Saturday, May 18, 2013

RINTIS KERJASAMA DIPERINGKAT NEGERI.

by: Zainudin Maidin.

Cakap-cakap untuk perpaduan Pas dan UMNO bagi menyelamatkan bangsa Melayu dan Islam eloklah dihentikan kerana tidak praktikal serta tidak mungkin akan berlaku antara sebuah parti yang berasaskan ideologi agama dengan sebuah parti Melayu liberal.

Kerjasamanya Pas dengan DAP tidak seharusnya dilihat sebagai kesanggupan untuk Pas keluar daripada dasar asalnya, sebaliknya lebih didorongkan oleh matlamat untuk mencapai kuasa. Dalam hal ini, Pas sanggup korbankan dasarnya yang keras.

Demikianlah juga matlamat asal UMNO, MCA dan MIC apabila bergabung dalam Perikatan yang dirintis oleh Yang Dipertua UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra tetapi bezanya ketiga-tiga parti ini lebih dahulu meletakkan asas perpaduan di bawah Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial boleh dianggap sebagai ideologi nasional perpaduan Perikatan yang dilanjutkan kepada Barisan Nasional (BN) yang diterokai oleh Tun Abdul Razak selepas peristiwa 13 Mei. Ia diperkukuhkan oleh pindaan Akta Hasutan.

Bagaimanapun ideologi ini rapuh kerana ketiga-tiga parti tetap tidak mengorbankan dasar parti masing-masing, tetapi sekadar menutupnya dan tidak menguburkannya. Ikatan perpaduan dibesarkan lagi oleh BN tanpa pembubaran parti-parti yang bergabung.

Namun demikian dengan adanya semangat bermusyawarah dan tolak ansur yang lebih mementingkan rakyat dan negara, maka atas dasar yang rapuh inilah Malaysia telah dapat membina kejayaan yang besar bagi mencapai kestabilan dan kemakmuran.

Bagaimanapun kerana dasar yang rapuh ini tidak dihayati ke peringkat akar umbi terutama generasi baharu maka dari semasa ke semasa berlaku perselisihan dalaman yang ada kalanya terpancar keluar, tetapi kejayaan kepimpinan Perikatan dan BN untuk menyapu di bawah tikar masalah-masalah yang timbul telah membolehkan dasar-dasar nasional berjalan terus.

Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 menyaksikan dasar yang rapuh itu retak apabila MCA dan Gerakan menjadi lemah dalam dasar terbuka negara yang diterokai oleh Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan mereka mahu mewarnakan diri mereka sama sebagai DAP apabila melihat kemajuan parti itu, tetapi orang Cina memikirkan lebih baik memilih DAP sebenar daripada memilih DAP celup (MCA dan Gerakan).

Walaupun MCA dan Gerakan kembali kepada dasar-dasar nasional pada PRU 2013, tetapi keretakan telah menjadi barah di peringkat akar umbi; orang Cina telah nampak tsunami PRU 2008 sebagai bayang-bayang kuasa jika sokongan terus diberikan kepada DAP. Maka mereka berkumpul menjadi tsunami Cina yang 'hanyir' dengan perkauman.

Saya mengemukakan ini sebagai contoh bagaimanakah kesedaran dan kerjasama boleh diwujudkan secara kecil-kecilan lebih dahulu antara Pas dan UMNO tanpa mengorbankan dasar masing-masing dan tanpa menzahirkan sentimen Melayu, perpaduan Melayu, kuasa Melayu dan sebagainya yang lebih memberikan kesan negatif, menakutkan kaum bukan Melayu daripada mencapai matlamat.

Kerjasama Pas dengan UMNO boleh dimulai tanpa retorik hebat di peringkat kerajaan negeri dan seterusnya ke peringkat nasional dalam bidang-bidang tertentu dengan melupakan semangat kepartian masing-masing.

Umpamanya bagaimana jika Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Datuk Mukhriz Mahathir menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas menyertai beberapa jawatankuasa yang boleh bekerjasama bagi kepentingan rakyat seperti dalam bidang sukan, kebajikan, agama dan sebagainya.

Ini adalah suatu langkah yang radikal, tetapi jika berani dirintis oleh kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh BN, maka dengan secara beransur-ansur akan dapat mengikis perbezaan dan perselisihan fahaman politik.

Kita selalunya melihat langkah-langkah besar, tetapi tidak melihat perlunya langkah kecil dirintis terlebih dahulu.

Jika ini berani dirintis oleh kerajaan BN di peringkat negeri, maka kesannya sangat baik pada pandangan rakyat yang selama ini menjadikan perbezaan parti sebagai permusuhan.

Barangkali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dapat membuat pembaharuan dalam pendekatan politiknya dengan menjalankan dasar mesra dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan membantu kerajaan negeri ini dalam usaha-usahanya untuk memberi kemajuan asas, kebajikan dan kemajuan rakyat Kelantan.

Ziarah Menteri Besar Kedah, Mukhriz, Najib dan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Azizan Razak yang sedang uzur sudah cukup memberi kesan dalam pandangan rakyat tentang hubungan kemanusiaan antara Pas dan UMNO.

Carilah ruang di mana kerjasama boleh diadakan daripada membuka ruang lebih luas untuk perbezaan dan permusuhan.

Hentikanlah cakap-cakap perpaduan Melayu di peringkat nasional jika dalam perkara yang tidak bersifat ideologi pun tidak boleh dilakukan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik