Wednesday, May 22, 2013

TIBA MASA ORANG MELAYU BERDIKARI.

RAMAI yang melompat dan marah apabila Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani mencerca Utusan Malaysia dalam Twitternya dengan mendakwa akhbar itu sebagai rasis.

Belum reda dengan isu Azran, tiba-tiba beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pula tampil dengan saranan supaya barangan keluaran peniaga Cina di negara ini dipulaukan.

Sekali lagi semua orang panik, terutama peniaga-peniaga Cina apabila konco-konco mereka membuat kenyataan mendakwa cadangan itu bersifat perkauman dan boleh memberi kesan kepada ekonomi negara. Ada juga peniaga Cina ini mengugut hendak melancarkan kempen serupa terhadap barangan keluaran peniaga Melayu.

Siapakah sebenarnya yang memulaukan siapa? Bukankah orang Cina di Malaysia sendiri telah lama memulaukan perniagaan orang Melayu selama hampir 56 tahun lalu sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Apa yang menyedihkan wang orang Melayu yang mengalir ke kantung peniaga Cina digunakan oleh mereka dalam agenda untuk menghancurkan kuasa politik orang Melayu dan menggulingkan kerajaan dengan perancangan yang teliti.

Menurut bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, jumlah penduduk Malaysia pada 2010 berjumlah 28.3 juta dengan penduduk Islam berjumlah 61.3 peratus (17,347,900 orang). Begitulah besarnya kuasa beli orang Melayu di Malaysia.

Sejak 2010 seramai lebih 17 juta orang Melayu terus-terusan membeli barangan daripada peniaga Cina. Begitulah juga senarionya sejak 56 tahun lalu.

Bayangkan jika lebih 17 juta orang Melayu berbelanja sebanyak RM100 sahaja seorang di kedai-kedai Cina setiap bulan, jumlah wang orang Melayu mengalir ke kantung peniaga Cina berjumlah RM1.7 bilion sebulan dan berjumlah RM20.4 bilion setahun.

Jika kempen ini dijalankan secara serius dan kuasa beli orang Melayu Islam di negara ini beralih kepada kedai Melayu Islam, maka sejumlah RM20.4 bilion wang orang Islam akan mengalir ke dalam pasaran orang Melayu Islam.

Selain itu, peniaga Melayu Islam ini akan membayar zakat perniagaan dan jika dikira berdasarkan 2.5 peratus bayaran zakat, maka sebanyak RM500 juta wang zakat dapat dikumpulkan untuk membantu penduduk Islam yang memerlukan.

Kenyataan-kenyataan yang mendakwa kempen memulaukan barangan dan produk peniaga Cina akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara juga merupakan kenyataan yang dangkal dan tidak berasas. Jika orang Melayu Islam beralih membeli produk di kedai Melayu Islam, yang beralih hanya pengaliran wang daripada peniaga Cina kepada peniaga Melayu dan kerajaan masih menerima jumlah cukai perniagaan dan cukai pendapatan yang sama.

Kenyataan yang menyatakan pelabur akan lari sekiranya kempen memulaukan barangan peniaga Cina dilancarkan juga kenyataan yang karut kerana pelabur-pelabur tidak melihat kaum sebagai syarat membuat pelaburan di sesebuah negara.

Sudah sampai masanya, penduduk Islam di negara ini berdikari dalam bidang ekonomi dan bergiat secara serius dalam bidang perniagaan bagi menyediakan segala keperluan, perkhidmatan dan barangan pengguna untuk penduduk Islam di negara ini.

Malahan sudah sampai masanya, orang Melayu meneroka bidang perniagaan dan perindustrian baru yang selama ini dianggap eksklusif bagi peniaga Cina.

Adalah menjadi fardu kifayah bagi orang Islam untuk meneroka bidang perniagaan dan perindustrian bagi memenuhi keperluan orang Islam di negara ini. Ini bukan soal perkauman, tetapi soal kewajipan dan keperluan.

Malahan ia boleh membantu usaha kerajaan meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera termasuk orang Melayu Islam yang masih rendah di negara ini.

Kembali kepada kempen tersebut, gerakan itu perlu dijalankan secara serius dan berterusan supaya ia memberi kesan jangka panjang yang akhirnya akan mewujudkan rangkaian dan pangkalan perniagaan orang Islam di negara ini.

PPIM perlu memperkenalkan simbol atau logo tertentu bagi memudahkan pengguna Melayu Islam mengenal pasti kedai-kedai milik orang Melayu Islam. Usaha ini juga perlu mendapat sokongan semua pihak terutama penduduk Melayu Islam di negara ini dan sokongan kerajaan sendiri kerana ia sudah jadi satu jihad yang perlu ditunaikan dan disokong oleh umat Islam.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pula perlu menunaikan tanggungjawabnya terhadap orang Melayu yang telah mengundi menyokong kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan bersungguh-sungguh membantu melahirkan lebih ramai peniaga Melayu Islam dengan menyediakan latihan, tempat berniaga dan bantuan termasuk modal.

Dalam konteks ini juga, kerajaan boleh menambah peruntukan kepada Mara untuk membina premis-premis perniagaan yang strategik di bandar dan luar bandar untuk disewakan kepada peniaga Melayu dengan dikenakan kadar sewa yang rendah.

Kerajaan juga melalui Bank Negara Malaysia (BNM) boleh melaksanakan skim yang menghendaki bank tempatan menyediakan kemudahan pinjaman mudah bagi peniaga Melayu membeli rumah kedai.

BNM perlu pastikan tiada birokrasi dalam memberi kelulusan kepada peniaga Melayu yang memohon pinjaman perniagaan daripada bank-bank perdagangan yang rata-rata pegawai pemasaran di bank-bank terdiri daripada kaum Cina.

Kalau sesuai skim pembinaan kedai-kedai harga berpatutan untuk bumiputera boleh dimasukkan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) supaya orang Melayu boleh membeli rumah kedai pada harga yang berpatutan.

Kerajaan juga boleh menggunakan koperasi-koperasi di negara ini bagi mempercepatkan proses mewujudkan rangkaian kedai-kedai orang Melayu di seluruh negara. Kini terdapat 9,040 koperasi di negara ini dengan ahli berjumlah 7,040,309, dengan lebih 95 peratus ahli koperasi terdiri daripada orang Melayu, dan kerajaan boleh menyediakan skim khusus kepada koperasi-koperasi ini seperti pinjaman mudah bagi membeli rumah kedai.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik