Saturday, May 25, 2013

TIADA LAGI AMARAN HANYA TINDAKAN TEGAS.

By: Juhaidi Yean Abdullah.

Tuntutan tak munasabah usah dilayan

Pada 1978, bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn berdepan dengan kumpulan pendesak perkauman yang mendakwa wujud dua kelas warga negara di Malaysia. Puak ini membuat bising kerana tidak gembira dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kononnya mendiskriminasi orang Cina dan menjadikan mereka warga negara kelas kedua. Menurut mereka, hak istimewa Melayu, yakni tonggak kontrak sosial yang turut mempertahan hak bukan Bumiputera, meletakkan orang Melayu sebagai warga negara kelas pertama. 

Sebagai reaksi, Tun Hussein menyatakan bahawa DEB bertujuan menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Ia tidak mendiskriminasi mana-mana pihak, malah orang Cina tetap menjadi kaya di bawah DEB. Ini jawapan beliau: “Orang Melayu boleh saja menjadi warga negara kelas kedua di negara sendiri dan orang Cina boleh diangkat jadi warga negara kelas pertama, dengan syarat orang Cina memindahkan semua harta dan kekayaan mereka kepada orang Melayu.” 

Fenomena keganasan dan pelampau mesti dibanteras segera. Ia sudah berlarutan terlalu lama, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan.

Pihak pendesak tersentap dan terkedu dengan jawapan itu. Buat seketika, tiada lagi kedengaran desakan atau tuntutan yang tidak munasabah itu. Walaupun Tun Hussein tidak lama jadi Perdana Menteri, beliau dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan berprinsip, sama seperti Perdana Menteri sebelumnya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Mereka dihormati, disegani dan adakalanya ditakuti kawan dan lawan. 

Tun Dr Mahathir Mohamad juga meninggalkan legasi yang kuat sepanjang mentadbir negara ini selama 22 tahun. Seorang yang tegas pendirian dan memiliki keyakinan diri yang tinggi, beliau berani membuat keputusan, hatta yang tidak popular, dan menghadapi risiko. Beliau berdepan dengan pelbagai krisis yang melanda parti, kerajaan serta keluarga dan dirinya, namun kesemuanya dihadapi dengan berani dan tegas. Dr Mahathir melahirkan pandangan mengenai pelbagai isu, termasuk mempertahan hak Bumiputera tanpa segan silu, dan berani berdepan dengan semua pengkritiknya, baik di dalam mahupun di luar negara.

Ketegasan pucuk pimpinan

Ketegasan dan keberanian pucuk pimpinan menjadikan negara ini aman dan makmur. Rakyat boleh menjalani kehidupan seharian dengan selesa, pembangunan boleh berjalan baik dan ekonomi berkembang pesat. Tapi semua ini boleh terjejas jika soal keselamatan dan kestabilan diambil mudah. Melihat kepada kerenah pembangkang selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13, banyak pihak berasakan perlunya kepemimpinan yang lebih tegas dan berani bagi menangani gejala yang boleh mengancam keamanan negara dan keharmonian bermasyarakat. 

Pemimpin pembangkang sedang menanam pemikiran anarkis dalam kalangan pengikut mereka melalui tindakan provokasi, protes dan demonstrasi. Penyokong yang taksub diajar untuk mendengar sebelah pihak saja. Mereka tidak digalak berfikiran rasional atau objektif. Mereka diajar untuk tidak menghormati undang-undang dan bertindak ganas jika disekat. Mereka juga dididik supaya mengecam dan bersikap kurang ajar kepada seteru.

Selain menyerang pemimpin negara, khususnya dari UMNO dan Barisan Nasional (BN), mereka juga menghina institusi seperti Raja-Raja Melayu, Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan sistem kehakiman. Sultan Johor dan Sultan Perak adalah antara Raja Melayu yang dihina pemimpin DAP. Tun Mahathir digelar ‘syaitan’ oleh Lim Kit Siang, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah pula dilabel ‘rasis’ manakala Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali dan timbalannya, Datuk Zulkifli Noordin dianggap pelampau, atas pendirian mereka mempertahan hak orang Melayu, kesucian Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Sering dikecam

Tidak terkecuali alim ulama, tokoh akademik, cendekiawan dan akhbar Melayu. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sering dikecam penyokong PAS walaupun bercakap benar mempertahankan agama dan nilai Islam. Datuk Dr Hassan Ali dan Nasaruddin Mat Isa pula dihina kerana menganjurkan perpaduan ummah Melayu-Islam. Tunku Aziz Tunku Ibrahim turut dikecam kerana pendiriannya menentang keganasan dan demonstrasi jalanan. Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein pernah menangis apabila novelnya, Interlok, dibakar puak pelampau yang memprotes penggunaan perkataan yang dianggap menyinggung perasaan kaum India. 

Fenomena keganasan dan pelampau mesti dibanteras segera. Ia sudah berlarutan terlalu lama, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan. 

Pembangkang harus ingat bahawa Malaysia bukan milik mereka saja. Mereka tidak boleh buat sesuka hati, lacurkan undang-undang dan ranapkan perpaduan. Malaysia milik semua rakyat, semua warga negara ada hak untuk menikmati kedamaian, kestabilan dan kemajuan. Andainya sebahagian lagi rakyat yang membantah ‘kegilaan’ pembangkang yang berterusan ini hilang sabar dan mahu bertemu buku dengan ruas, alamatnya negara kita akan mengalami perang saudara.

Kerajaan dan pihak berkuasa perlu menangani situasi ini dengan cepat, tegas dan tuntas. Episod di Lahad Datu dan Semporna masih terasa, mengingatkan semua pihak soal keamanan tidak boleh diambil mudah. Sudah cukup amaran diberi kepada pencetus huru-hara dan puak anarkis. Ketegasan yang ditunjukkan Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mesti diterjemah dalam bentuk tindakan yang boleh meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik