Tuesday, May 14, 2013

POLITIK PERKAUMAN MESTI DIBENTRAS.

By: Dr. Anwar Ridhwan.

Sebagai penulis yang menggunakan bahasa Melayu, mata saya begitu sensitif apabila membaca apa jua bahan visual kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menggunakan bahasa Melayu. Bahan-bahan tersebut tersebar dengan begitu luas dan bebas. Saya, seperti juga anda, melihat dan membaca sebahagian bahan visual tersebut, yang sesetengahnya amat provokatif dan sensitif.

Dalam konteks bahan visual kempen pilihan raya, di negara kita ini begitu banyak bahan yang dipamerkan. Sepanduk, gegantung, poster, bendera, papan iklan raksasa dan sebagainya boleh dilihat di mana-mana saja. Kadang-kadang ada yang boleh mengganggu perjalanan atau penglihatan. Pelancong asing dari negara maju akan berasa pelik melihat begitu banyak prop drama politik di negara kita. 


Ketika saya belajar di Amerika Syarikat dan bekerja di Jepun, saya pernah melihat suasana pilihan raya di negara berkenaan. Bahan visual kempen mereka tidaklah banyak serta ‘semak’ seperti di negara kita. Saya juga tidak terbaca ungkapan yang provokatif serta sensitif, seumpama ‘Asal Bukan UMNO’ yang mengiringi poster calon DAP yang saya lihat di Kuala Lumpur. 


Bagi saya, ungkapan ‘Asal Bukan UMNO’ oleh DAP bukanlah semata-mata memperlihatkan kebencian mereka terhadap UMNO sebagai sebuah parti politik, malahan tersirat makna menolak teras-teras yang bersifat keMelayuan. Ini yang turut disimpulkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengulas keputusan PRU-13, bahawa gejala rasis atau perkauman begitu ketara dalam kalangan pengundi Cina di negara ini.

PM terpaksa guna bahasa Mandarin

Apa yang Perdana Menteri dan Kerajaan Barisan Nasional tidak beri kepada masyarakat Cina pra-PRU-13? Sektor pendidikan aliran Cina, ekonomi dan kebudayaan Cina mendapat bantuan kewangan serta jaminan. Malah Perdana Menteri ‘mencemar duli’ menggunakan bahasa Mandarin dalam poster kempen merayu undi kepada penduduk Cina, tanpa sepatah pun menggunakan bahasa Melayu.

Tetapi apakah hasilnya? Bantuan diterima, jaminan dihargai, namun undi kepada BN tidak sekali-kali. 
Dengan UMNO/BN kehilangan tujuh kerusi Parlimen berbanding PRU-12, prestasi UMNO/BN kali ini agak lemah sedikit. Sebahagian daripada kelemahan itu, harus diakui, adalah akibat masalah dalaman UMNO/BN sendiri. Bagaimanapun dengan mandat baru, UMNO/BN mempunyai kuasa dan masa untuk memperbaiki kelemahan dalamannya.

Pihak yang agak lemah biasanya akan mencari ‘tonik’ yang boleh menguatkan diri semula. Sebagai penulis nasional, saya berharap kerajaan tidak menggunakan tonik liberalisasi bahasa, sebagai jalan untuk menguatkan semula UMNO/BN pasca pilihan raya.

Tonik liberalisasi bahasa

Yang saya maksudkan dengan tonik liberalisasi bahasa ialah membuka sebebas-bebasnya penggunaan pelbagai bahasa di negara ini, hingga menenggelamkan roh bahasa Melayu, dan sekali gus menentang Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan harus mengingati semula, betapa banyak ‘tonik’ diberikan kepada golongan tersebut, namun betapa sedikitnya sokongan mereka terhadap kerajaan. Bekas Ketua Menteri Melaka yang tewas, mengeluh mengenai ‘golongan yang selama ini saya bantu dalam bidang perniagaan dan sebagainya, tetapi mensabotaj saya di Bukit Katil.’

Gejala rasis atau perkauman seperti yang tergambar dalam keputusan PRU-13, harus dibanteras segera. Ia amat berbahaya bagi negara dan rakyat Malaysia. Perdana Menteri mengusulkan program ‘penyatuan nasional.’

Program ‘penyatuan nasional’ yang praktikal harus dirangka dan digerakkan segera, agar jiwa dan sukma rakyat keseluruhannya dapat diselaraskan, supaya unsur rasis dapat dihapuskan atau diminimumkan; sebaliknya rasa kebersamaan sewarga demi pembangunan spiritual dan fizikal masa depan yang lebih harmonis dapat dicapai.

Pada hemat saya, setiap parti politik, pertubuhan NGO, kementerian dan agensi kerajaan, pemilik media cetak dan media elektronik, juga individu berpengaruh dalam masyarakat, wajar memainkan peranan masing-masing agar gejala rasis dapat dihapuskan atau diminimumkan. 

Marilah kita bertindak dengan lebih matang dan rasional, bukan secara emosi perkauman, untuk membina Malaysia yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik