanatik kesukuan melulu sebagai mana yang diamalkan oleh masyarakat Arab Jahiliah sebelum Islam. Pemikiran beliau itu seiring dengan firasat ahli falsafah Islam tersohor, Ibn Khaldun yang lahir pada zaman kegemilangan kerajaan Islam Andalusia. 

Melalui kitabnya yang masyhur Muqaddimah, Ibn Khaldun menyingkap fahaman kebangsaan berteraskan dua dimensi assabiyah yang menurutnya boleh menjadi positif atau negatif. Beliau mentakrifkan assabiyah yang positif sebagai semangat permuafakatan dan persefahaman yang terbentuk dalam struktur sosial masyarakat hingga membudaya sikap tolong menolong dan kerjasama. 

Sebaliknya sesebuah tamadun akan terdedah kepada kebinasaan sekiranya assabiyah jahiliah yang berlandaskan sentimen perkauman sempit lebih mendominasi sesuatu bangsa. 

Justeru, tidak timbul isu rasis bagi sebuah perjuangan memartabatkan agenda bangsa kiranya yang diperjuangkan itu selaras dengan prinsip keadilan Islam yang tidak sesekali merelakan perlakuan diskriminasi mahupun penafian hak dan kepentingan kaum lain sebagai mana yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik