Friday, May 24, 2013

POLIS TIDAK PERLU GENTAR - MUHYIDDIN.


Polis tidak perlu gentar untuk menahan anggota pembangkang dan aktivis jika tindakan itu dibuat atas dasar bahan bukti mencukupi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, keselamatan dan kesejahteraan negara perlu diutamakan walaupun ada kemungkinan penahanan tersebut akan dijadikan modal politik pembangkang.

“Apa yang penting ialah rakyat mahu melihat ketegasan pihak berkuasa bertindak kerana menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara.

“….pihak polis mengambil tindakan sewajarnya supaya tidak berlaku huru-hara, bukan kerana soal politik tetapi demi memelihara kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan pelancongan di Phuket oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TTA).

Beliau mengulas penahanan Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis Haris Ibrahim dan anggota PAS Tamrin Ghafar di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan kerajaan tidak campur dalam penahanan beberapa anggota pembangkang dan aktivis hari ini kerana ia di bawah bidang kuasa polis sepenuhnya.

Beliau berkata polis tentunya mempunyai asas kukuh untuk mengambil tindakan berkenaan bersandarkan kepada bukti mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita tidak mahu campurinya kerana mereka (polis) dapati ada asas kukuh untuk reman penama berkenaan kerana dikatakan telah langgar peraturan.

“Apabila sudah sahih dan cukup buktinya, terserah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan kerana sejak kebelakangan ini rakyat rasa cukup bimbang kalau tidak ada tindakan tegas diambil, tidak kira siapa yang lakukannya,” katanya

Mengenai tindakan pembangkang yang berterusan mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Muhyiddin mengingatkan bahawa Malaysia tidak mengamalkan ‘undang-undang rimba’ sebaliknya wujud undang-undang masyarakat sivil yang digubal untuk kesejahteraan negara termasuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

Ditanya apakah tindakan tegas sedemikian mampu menghentikan rancangan pembangkang untuk meneruskan siri demonstrasi haram bagi tujuan mencetuskan suasana tidak tenteram, Muhyiddin berkata pihak berkenaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya perlu hormati suara demokrasi.

“Apa yang rakyat hendak lihat sekarang ialah Barisan Nasional (BN) menunaikan segala khidmat kepada rakyat dan pembangkang boleh mencuba nasib mereka sama ada diterima majoriti rakyat atau tidak pada pilihan raya umum akan
datang,” katanya.

 

 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik