Thursday, May 23, 2013

RASIS IALAH PERSEPSI KEADAAN SEMASA.

By: Azmi Hassan.

TIDAK mungkin ada negara, organisasi atau pun individu akan berdiam diri apabila dilabelkan oleh orang lain sebagai rasis, anti-sematik, tidak toleran agama atau pun memiliki sikap xenophobia kerana kesemuanya itu adalah tanggapan keji dan berlawanan dengan naluri manusia yang mulia.

Akhbar Utusan Malaysia umpamanya telah dituduh sebagai rasis kerana menyiarkan banyak berita yang dianggap terlampau sensitif dan menyinggung perasaan untuk dibicarakan secara umum dan terbuka.

Begitu juga dengan Presiden Mesir Mohammed Morsi telah dituduh mempunyai sikap anti-sematik kerana mengaminkan doa kepada kehancuran dan kemusnahan bangsa Yahudi di satu majlis rasmi pada Oktober lepas. Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad juga menerima tuduhan serupa beberapa tahun lepas kerana mengidamkan kehancuran Israel.

Segelintir masyarakat Australia pula dituduh mempunyai sikap xenophobia yang begitu ekstrem ekoran peristiwa hitam yang dilalui oleh Jeremy Fernadez yang berasal dari Malaysia pada Februari lepas di Sydney. Xenophobia ditakrifkan sebagai sikap dan perasaan benci terhadap sesuatu yang asing terutama sekali yang bersangkut paut dengan cara hidup, pertuturan dan asal usul seseorang.

Jeremy yang dilahirkan di Malaysia telah berhijrah ke Australia 22 tahun lepas tetapi apa yang dialami bersama-sama dengan anaknya yang baharu berumur dua tahun ketika dalam bas di Sydney mempamerkan sikap rasis yang paling ekstrem yang belum pernah dilalui olehnya.

Begitu juga peristiwa yang melanda Sri Lanka dan Myanmar pada ketika ini mempunyai banyak persamaan di antara satu sama lain iaitu rasis dan tiada sikap tolak ansur terutama sekali yang membabitkan anutan agama yang berbeza. Ditambah pula apabila wujud perbezaan tahap ekonomi di antara dua kumpulan bertelagah, maka suasana sebegini adalah begitu rapuh sekali.

Bodu Bala Sena iaitu kumpulan yang didalangi oleh sami Buddha Sri Lanka telah melancarkan gerakan boikot terhadap premis perniagaan pemilik Islam dengan harapan dapat melumpuhkan jaringan perniagaan penduduk Islam di negara tersebut yang lebih kukuh berbanding dengan perniagaan penduduk tempatan lain.

Begitu juga dengan nasib malang yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar adalah campuran dari dua faktor iaitu masalah perbezaan fahaman agama dan tahap ekonomi. Kekacauan terbaharu bermula ekoran perselisihan faham mengenai urusan jual beli di antara pelanggan tempatan beragama Buddha dan peniaga Rohingya yang beragama Islam pada Mac lepas.

Sami Buddha adalah dalang utama kekacauan di Myanmar kerana mereka menggunakan sentimen perkauman dengan menuduh jaringan perniagaan Rohingya bukan sahaja mahu meraih keuntungan ekonomi tetapi juga bercita-cita menguasai sistem politik negara itu.

Berbalik kepada kemusykilan sama ada akhbar Utusan Malaysia bersifat rasis atau pun tidak terutama sekali dengan tajuk seperti Apa Lagi Cina Mahu? Ia perlu dinilai pada suasana pada ketika itu tidak sampai 48 jam selepas keputusan pilihan raya diketahui sepenuhnya.

Apabila hampir 90 peratus pengundi Cina mengundi parti pembangkang maka pertanyaan Utusan Malaysia dianggap sah dan tidak menyinggung perasaan kaum Cina kerana kerajaan Barisan Nasional selama lebih lima dekad menerajui kerajaan telah berlaku adil kepada semua pihak terutama sekali yang melibatkan faktor ekonomi atau pun kebebasan beragama.

Menarik jika dikaitkan dengan kajian yang telah dilaksanakan oleh World Value Survey mengenai toleransi perkauman yang telah menilai sikap sosial penduduk di 80 buah negara selama lebih tiga dekad lamanya.

Hong Kong didapati adalah negara paling rasis kerana 71.8 peratus penduduk pulau tersebut memberi pendapat bahawa mereka tidak mahu berjiran dengan penduduk dari bangsa lain. Persepsi ini agak mengejutkan kerana dari kajian mengenai kepelbagaian etnik oleh Harvard Institute of Economic Research mendapati Hong Kong adalah sebuah negara yang dihuni oleh majoriti 95 peratus dari kumpulan etnik yang serupa iaitu Cina.

Tetapi jika diteliti bentuk soalan yang digunakan dalam tinjauan World Value Survey mengenai kesanggupan berjiran dengan kumpulan bangsa lain maka soalan tersebut dianggap tidak adil untuk menentukan tahap rasis sebuah negara. Ini adalah kerana ungkapan berjiran untuk penduduk Kowloon, Hong Kong yang mempunyai kepadatan penduduk melebihi 43,000 orang satu kilometer persegi berbeza dengan persepsi penduduk Kuala Lumpur umpamanya yang kepadatan penduduknya hanyalah 7,000 orang/km persegi.

Tetapi perlu diungkitkan juga ketika tinjauan tersebut dilakukan terdapat keresahan penduduk China Hong Kong yang didatangi dengan begitu ramai oleh penduduk China dari tanah besar terutama sekali selepas Hong Kong dikembalikan oleh British pada 1997. Kedua-dua kelompok bangsa ini walaupun dari etnik yang serupa tetapi mempunyai gaya hidup dan budaya yang begitu berbeza di antara satu sama lain.

Hakikatnya adalah persepsi sikap rasis individu, organisasi atau sebuah negara perlu dinilai mengikut keadaan semasa dan tidak boleh dibuat kesimpulan secara mendadak mengikut tafsiran dan kepentingan masing-masing.

Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai penduduk berbagai bangsa, kaum dan etnik adalah begitu sensitif dengan ungkapan rasis, tiada toleransi agama, anti-sematik atau pun xenophobia sekalipun. Jika Hong Kong yang mempunyai penduduk dari golongan yang sama boleh terpalit dengan ungkapan rasis kerana kesilapan bentuk soalan tinjauan, maka sudah pasti Malaysia yang begitu unik komposisi penduduknya sentiasa terdedah kepada ancaman label yang tidak adil yang mampu mengugat keselamatan negara.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik