Monday, May 20, 2013

POLITIK GERAM, SENTIMEN KAUM TAK KEMANA.

PADA Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) diuji lagi dengan mengalami kejutan apabila parti berkonsepkan pelbagai kaum itu tercabar. Ia mengalami kemerosotan sokongan bukan sahaja daripada pengundi Melayu tetapi juga bukan Melayu.

Bukanlah menjadi rahsia, kejayaan UMNO dan BN sepanjang 67 tahun yang lalu ialah menjalin hubungan antara kaum yang kukuh sehingga wujudnya kontrak sosial, yang antara lain UMNO dan orang Melayu mengakui kehadiran kaum bukan Melayu, memberi kerakyatan kepada hampir satu juta kaum bukan Melayu pada masa kemerdekaan dahulu. Dengan pemberian itu ramai daripada mereka bergerak aktif dalam politik pemerintah dan tidak kurang juga pembangkang hari ini.

Berbanding dengan konsep kerjasama parti-parti pembangkang, ia nampak stabil dalam kalangan mereka, tetapi tujuan utama mereka tidak seperti BN yang mengambil kira kepentingan setiap kaum. Dalam pakatan pembangkang, tujuan utama kerjasama mereka adalah untuk menumbangkan BN dan menguasai Kerajaan Pusat dan negeri. Hal pembangunan dan perpaduan antara kaum ditolak ke tepi dahulu.

Keutuhan Perikatan/BN bukan sahaja tercalar pada PRU-12 (2008) yang lalu, tetapi pernah mengalami kemerosotan politik pada tahun 1969, apabila politik perkauman sempit mengambil tempat, apabila sejumlah pengundi Melayu beralih kepada Pas dan orang bukan Melayu kepada DAP.

Tetapi apabila Tun Razak mengambil alih pemerintahan negara pada tahun 1970, BN kembali kukuh dan kaum Cina kembali kepada BN. Sehinggalah pada tahun 2004 sokongan kaum Cina tidaklah berkurangan, tetapi pada tahun 2008 yang lalu, ternyata orang Cina dan India beralih semula sokongan kepada DAP dan pakatan pembangkang dan lebih teruk lagi pada PRU-13.

Persoalan kini, apakah realiti politik di Malaysia dan apakah trend sokongan kepada pembangkang seperti PRU-13 akan berkekalan dan muncul lagi pada PRU-14? Nampaknya begitu. Sokongan pembangkang begitu kuat terhadap PKR khususnya DAP.

DAP yang merupakan parti pembangkang kaum Cina terbesar, bergerak mara hingga membentuk kerjasama longgar dengan Pas pada tahun 1999 dan kemuncaknya pada PRU 2008 dan 2013 dengan PKR yang turut serta mewujudkan Pakatan Rakyat sebagai pembangkang tunggal yang mencabar BN, tetapi dilihat menghadapi masalah dengan rakan-rakan komponennya .

Walau pun DAP dalam pakatan, ideologi mereka masih tidak sama dengan ideologi Pas. Tindakan pentadbiran di Pulau Pinang semacam tidak menggambarkan kerjasama dengan Pas atau PKR. Sebagai komponen utama pakatan, Pas dan PKR juga tidak bersuara dalam hal-hal seperti ini. Ini berbeza dengan BN, yang tentunya tidak menolak sama sekali akan realiti masyarakat dan sejarah negara ini yang berpaksikan kemajmukan!

Pendek kata MCA, MIC dan Gerakan lebih praktikal dan tahu akan sejarah pembentukan negara ini dan menyedari bahawa tanpa bekerjasama dengan UMNO, keadaan nasib kaum Cina dan India tidak terjamin. Namun MCA dan MIC semacam tidak menambat hati kaum Cina dan India. Ini disebabkan begitu hebatnya sentimen perkauman yang dihamburkan oleh DAP kepada kaum Cina dan India.

Begitu juga PKR yang pada mulanya disemarakkan oleh Anwar Ibrahim yang memimpin PKR dan pakatan, maka DAP berserta dengan Pas juga menghadapi masalah. Walaupun pada PRU-12 mereka berjaya mempengaruhi sebahagian daripada pengundi Cina untuk menyokong perjuangan PKR yang dikatakan mirip ideologi DAP, tetapi kini arah tuju pemimpin itu sudah tidak keruan lagi ditambah dengan sikap seperti di zaman campur tangan Inggeris di negeri-negeri Melayu pada 1874 dahulu, di mana Raja Abdullah yang gagal menjadi Sultan Perak meminta bantuan Inggeris membantu baginda menjadi Sultan.

Sejarah berulang semula! Gelagat Pas kelihatan kurang menyedari akan taktik DAP dan PKR yang mahu menjadikannya alat! Apakah kesudahannya DAP yang mahu menjadi jaguh kaum Cina dan semakin berlagak menjadi jaguh pakatan?

Apalagi dengan Anwar Ibrahim berdepan dengan masalah moral dan peribadinya. Kini beliau tidak mengiktiraf kemenangan BN/UMNO dalam PRU-13! Pakatan meniupkan anti-UMNO dan BN serta bercita-cita hendak menukar sistem politik Malaysia kepada ala-republik dan menentang sebahagian daripada Perlembagaan negara.

Jelas kempen itu berjaya mempengaruhi sebahagian pengundi Cina dan juga pengundi Melayu yang tidak begitu faham dengan sejarah dan selok belok politik negeri (besar kemungkinan faktor sejarah kenegaraan kurang dititikberatkan dalam kalangan generasi muda dan sistem pendidikan negara yang kurang menitikberatkan pembinanan bangsa berasaskan kebudayaan kebangsaan!

Peningkatan pengaruh DAP tentunya disebabkan kelemahan MCA dan Gerakan sendiri. MCA tidak berusaha menerangkan dan menangkis hujah-hujah tak berasas DAP dalam perang siber atau penggunaan internet dan akhbar-akhbar Cina.

Ini berbeza dengan UMNO yang berusaha menangkis hujah pembangkang khususnya Pas dan PKR dalam internet. MCA mendiamkan diri dan membisu dengan apa juga hujah DAP! Sepatutnya MCA atau Gerakan menggunakan siber atau internet menangkis hujah-hujah DAP menggunakan bahasa Cina/Mandarin, bukan bahasa Inggeris kepada pengundi Cina agar mereka mempunyai informasi dan berita yang seimbang. Sebab itu pengundi Cina menerima secara sehala apa sahaja temberang DAP!

Kedua-dua parti itu juga gagal meyakinkan orang Cina bahawa mereka akan terus terjamin di dalam BN dan UMNO, jadi nampak seperti mereka sudah lemah semangat. Soalnya sampai bila majoriti pengundi Cina hendak berteduh di bawah DAP?

Walaupun MCA kecundang dalam PRU-13, wakil Cina tetap ada di dalam kerajaan melalui dua wakil mereka dari Sabah. Itulah uniknya BN. Walaupun komponen MCA dan Gerakan kalah teruk dalam PRU-12 dan PRU-13 yang lalu, wakil kaum mereka tetap dilantik dalam Kabinet kerana kedudukan kerusi UMNO tetap dimenangi dengan selesa.

Sejarah 13 Mei 1969 membuktikan jika pola seperti sekarang ini berlaku, konflik kaum akan berlaku. Ini tidak sihat bagi negara berbilang kaum seperti kita. Untuk itu saya berpendapat, mahu tidak mahu, masyarakat Cina akan kembali kepada status quo di mana akan berlaku semula keseimbangan politik.

Cuma apakah rangka kerjasama BN akan sama dari dulu hingga sekarang terutama yang melibatkan pembahagian kerusi dalam kalangan komponan BN. Trend kini saya lihat, kehadiran pengundi bukan Melayu telah menyerap di banyak kawasan parlimen/DUN yang dulunya didominasi pengundi Melayu hingga menyebabkan daripada 80 peratus Melayu bertukar kepada hampir 50 peratus sahaja.

Pada PRU-PRU sebelum ini tidak menjadi masalah kerana pengundi bukan Melayu menyokong BN. Kini mereka beralih kepada pembangkang! Pengundi Melayu pula berpecah kepada tiga fraksi, satu UMNO, satu lagi Pas dan selebihnya PKR! Nampak kini kebanyakan kerusi Parlimen terutama di Pantai Barat Semenanjung, pengundi bukan Melayu semakin menjadi penentu kemenangan BN atau pakatan!

Pemimpin UMNO kena lihat landskap politik seperti ini, jangan sampai menyeberang sempadan yang boleh menggerhanakan sokongan rakyat kepada BN!

Pada hemat saya, ini merupakan satu ujian besar bagi parti-parti politik di negara ini, parti yang terlalu kuat sifat perkauman dan terlalu teruja dengan ideologi politik sosialisme, mereka tidak akan ke mana. Ini berdasarkan kepada teori politik di Malaysia, bahawa politik pragmatik dan pelbagai kaum adalah paling sesuai, dan yang berasaskan perkauman sempit tidak dapat diterima untuk jangka panjang.

Selain itu, kerjasama parti politik pembangkang yang terlalu bersifat politik dan penuh muslihat juga dilihat tidak akan kekal lama. Pas semakin berhipokrit. PKR, dianggap retorik dan huru-hara kini. Sebab itu kerjasama antara parti politik dalam BN kelihatan lebih ikhlas walaupun diberi persepi oleh pembangkang sebagai parti yang usang.

Tetapi itulah realiti politik Malaysia, yang majmuk sifatnya, yang perlu bertoleransi, tidak semudah itu bermain politik perkauman! Politik geram dan sentimen kaum tak ke mana.

Ternyata, pada 5 Mei 2013 yang lalu, pengundi telah membuat keputusan di mana majoriti pengundi Melayu memangkah BN/UMNO dan 90 peratus pengundi Cina memangkah DAP!


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik