Thursday, May 30, 2013

SIAPA KATA KEMPEN DAH TAMAT.

By: Farushn Khan.

Di negara lain saya tak tahu, tetapi di Malaysia, saya tabik orang politik dan penyokong mereka.

Katalah rumah siap pahat berbunyi, katalah apa sahaja. Yang jelas kempen pilihan raya tidak kenal musim; 365 hari setahun.

Apa yang akan berlaku antara sekarang dan PRU14 yang mesti diadakan lima tahun lagi hanya ALLAH yang tahu.

Tentunya terlalu awal untuk meramalkan sama ada PRU14 akan menandingi kesengitan PRU13 yang dilabel sebagai ibu kepada segala PRU, siapa masih aktif, siapa berehat pada masa itu.

Apa pun, berdasarkanapa yang sedang berlaku, PRU14 barangkali lebih hebat daripada PRU13.

Entah apa pula bentuk tsunami yang akan melanda, apakah BN sudah ubah wajah melalui transformasinya dan berjaya merampas lagi negeri-negeri PR atau PR membuat kejutan, menembusi negeri-negeri kubu BN. Hanya masa dan keadaan  menentukannya.

BN menyedari hakikat bahawa ia mesti berubah atau diubah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mengakui cabaran lebih besar menanti PRU akan datang.

Justeru, katanya, BN perlu berani melakukan perubahan dalam aspek strategi, pendekatan dan program untuk kekal relevan. BN perlu berani berubah sebelum rakyat menolaknya.

Wakil rakyat perlu berkhidmat dengan ikhlas, bukan mahu menjadi yang berhormat dan mendapat kuasa. Jangan angkuh dan jangan mungkir janji.

Tepat sekali apa yang Najib cakap. Tetapi yang penting semua yang berhormat kena patuh; kena dengar suara rakyat dan laksanakan di mana perlu.

Menyentuh tentang suara rakyat, teringat desakan Veteran Umno supaya semua pihak terlibat dengan penganjuran hiburan mengkaji semula bentuk program supaya tidak melalaikan orang Melayu Islam.

Mereka meminta pihak-pihak bertanggungjawab seperti stesen televisyen, media cetak, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Belia dan Sukan, Jakim, majlis-majlis agama Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan dan semua pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan mencari jalan terbaik membetulkan keadaan.

Perkara ini perlu dipandang serius kerana hampir seluruh peminat program-program seperti itu adalah orang Melayu.

Dalam kenyataannya yang disiarkan Sinar Harian semalam, Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub, menyebut: "Bayangkan satu program yang akan diadakan pada jam 9 malam. Pengunjung telah memenuhi lokasi hiburan sejak jam 4 petang. Masa mana mereka solat Asar dan Maghrib?"

Program seperti itu, katanya, juga menggalakkan muda-mudi bercampur tanpa sekatan.

"Fenomena suka berhibur dalam kalangan orang Melayu amat membimbangkan dan ia adalah salah satu faktor hilangnya jati diri kerana terlalu terdedah kepada bentuk hiburan tidak terkawal dan melampau.

"Mereka boleh menghafal puluhan lagu, tapi amat sukar mengingati surah-surah pendek dalam al-Quran untuk solat mereka," katanya.

Saya percaya semua YB dan pihak-pihak yang ada kaitan dengan masalah itu tentu sudah mengambil perhatian serius dan bertindak sewajarnya. Ini hanya sebahagian kecil daripada masalah yang jauh lebih besar.

Penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa, antara lain, perlu juga ditangani segera.

Cadangan beberapa pihak supaya YB, termasuk menteri-menteri, isytihar aset pula bagaimana?

Apa yang akan jadi pada PRU14? Mahu atau tidak, semua orang akan menunggu untuk melihat apa pula bentuk tsunami yang mungkin melanda kali ini.

Ia tidak semestinya pembangkang menyapu bersih semua kawasan kuat BN-Umno. Entah-entah kali ini BN-Umno pula, dengan perancangannya menyusun semula parti itu di bawah parti berjenama baru, BN pula dapat merampas lebih banyak kawasan dan negeri pembangkang.

Atau apakah pembangkang berjaya mencapai impian mereka mengambil alih puncak pentadbiran Putrajaya?

Apa pun kemungkinannya, yang penting negara jangan jadi mangsa keadaan dan rakyat jangan rugi dalam proses itu.

Macam dalam PRU13, BN dan PR berlawan mendapatkan sokongan dan undi, rakyat turut dapat durian runtuh, BR1M dan macam-macam lagi.

Memanglah kita tidak suka lihat dua parti politik besar ini bergaduh dan pemimpin mereka  terus melemparkan tuduhan antara satu sama lain.

Tapi kalau pun mereka tidak dapat elak bergaduh, pastikan sekali lagi rakyat mendapat untung. Selamat berkempen.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik