Wednesday, May 15, 2013

PROTES REMAJA BAJU HITAM.

By: Salleh Buang.

Protes remaja berbaju hitam kini nampaknya menjadi-jadi. Ia mula dengan aktiviti silent walk pada 6 Mei 2013 (antara jam 3-6 petang) di beberapa kompleks perniagaan di ibu kota Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Di Kota Kinabalu 150 remaja berbaju hitam ini bukan sekadar mengadakan protes mereka dalam bangunan (iaitu di Suria Sabah Shopping Mall) sahaja, bahkan sudah berani keluar ke jalan raya dan berarak secara berkumpulan menuju destinasi yang telah mereka tetapkan (bangunan pejabat UMNO).

Bila ditanya kenapa mereka melancarkan protes jalanan ini, Sabrina Aripen (dari NGO Borneo Youth Revolution) menjawab "Apa lagi yang boleh kita lakukan selain meratapi kematian demokrasi di Malaysia".

Apakah remaja berbaju hitam ini yakin demokrasi telah mati? Apa buktinya?

Soalan penting yang kita mesti tanya, apakah remaja-remaja ini membuat protes secara spontan, sama macam budak motor merempit di jalan raya apabila senja tiba, sehinggalah larut malam?

Atau apakah ada satu dua dalang atau puppet master di belakang mereka?

Seorang sahabat berbisik kepada saya bahawa protes ini memang telah dirancang rapi sejak dari awal lagi. Notis mengenainya sudah diedarkan dalam media sosial lama sebelum tarikh itu.

Menerusi media sosial seperti facebook atau twitter, mudah bagi dalang atau puppet master merancang mengumpulkan dan menggerakkan kumpulan remaja ini.

Mereka digerakkan seolah-olah anak patung, robot atau puppet. Suruh datang mereka datang, suruh pakai baju hitam mereka pakai baju hitam, suruh berhimpun di suatu tempat mereka berhimpun, suruh berteriak menghina kerajaan, SPR atau siapa sahaja yang disebutkan, mereka akan berteriak sama.

Mereka diberitahu inilah masa mereka. Sekaranglah mereka ada kuasa. Kuasa untuk membuat perubahan. Perubahan macam mana? Apa sahaja pun boleh, asalkan perubahan dari apa yang ada pada masa kini.

Mereka diberitahu kerajaan BN telah 'mencuri' kemenangan pakatan pembangkang. Mereka diberitahu pakatan telah mendapat lebih daripada majoriti mudah undi popular. Lebih daripada separuh pengundi di negara ini telah memilih parti mereka, jadi kenapa mereka tidak boleh memerintah negara?

Kumpulan remaja berbaju hitam ini tidak pula diberi maklum oleh orang yang lebih tahu bahawa selama-lamanya sejak kita belum merdeka lagi, kita tidak mengamalkan popular voting, sebaliknya majoriti kerusi yang dimenangi parti.

Tidak mustahil sebahagian daripada remaja berbaju hitam ini tahu fakta ini. Tetapi demi keseronokan menyertai gelombang puluhan ribu remaja berbaju hitam lain yang seakan-akan berpesta di Stadium Kelana Jaya dan baru-baru ini di Batu Kawan, mereka turut menyertainya tanpa berfikir dua kali.

Apakah tindakan boleh diambil ke atas remaja ini yang jelas sekali melanggar undang-undang? Jika boleh, apakah wajar tindakan tegas diambil terhadap mereka? Jika tidak wajar, apakah langkah alternatif yang boleh diambil?

Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, apabila satu perhimpunan awam hendak diadakan, penganjurnya mesti memberi notis paling minimum 10 hari kepada pihak polis - Seksyen 9(1).

Pemberitahuan ini hendaklah diberi kepada Pegawai polis di daerah berkenaan secara pos berdaftar Akuan Terima atau kiriman cepat atau dengan serahan tangan - Seksyen 9(4).

Jika penganjur enggan atau gagal mematuhi subseksyen (1), ini adalah satu kesalahan; jika sabit kesalahan, penganjur boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit (RM10,000).

Melihat situasi semasa, jelas sekali Akta ini dipandang remeh oleh pihak-pihak berkenaan, barangkali kerajaan perlu menyemak semula Akta ini dan memikirkan sama ada pindaan perlu dibuat.

Sekiranya penganjur gagal mematuhi kehendak Akta ini, perhimpunan yang diadakan itu nyata menyalahi undang-undang. Jika ia diteruskan juga, pihak polis ada kuasa memerintahkan siapa sahaja yang berhimpun di tempat itu bersurai.

Sesiapa sahaja yang enggan mematuhi perintah bersurai ini boleh diheret ke mahkamah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000. Tidak ada hukuman penjara di bawah Akta ini.

Dalam apa jua perhimpunan (yang sah, yang mematuhi kehendak Akta ini), penganjur tidak boleh membenarkan (membawa hadir) kanak-kanak di bawah umur 15 tahun. Jika ada pihak membawa kanak-kanak ke perhimpunan, orang itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000.

Seksyen 6 Akta ini mengandungi senarai panjang tanggungjawab setiap penganjur perhimpunan awam. Antaranya mereka perlu pastikan peserta tidak melakukan apa-apa perbuatan atau membuat sebarang ucapan yang berkecenderungan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dalam kalangan orang awam atau melakukan apa sahaja yang boleh menggugat ketenangan orang awam.

Nampaknya remaja berbaju hitam yang hadir di "Perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat" di Stadium Kelana Jaya pada malam 8 Mei 2013 itu telah tertipu bulat-bulat.

Pada malam itu mereka dimaklumkan oleh penceramah yang bercakap berapi-api bahawa pakatan pembangkang telah ditipu oleh kerajaan BN dan SPR. Anehnya pada malam berikutnya, pihak yang sama mengadakan majlis kesyukuran kerana "telah berjaya" di Selangor.

Remaja berbaju hitam hendaknya sedar bahawa hak berhimpun (yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan, bersama dengan hak bersuara) bukan sesuatu yang mutlak tetapi ada had dan batasannya.

Satu had dan batasannya adalah Akta Perhimpunan Awam, yang menggantikan peruntukan berkaitan dalam Akta Polis. Selain itu, ada undang-undang lain, misalnya Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, dan sebagainya.

Remaja berbaju hitam ini hendaklah juga sedar bahawa mereka telah digunakan sebagai "buah catur" (pawn) dan diperalatkan dalam permainan politik oleh seorang dua grandmaster yang sungguh bijak bermain catur politik.

Jangan terikut-ikut atau terpengaruh dengan apa yang diucapkan oleh mereka. Kita dimaklumkan bahawa dalam satu perhimpunan baru-baru ini, seorang pemimpin sebuah parti dalam komponen pakatan pembangkang itu ada berucap menggelarkan Perdana Menteri Malaysia sebagai "syaitan", dan ucapan ini telah disambut dengan sorakan besar oleh remaja berbaju hitam.

Sedarlah bahawa PRU-13 yang baru berlalu ini telah pun diperakui sah oleh pasukan pemerhati. Keputusan pilihan raya melibatkan kerusi negeri (di semua negeri) sudah pun diterima oleh ahli dan pemimpin pakatan pembangkang.

Yang masih dipertikai oleh puppet master remaja berbaju hitam ini adalah keputusan PRU-13 di peringkat Persekutuan. Sedarlah bahawa tuduhan itu sungguh tidak logik, tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali.

Kalau pun masih lagi ada calon-calon yang terkilan, saluran undang-undangnya terbuka luas. Failkan petisyen pilihan raya sebaik-baik sahaja keputusan PRU-13 diwartakan oleh SPR.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik