Sunday, May 19, 2013

"RETREAT" UNNTUK SERANGAN BARU.


By: Nordin Kardi.

TERMASUK pemimpin besar Barisan Nasional (BN), ada yang menggelarkan PRU 13 sebagai ‘ibu segala peperangan’. Gelaran sedemikian jika diberikan oleh pasukan yang berkuasa, walaupun tujuannya ialah untuk membakar semangat juang pahlawan-pahlawan perang mereka, dia juga memberi pengiktirafan kepada pihak lawan yang kesannya menjulang moral perang pihak musuh. Semua itu sudah berlalu, perang psikologi di lawan dengan perang psikologi, keunggulan logistik masing-masing telah diuji, taktik dan operasi telah dipertarungkan dan hasilnya, ada yang menang ada yang kalah.

Peperangan ketenteraan lambat laun akan ada kesudahannya. Dalam peperangan politik, pengakhirannya tiada, walaupun ada pihak, terutama yang menang, mungkin berani menukar sistem permainan untuk mempertahankan kekuasaan mereka. Oleh yang demikian saya berpendapat di dalam politik, kemenangan dalam sesuatu pilihan raya hanyalah suatu kemenangan dalam suatu pertempuran tetapi bukan memenangi suatu peperangan. Kemenangan suatu peperangan ialah kemenangan meletakkan suatu fahaman atau idea yang dapat menjadikan idea-idea lain menjadi kecil atau marginal. Jika konsepsi yang saya kemukakan ini dapat diterima, masing-masing yang berminat dengan hal ini boleh menilai sama ada BN yang menang dalam pilihan raya dua minggu lepas telah memenangi suatu ‘battle’ atau telah memenangi suatu ‘war’? Jika jawapannya ialah BN hanya memenangi suatu pertempuran maka BN akan berhadapan dengan banyak lagi pertempuran dan masih awal untuk sesiapa menilai bahawa satu pihak telah memenangi suatu peperangan.
Pertempuran

Sama ada pertempuran konvensional atau gerila, kedua-dua pihak yang berperang akan melakukan taktik berundur atau ‘retreat’ seketika selepas melalui suatu kemuncak tempur. Apabila dianalisis, antara parti-parti yang bertempur baru-baru ini, nampaknya parti-parti berideologi utama yang terdiri daripada BN, Pas, PKR dan DAP mengambil pendekatan yang berbeza-beza. BN dan Pas nampaknya mengambil pendekatan ‘retreat’ berbanding dengan DAP dan terutamanya PKR terus melakukan serangan-serangan ‘post battle’ seperti cerita-cerita ‘combat’ yang pernah kita tonton di TV dengan harapan sebiji dua peluru akan mencederakan satu dua tentera pihak yang menang. Hal ini terpaksa dijuruterakan oleh pemimpin utama mereka atas kepentingan menjaga supaya moral perang anggota mereka tidak luluh terus dan kedudukan pemimpin akan terancam dengan kehilangan kepercayaan. Dalam kes ini, misalnya, antara tanda-tanda kemerosotan kepercayaan ialah apabila orang nombor dua salah sebuah parti utama itu sudah bersuara mempersoalkan kredibiliti ketuanya. Oleh itu, pemimpin tersebut tiada pilihan kecuali terus melakukan tembakan-tembakan ‘post battle’ bagi mengalihkan atau ‘divert’ pemikiran anggota daripada mempersoalkan kredibiliti kepimpinannya kepada membakar hati anggota perang dengan mengatakan mereka kalah kepada musuh yang amat zalim dan tidak mempunyai etika perang, sedangkan dia amat tahu bahawa ‘kalah adalah kalah’. Nyawanya betul-betul ditentukan oleh sama ada dia berjaya menjadikan suara orang nombor duanya itu sebagai tidak ‘relevan’. Hal sebegini amat lumrah dalam mana-mana peperangan. Walaupun idea pemimpin ini seperti ditaja oleh pihak Barat, namun etika permainannya berlainan dengan etika perang atau perlawanan Barat bahawa dia wajib turun takhta sebagai tanda tanggungjawabnya atas kekalahan dalam pertempuran yang begitu penting.

Mungkin boleh menjadi pilihan yang baik daripada banyak pilihan-pilihan yang lain untuk BN melakukan ‘retreat’, iaitu meletakkan senjata (termasuk merehatkan ‘cyber-troopers‘nya) untuk sementara dan mengambil tempoh sepi perang. Cara begini ialah cara bagaimana biasa pasukan yang menang sewajarnya bertingkah laku. Jika ini dilakukan biasanya golongan tengah akan bertukar menjadi ‘penyimpati’ atau peminat ‘baharu’. Penyimpati akan mula menebalkan perasaan kagum akan digniti pihak yang menang berbanding jika pihak yang menang itu masih lagi melakukan serangan-serangan ‘post battle’ secara konvensional.
Menghapuskan

Jika pasukan yang menang masih mahu menghapuskan saki-baki musuh, memadai dianya dilakukan oleh pasukan gerila atau pasukan perang psikologi memenangi ‘heart and mind’ anggota perang pihak musuh yang moral perang mereka telah ranap selain keletihan.

Saat sepi perang ini sewajarnya diisi oleh BN melalui dua komponen penting: komponen eksekutif atau kerajaan dan komponen parti. Komponen kerajaan seeloknya dilihat menumpu kepada semata-mata melaksanakan program yang telah ditawarkan dengan bersungguh-sungguh dan meyakinkan. Komponen kerajaan hendaklah tidak tergiur langsung untuk melayan peluru-peluruh musuh ‘post battle’ supaya musuh benar-benar kelihatan tidak relevan lagi. Jika perlu, besarkan maruah pemimpin musuh seperti Rasulullah pernah membesarkan Abu Sufyan, bekas kepala perang Quraish, setelah Mekah ditawan oleh baginda. Komponen parti hendaklah ‘retreat’ untuk meneliti dengan terperinci semua aspek kalah-menang pertempuran yang mempunyai kesan kepada keseluruhan peperangan.

Retreat perang BN tentu nanti membuat diagnosis melalui tanda-tanda atau ‘symptom’ dan membuat prognosis bahawa apa akan terjadi jika tanda-tanda tidak dirawat dan adakah tanda-tanda itu akan hilang sendiri tanpa perlu rawatan kerana tubuh BN itu sendiri telah ada sistem pertahanan diri sendiri yang telah diuji berkali-kali sebagai tahan serangan penyakit. Perbezaan tanda-tanda dianggap hanya darjah kekuatan serangan. Semasa membuat diagnosis BN akan mencari erti-erti penting kepada tanda-tanda yang dibaca. Misalnya, apakah maksud kegagalan memperolehi majoriti dua pertiga dua kali berturut-turut? Adakah itu tanda kegagalan fungsi kerajaan dan parti, seumpama kegagalan fungsi ginjal atau fungsi jantung? Atau, dia adalah tanda kegagalan saraf pusat (central nervous system) yang bermaksud kegagalan keseluruah fahaman atau idea yang kadangkala disebut juga sebagai ideologi parti. Kegagalan sistem saraf pusat boleh mengakibatkan setiap cabang anggota seperti sihat tetapi tidak lagi dapat dikoordinasikan dan dia menghasilkan tindakan-tindakan mengelirukan dan di luar batas normal.

Diagnosis BN tentu akan juga mencari makna kepada kepada tanda-tanda berikut: tiga parti komponen BN (PBB, SPDP dan PBRS) yang memenangi seratus peratus kemenangan merupakan angka yang signifikan iaitu 19 kerusi. Jika hal itu berlaku sebaliknya BN mungkin akan masih disimpan di ICU bagi mengelak sebarang jangkitan lain kerana BN hanya tinggal dengan kelebihan dua kerusi. BN wajib mencari erti adakah kemenangan di lapangan pertempuran itu simbol kepada kelicinan fungsi anggota atau kerana ‘idea’ BN masih kukuh menjadi pegangan pasukan perancang dan pasukan tempur mereka?

Selanjutnya BN akan meneliti dengan rapi fungsi tulang tunjangnya iaitu UMNO yang telah meningkat jumlah kemenangan daripada 68 peratus (79 kerusi) pada PRU12 kepada 73 peratus (88 kerusi) pada PRU 13. Jika diumpamakan parti itu sebagai badan manusia, maka tulang tunjang akan menentukan sama ada badan itu akan lumpuh terbaring atau berkerusi roda atau dia akan terus dapat berjalan dengan segak. Tentulah juga BN tidak boleh untuk tidak mengerling kepada komponen MCA yang merosot daripada 38 peratus kepada 19 peratus, GERAKAN merosot daripada 17 peratus kepada 9 peratus yang hampir menjadikan parti komponen ini menjadi sama sekali tidak relevan lagi. Legasi Chong Eu dan Dr Lim Keng Yaik melalui GERAKAN telah berakhir sama sekali di tangan penyambungnya. Demikian juga dengan kemenangan kosong peratus PPP dan kebangkitan MIC daripada 33 peratus kepada 44 peratus (masih pada pangkat gagal atau paling tinggi Gred D).
BN juga tentulah akan cuba memahami penyakit yang menyerang - apakah kuman ini kuman biasa atau kuman baru yang belum pernah ditemui atau mutasi daripada kuman yang telah lama berlegar di alam keliling. DAP adalah kuman yang telah lama ada dalam alam keliling BN. Dalam PRU 13 kuman ini menjadi aktif dan membesar dan berjaya meningkatkan kekuatan daripada 60 peratus dalam PRU12 kepada 75 peratus. Data ini amat penting ditafsir: UMNO meningkat dan DAP juga meningkat. BN hampir tidak perlu gusar apa-apa dengan PKR dan PAS kerana mereka merosot daripada 32 peratus kepada 30 peratus dan daripada 35 peratus kepada tinggal 29 peratus masing-masing. Sambil itu BN juga boleh mendapat maklumat tambahan seperti yang dikatakan oleh rakan karib saya di dalam PKR bahasa Pas ada menghantar mesej supaya penyokong mereka tidak memberi kemenangan terlalu banyak kepada PKR di Parlimen kerana mereka tidak mahu ketua PKR akan ‘dictate’ semua perkara dalam PR.

Selain daripada membuat diagnosis terhadap semua fungsi anggota badan BN sewajarnya membuat retreat atau mendapat mungkin ratusan sesi untuk melihat kefungsian minda atau idea. BN wajar menyoal sama ada kefungsian minda BN masih kukuh dan relevan sepanjang zaman atau BN juga sudah dijangkiti oleh penyakit neurotik apa lagi jika ada tanda-tanda psikopatik. Jika tanda-tanda itu ditemui maka BN semestinya membuat keputusan: jika dibiarkan tidak dirawa apa akan terjadi dan jika ingin dirawat apakah jenis rawatannya dan apakah pelbagai kemungkinan hasil atau ‘outcome’ daripada rawatan itu. Masa ‘retreat’ tidak terlalu panjang dan tidak juga terlalu suntuk dan terdesak sehingga semuanya dilakukan secara dangkal-dangkal. Semuanya di tangan komander perang -membiarkan atau melakukan.

Sambil saya menyeru BN melakukan ‘retreat’, PAS, PKR dan DAP juga mesti melakukan ‘retreat’ tetapi mereka tidak perlu melakukan apa-apa diagnosis kerana pemimpin mereka telah gagal. Pemimpin DAP, PAS, PKR mesti turun kerana mereka telah berkali gagal, bahkan telah berkali-kali gagal. Sebagai pemimpin beretika, menggunakan nilai Barat dan Timur, mereka yang gagal mesti menyerahkan kepada darah baru. DAP bukan menang, PAS tidak menang dan PKR telah kalah. ‘Kalah adalah kalah’, besar atau kecil, dan dengan itu ‘komander’ mereka harus turun sebagai pemimpin beradab.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik