Thursday, May 16, 2013

PIHAK CETUS KEKACAUAN MESTI DIHUKUM.

By: Ibrahim Yahaya.

Sikap pihak tertentu untuk mewujudkan prasangka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan negara dalam jangka panjang. 

Pihak terbabit jelas menghasut rakyat mempertikaikan apa saja keputusan terutama yang tidak memihak kepada mereka. Mereka mahu rakyat menganggap setiap kemenangan itu disebabkan oleh perbuatan menipu untuk memanipulasikan proses pengundian. 

"Mereka mahu melihat Malaysia tidak stabil bagi membolehkan boneka mereka mengambil alih pentadbiran negara dan memastikan segala keperluan dan keuntungan diperoleh mereka sepanjang masa".

Sudah sampai masanya, rakyat menolak golongan yang berusaha mewujudkan prasangka itu. Rakyat perlu memahami bahawa proses pemilihan wakil rakyat berjalan lancar sejak pertama kali diadakan pada 1959 dan banyak kerusi turut dimenangi pembangkang.

Rakyat perlu sedar bahawa sebarang gerakan ke arah mewujudkan rasa sangsi itu bukan saja tidak baik untuk negara malah akan dipergunakan pihak luar yang sentiasa mahu mencari kesalahan dalam proses mewujudkan demokrasi di negara ini. Mereka suka melihat kerajaan yang adil tumbang.

Umpamanya, usaha pihak tertentu mewujudkan prasangka dengan mendakwa warga Bangladesh turut mengundi pada PRU kali ini menyebabkan berita itu dipetik agensi berita antarabangsa yang mahu memaparkan proses pemilihan di Malaysia tidak bersih dan keputusannya dimanipulasi.

Mereka yang terbabit untuk mewujudkan huru-hara pada hari mengundi itu perlu dibawa ke muka pengadilan dan jika didapati bersalah perlu dihukum untuk menjadi pengajaran supaya perbuatan sedemikian tidak berulang pada PRU akan datang. 

Kerajaan BN prihatin 

Rakyat perlu sedar bahawa pada PRU-12, Barisan Nasional (BN) dinafikan kemenangan dua pertiga di Parlimen dan kehilangan Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor selain hanya menang dua kerusi di Wilayah Persekutuan, iaitu di Putrajaya dan Labuan.

Apakah jika benar wujudnya manipulasi dalam proses PRU, BN tidak mengambil kesempatan untuk memastikan mereka tidak kecundang seperti pada PRU-12? Jika BN boleh memanipulasikan keputusan pilihan raya, sudah tentulah mereka tidak perlu risau dan hanya goyang kaki setiap kali PRU diadakan.

Rakyat perlu sedar sejak kekalahan besar itu, BN di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mengambil alih secara beradab daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah berusaha gigih untuk memastikan BN terus terpahat di hati rakyat.

Pelbagai transformasi dilaksanakan di bawah gagasan 1Malaysia yang mendahulukan rakyat. Ini termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) selain mengadakan transformasi politik, termasuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Nikmat produk 1Malaysia

Sejak menjadi Perdana Menteri pada April 2009, Najib sudah memperkenalkan pelbagai transformasi yang bertujuan memastikan negara ini mampu menjadi negara maju pada 2020 selain menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan memerlukan.

Kekalahan besar pada 2008 itu yang disifatkan sebagai ‘loceng amaran’ kepada BN dan benar-benar menginsafkan pemimpin gabungan itu bahawa mereka perlu melaksanakan pendekatan memastikan golongan memerlukan benar-benar mendapat faedah daripada setiap program kerajaan.

Walaupun pelbagai pembangunan diadakan di seluruh negara terutama kemudahan infrastruktur di kawasan pedalaman, rakyat miskin amat memerlukan bantuan secara langsung terutama mereka yang ‘kais pagi, makan pagi’ dan terpaksa melalui kehidupan yang sukar.

Dengan pelbagai produk 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib seperti Kedai 1Malaysia, Menu 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), golongan miskin dapat merasai mereka sentiasa dalam radar bantuan kerajaan sejak empat tahun lalu.

Oleh itu, tidak hairanlah Perdana Menteri diberikan sambutan yang baik oleh rakyat di seluruh negara kerana mereka sedar bahawa kerajaan sejak empat tahun lalu benar-benar mewujudkan bantuan untuk rakyat miskin dari semasa ke semasa, termasuk bantuan rumah dan pelajaran.

Tolak pemimpin boneka 

Loceng amaran itu walaupun pahit untuk pemimpin BN, adalah satu ubat bagi mereka untuk bekerja keras membantu rakyat, termasuk di Sabah dan Sarawak. Setiap pemimpin BN kini tidak boleh menganggap mereka diterima di mana saja melainkan mereka benar-benar mementingkan rakyat.

Rakyat yang sudah menerima pelbagai bantuan kerajaan, terutama dalam tempoh empat tahun ini perlu memastikan Malaysia terus makmur di bawah kerajaan yang stabil dan cekap. Tanpa kestabilan dan kecekapan, negara tidak akan berjaya dibangunkan dengan baik.

Justeru, golongan yang mahu membuat kekacauan termasuk menggunakan demonstrasi jalanan yang berakhir dengan pelbagai kerosakan harta awam dan mencederakan anggota pasukan keselamatan perlu ditolak kerana ia jelas agenda dari luar.

Mereka mahu melihat Malaysia tidak stabil bagi membolehkan boneka mereka mengambil alih pentadbiran negara dan memastikan segala keperluan dan keuntungan diperoleh mereka sepanjang masa.

Sudah tentulah rakyat negara ini tidak mahu seorang pemimpin boneka menerajui Malaysia sehingga kita tidak lagi merdeka dalam erti kata sebenar.

1 comment:

  1. Salam sejahtera.

    Mohon pihak tuan dapat memasukkan laman portal Berita Pahang dalam senarai blog list tuan.

    Kerjasama tuan sangat - sangat kami hargai. Terima kasih.

    http://bpunp.blogspot.com/

    ReplyDelete

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik