Wednesday, May 15, 2013

POLITIK BARU POLITIK LAMA.

By: Abdullah Ahmad.

Sepuluh hari selepas keputusan PRU13 diumumkan, disah, tidak lama lagi akan digazetkan seharusnya tiada kemelut lagi tetapi nampaknya ketegangan- lebih tepat petanda keadaan bahaya- terus wujud. Jelas demokrasi Malaysia belum matang, belum dewasa lagi.

Kita menuju kalau tidak ditangani segera ke arah demokrazy! Banyak bercakap, kurang tindakan, banyak peraturan amat kurang penguatkuasaannya. Di Kuala Lumpur, di kalangan chattering class, celoteh kegemaran adalah Politik Baru, di warung dan gerai Politik Lama- politik cari makan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan ke arah mencari rezeki yang lebih stabil dan lumayan, kalau boleh secara halal!

Di Kota Bharu pula, hujung minggu saya makan  tengah hari dengan tiga cendekiawan Islam muda, anak Kelantan jati dan topiknya politik Islam: Ikhwanul Muslimin, hudud, syariah, asabiyah, wasatiyah dan siasah pan-islamik.

Di kalangan bukan Peribumi Malaysia dan diplomatic circle lebih berkisar pada demokrasi (bisa protes, picketing dan berdemonstrasi sesuka masa), ketelusan, keadilan dan hak asasi manusia (lebih hak, peluang untuk orang bukan Peribumi), kebebasan media (bagi permit pada Malaysiakini untuk menerbit akhbar atau apa tuntutan lain), pendidikan liberal lagi progresif (perkasakan Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil- pendidikan vernakular mesti ditingkatkan lagi), tiada rasuah (keseluruhan penjawat dan politikus Melayu rasuah, polis korup.

Siapa pemberinya mereka tahu tapi sengaja berdiam diri. Mereka melanggar peraturan trafik kerana takut habis masa di mahkamah mereka buat deal dengan polis lepas itu cakap polis korup!) Tiada saksama peluang dan hak, mereka sengaja pula membuta tuli bahawa kebanyakan yang mega kaya adalah bukan Melayu (kononnya itu berdikari. Hello...).

Kebanyakan Peribumi miskin (mereka setuju tetapi sebabnya Peribumi malas, terlalu dimanjakan oleh kerajaan, sudah mati inisiatif). Syarikat Eropah dan Amerika tender kontrak, kalau dapat pun bercakap, yang tak dapat lagilah bercerita tentang korupsi kononnya mereka tak berjaya sebab mereka tidak dapat mengatasi suapan lawannya juga bangsa mereka!

Masakan mereka tidak tahu pemberi rasuah berdosa sama, sama salah ikut undang-undang dan sama jelik dan geli! Malangnya orang Melayu, Islam, Peribumi tidak sedar kesamarataan yang dituntut adalah bermakna orang dagang dan bukan Peribumi terus di atas, kita terus di bawah seperti belum berlangsungnya Dasar Ekonomi Baru.

Sedihnya orang kita berseminar ke sana ke sini, saya pun dijemput kerana pertembungan masa saya tidak dapat memenuhinya. Kita suka berkhutbah sesama sendiri. Orang lain menyerang Melayu, menghentam Islam, memperlekehkan pemimpin Melayu biasanya bukan di kalangan mereka kerana itu sudah sebati tetapi di kalangan orang dagang, pemodal, diplomat, media dan cendekiawan asing. Inilah akibat kita seronok terus menjadi jaguh kampung.

Melayu, Islam, Peribumi baru sedikit berkuasa mudah lupa daratan baik di kalangan swasta, perkhidmatan awam dan politik kedua belah, pemerintah dan pembangkang. Sudah berasa pintar, sudah hebat (ada yang berasa lebih bijak lagi daripada Cina dan Yahudi!) Langsung tidak mahu bergaul dan muafakat lagi dengan sebangsa dan seagama.

Mereka kononnya sudah tiba pada alam di mana mereka tidak lagi mengenali warna, agama dan asal-usul orang itu. Terpenting adalah meritokrasi. Hello! Hebat betul Melayu Baru ini, gagah sungguh pengikut dan penggiat Politik Baru ini. Sebenarnya mereka menang sorak kampung tergadai.

Ada antara 133MP Barisan Nasional dan beratus Adunnya semenjak 10 hari lepas tidak lena tidur, mandi tak basah, makan tak kenyang, tanpa penat siang dan malam melobi untuk jadi menteri, timbalan menteri, exco dan kedudukan lain. Ini amat wajar, kenapa tidak?

Kelayakan, bakat, potensi semua sependapat mereka mempunyai  sifat di atas kalau tidak masakan presiden Umno/BN pilih mereka bertanding? Saya tidak buat ramalan kerana Najib Tun Razak tidak banyak pilihan, dia realis maka terpaksa mengambil kira geopolitik, maknanya kenegerian, kaum dan sedikit-sebanyak suku-sakat.

Tiada kena-mengena dengan kebolehan, akhlak, kecekapan, amanah dan kredibiliti. Inilah yang dihadapi oleh BN dan Najib begitu juga PR dan Anwar Ibrahim. Kemelut Menteri Besar Selangor lebih teruk lagi. Tetapi di Kelantan, Tok Guru Nik Aziz pintar.

Cepat-cepat melantik penggantinya seperti kata mat salih fait accompli yakni perkara sudah berlaku, keputusan sudah dibuat dan mereka terpaksa terima. Husam Musa terpaksa terima hakikat ini! DAP di Pulau Pinang tiada masalah kerana parti itu amat dominan.

Waspada dengan Politik Baru! Negara mesti membuat perubahan begitu juga rakyatnya sesuai dengan tuntutan zaman. Saya bersetuju bukan sekarang bahkan secara aktif dulu lagi- zaman Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak dan Dr Mahathir- supaya negara, kerajaan dan kita sendiri sesuai dengan keadaan semasa asalkan pendekatan itu tidak melawan semangat dan roh Kontrak Sosial dan perlembagaan negara.

Politik Baru yang dianjurkan kini adalah benar-benar Politik Baru- menghapuskan status quo. Sudahkah orang Islam, Melayu dan Peribumi bersedia? Saya tidak fikir raja-raja Melayu akan memperkenankan tuntutan Politik Alam Baru ini.

Orang Cina dan orang Melayu urban, mereka yang menganggap sebijak Yahudi berpakat tidak mahukan kepada kelangsungan status quo maka sebab itulah pada Ahad 5 Mei berlakunya banjir Cina, dengan bantuan angin Melayu liberal, Melayu sekular dan Melayu bijak pandai yang sekarang mendapat nikmat bukan kerana dasar kerajaan tetapi kerana kepandaian, bakat, dan kreativiti dan usaha sendiri tanpa pertolongan kerajaan yang mereka memandang dengan jelik dan geli itu.

Rata-rata mereka pandai, rata-rata keturunan yang berada sebab itu mereka pergi belajar ke luar negara belanja sendiri! Kalau benar-benar peluang pekerjaan mesti adil dan saksama; memanfaatkan semua bangsa tanpa kira agama, bahasa baguslah.

Saya yakin bilangan Melayu, Islam, Peribumi akan turun mendadak. Janganlah hanya mereka yang dekat pemimpin, kroni dan keluarga mereka sahaja yang terus mendapat kemudahan. Kalau ini terus berlaku tanpa muhasabah tunggulah kebangkitan orang Melayu di luar bandar, kebangkitan Peribumi di pedalaman.

Yang menyelamatkan kerajaan 5 Mei Ahad lalu adalah pengundi di luar bandar. Hear, hear, hear. Apabila persefahaman antara mereka di luar bandar dan di bandar wujud atau orang di luar bandar sudah bosan dengan tolak ansur, kompromi bagi betis mahu paha mereka akan memangkah parti yang berjanji keadilan, setaraf dan kesamarataan.

Banyak orang, termasuk orang Melayu sendiri sekarang, telah dimomok dengan sistem first past the post menang. Selama mana kita boleh bertahan dengan sistem ini? Yakni menang walaupun kita sebenarnya tidak lagi mendapat sokongan majoriti rakyat.

Kalau mengikut presidential system Najib telah kalah tetapi kita mengikut sistem first past the post menang yang telah teruji di United Kingdom semenjak 700 tahun dulu hingga sekarang. Kita telah mengamal sistem sama semenjak 1959.Apa nak malunya? Kemenangan Najib bukan kemenangan kodi tetapi bukan juga kemenangan cemerlang.

Dalam keghairahan Politik Baru janganlah pula lupa dengan Politik Lama Orang Lama. Walaupun mereka berusia lanjut mereka kadang kala lebih progresif, lebih kontemporari lagi dari yang muda. Minda mereka terus lembut dan cair.

Lihat DAP dan Pas kedua lebih moden, lebih sensitif pada kehendak zaman juga mengekalkan tradisi: Lim Kit Siang, Karpal Singh kedua 70an, Tok Guru Nik Aziz, 82 tahun, BN siapa di peringkat penggubal dasar dan pembuat keputusan kecuali Tan Sri Taib Mahmud di Sarawak yang usianya muda daripada Nik Aziz tetapi tua daripada Kit Siang?

Sementara itu yang masih aktif tetapi di luar lingkaran kuasa adalah Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkau 90 tahun dan Tengku Razaleigh Hamzah kini berusia 76 tahun. Benar mereka terus berpengaruh tetapi mereka tidak ada peranan rasmi.

Lazimnya manusia mudah berkembang, mudah tumbuh serta sangat berpotensi waktu umur muda. Begitulah proses hidup tetapi ada juga kecualian daripada proses ini. Selagi tidak tua keladi, tidak tua cendawan, tidak nyanyuk, tidak tua renta  (tidak bertenaga lagi,) Najib harus, tanpa golongan ini menawar diri, menggunakan khidmat mereka agar boleh memberi sumbangan bagi kesinambungan kuasa politik bangsa teras.

Pada PRU14 kelak Umno sudah berkuasa selama 66 tahun. Parti Komunis Soviet Union dan negara itu tumbang apabila berumur 70an sahaja. Parti Komunis Cina terus segar; umurnya tiga tahun lebih muda dari Umno.

Saya yakin Malaysia akan terus maju siapa pun yang memerintahnya seperti madah bijak bestari Musa Hitam- Malaysia tidak akan bankrap siapa pun memerintahnya. Dengar, dengar, hear, hear. Tetapi bolehkah Melayu, Islam, Peribumi bertahan atau mempunyai resilience untuk menghadapi zaman globalisasi. Politik Baru dan meritokrasi dalam erti kata sebenarnya.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik