Saturday, May 25, 2013

SEKAT SEBELUM PARAH.

By: Sofian Baharom.

Kerajaan digesa lebih tegas memerangi anasir-anasir jahat di laman siber terutama berhubung kewujudan Red Bean Army yang mengugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mendesak pihak berwajib untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menyekat fitnah dan hasutan yang cuba dipromosikan kumpulan berkaitan DAP itu terhadap rakyat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kewujudan Red Bean Army itu dikesan oleh pihaknya pada tahun 2011 apabila jentera propaganda bersifat cauvinis tersebut cuba melahirkan simpati terhadap Tan Sri Robert Kuok yang tidak lagi memonopoli perniagaan gula di negara ini.

Menurut beliau, sentimen perkauman yang mulanya disasarkan kepada usahawan bumiputera dan pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kemudian diperluaskan kepada pemimpin UMNO terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"PPIM sudah lama menyiasat ancaman Red Bean Army terhadap permuafakatan masyarakat di negara ini yang mana pelbagai fitnah dan lakonan dilakukan mereka untuk mengelirukan rakyat terutama masyarakat Cina.

"Mereka bukan sahaja digerakkan oleh sentimen perkauman yang tebal tetapi dilihat seperti sebuah gerakan terancang untuk menggulingkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang ditunjang oleh orang Melayu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nadzim menegaskan, pasukan serangan siber dipercayai ditaja DAP itu perlu dihalang daripada terus menghasut pemikiran rakyat melalui penguatkuasaan lebih tegas oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kita kena tegas kerana fitnah kumpulan ini boleh menyebabkan masyarakat negara ini yang tidak matang terkeliru dengan fakta-fakta yang salah dan yang lebih buruk lagi, ancaman puak ini dapat menganggu-gugat kemakmuran," tegasnya.

Sementara itu, Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah berkata, sekiranya fitnah Red Bean Army dibiarkan berleluasa, dikhuatiri perpaduan rakyat sejak 55 tahun akan musnah.
"Tidak pernah lagi perpaduan kaum di negara ini menjadi seburuk ini apabila orang Cina sudah berani memainkan sentimen perkauman yang sempit, semua ini berikutan kebebasan kumpulan pro-DAP ini di medan siber.

"Keberanian mereka ini sangat menakutkan sehingga sanggup mempermain dan memperlekehkan isu melibatkan agama Islam, hak istimewa orang Melayu serta bahasa Melayu," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa mahu pembuat fitnah tersebut dipantau secara progresif melalui peruntukan undang-undang.
Meskipun kebebasan internet tiada batasannya, beliau menjelaskan, masih ada ruang untuk menghukum mereka di bawah Akta Hasutan agar ancaman sebegitu tidak berleluasa dan menghancurkan keamanan dikecapi negara kini.

"Seperti di China, kerajaan republik itu menyekat Facebook, perkara ini walaupun mereka hanya terdiri daripada satu kaum, mungkin kita perlu ke arah itu agar tidak timbul suasana yang tidak sihat dalam aspek perpaduan rakyat di Malaysia," katanya.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik