Wednesday, May 15, 2013

PROVOKASI CABAR KEPUTUSAN PRU 13 GUGAT DEMOKRASI.

By: Shamrahayu.
  
Demokrasi yang diamalkan di negara ini seperti juga di negara lain satu proses yang tidak berpenghujung. Ia adalah proses yang tidak akan menemui titik noktah. 

Maksud dan proses demokrasi di serata dunia sentiasa berubah. Ia berubah-ubah dari satu masa ke satu masa atau dari satu peringkat kepada satu peringkat lain. Ini kerana tidak mungkin sesebuah masyarakat itu akan berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh. Perkara ini mungkin sesuatu yang lumrah. Manusia mahukan yang baik ditambah baik dan yang ditambah baik itu mahu diperbaiki dan mahu menjadi lebih baik. 
Buku The Life and Death of Democracy tulisan John Keane, seorang profesor sains politik menceritakan mengenai sejarah dan perkembangan demokrasi. Buku ini menjelaskan bahawa demokrasi di seluruh dunia melalui pelbagai fasa. Prinsip demokrasi terdahulu sudah berubah dan seterusnya digantikan dengan prinsip demokrasi yang baru. Prinsip demokrasi yang baru ini seterusnya ditelan masa dan keadaan yang kemudian diganti pula dengan yang baru. Begitulah seterusnya. 

Memahami fasa dalam perkembangan demokrasi itu, begitu juga dengan proses demokrasi yang kita amalkan di tanah air kita. Demokrasi yang kita amalkan ketika mula mencapai kemerdekaan sudah banyak berubah dari semasa ke semasa. 

Tiada maksud khusus 

Perkataan demokrasi itu sendiri tidak mempunyai maksud yang terpahat di atas batu. Ia berubah-ubah mengikut kehendak masa dan keadaan. Maksudnya, istilah demokrasi yang digunakan di seluruh dunia tidak mempunyai makna atau maksud khusus walaupun mempunyai beberapa sifat atau nilai sejagat. 

Antara sifat demokrasi, terutama demokrasi berparlimen yang menjadi amalan umum di seluruh dunia ialah wujud perlembagaan bertulis, kebebasan kehakiman, undang-undang menjamin prosedur pilihan raya berkala bagi memilih calon badan perundangan, pegangan jawatan politik untuk jangka masa terhad, undian rahsia, parti politik yang kompetitif, kebebasan berhimpun dan kebebasan media. 
Amalan umum ini bagaimanapun bukan bermaksud mengikat sesebuah negara dalam erti kata menyamaratakan aplikasinya pada setiap negara yang mengamalkan demokrasi. 

Dari segi amalannya sifat umum demokrasi ini berbeza dan berlainan mengikut masa, keadaan dan juga tempat atau negara. 

Apa yang jelas ialah proses mencapai matlamat demokrasi yang diinginkan dalam pentadbiran sesebuah negara bersandar kepada prinsip pada kebiasaannya dijelaskan dalam Perlembagaan dan perundangan sesebuah negara. Kita dapati negara di dunia mempunyai warna demokrasi yang berbeza mengikut kemahuan masing-masing berdasarkan kepada antara lain, plot sosial, politik dan ekonomi negara tersebut. 

Kita sudah lihat beberapa perubahan dalam fasa demokrasi di negara ini. Kita dapat melihat tuntutan demokrasi silih berganti. Kita juga melihat bagaimana parti pembangkang menuntut ruang demokrasi lebih luas. Disebabkan sifat demokrasi dan kefahaman terhadap demokrasi yang tidak begitu jelas, tuntutan demi tuntutan akan terus menerus berlaku. 

Usah lemahkan demokrasi 

Tetapi satu perkara yang kita tidak harus lupa dalam membuat tuntutan demokrasi ialah perbuatan yang cuba melemahkan sistem demokrasi itu bukan satu perbuatan yang baik untuk demokrasi. 

Jika timbul keraguan atau persoalan berkaitan proses demokrasi, seperti proses pilihan raya, sistem demokrasi menyediakan ruang perundangan. Kita mesti ingat ruang perundangan adalah juga sebahagian daripada prinsip demokrasi. Selagi kita mempunyai undang-undang dan perundangan sebagai saluran diiktiraf, demokrasi tidak mati. 

Walaupun demokrasi memberi jaminan kepada kebebasan, ini tidak bermakna kebebasan itu boleh digunakan untuk melemahkan demokrasi. 

Oleh yang demikian, sebarang persoalan berkaitan proses demokrasi hendaklah dibawa dan dihujah ke dalam ruang demokrasi yang disediakan bagi menjaga demokrasi. Ruang kebebasan yang dilonggarkan dalam demokrasi tidak harus dijadikan ruang untuk melemahkan demokrasi. 

Sistem perundangan yang disediakan secara langsung disebut dalam prinsip demokrasi ini perlulah dihormati sebagai tanda mendukung prinsip demokrasi dan proses demokrasi. 

Usaha mencabar keputusan pilihan raya yang dilakukan di luar proses perundangan adalah berbahaya kepada proses demokrasi berparlimen. Ia juga mencabar sistem perundangan dan pentadbiran negara yang diiktiraf undang-undang dan mungkin berupaya mengundang kematian kepada demokrasi. 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik