Thursday, May 30, 2013

TINDAK TANDUK RADIKAL PERLU DIKEKANG.

By: Azmi Hassan.

TIDAK kira apa jua perkara yang diperjuangkan, pendekatan radikal atau ekstrem yang digunakan untuk mencapai matlamat tersebut besar kemungkinan akan menghasilkan mudarat yang lebih besar berbanding manfaatnya.

Kejadian pembunuhan seorang anggota tentera Lee Rigby di Woolwich, sebuah bandar berhampiran dengan kota London beberapa hari lepas adalah manifestasi bagaimana fahaman radikal mampu mengaburi penilaian dan naluri saksama seseorang.

Serangan tersebut yang dipercayai didalangi oleh Michael Adebolajo dan Michael Adebowale dikatakan berpunca daripada kemarahan kedua-duanya terhadap penglibatan tentera British yang mengakibatkan ramai umat Islam terkorban terutama sekali di Afghanistan dan Iraq.

Setiausaha Dalam Negeri United Kingdom, Theresa May menyifatkan kejadian serangan tersebut sebagai gambaran keadaan yang genting kerana ramai lagi rakyat Britain seperti Adebolajo dan Adebowale yang begitu mudah dipengaruhi oleh perasaan radikal yang menjerumus kepada suasana aktiviti keganasan.

Pengaruh radikal dan ekstrem ini menurut May lagi banyak disumbangkan oleh salah guna kemudahan internet terutama sekali dalam jaringan sosial yang banyak menyalurkan maklumat yang salah.

Sebab itu May yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal keselamatan dalam negeri Britain iaitu bersamaan dengan Menteri Dalam Negeri Malaysia, akan memperkenalkan draf Akta Data Komunikasi untuk memudahkan pihak berkuasa menangani jenayah yang dilakukan di alam siber.

Akta tersebut menurut May diperlukan untuk memberi ruang kepada agensi keselamatan dan perisikan negara itu mencapai maklumat dan data yang disalurkan melalui internet atau telefon supaya perlakuan jenayah dapat dipantau dengan lebih cekap.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada fenomena kemudahan internet telah disalahguna oleh sesetengah pihak untuk menyebarkan fahaman radikal yang banyak menjerumus kepada perasaan kebencian melampau terhadap pihak lain.

Bermula beberapa tahun lepas penyebaran fahaman radikal melalui internet telah berlaku secara tersusun dan terancang oleh beberapa kumpulan yang menanam sifat radikal bukan sahaja melalui penyaluran maklumat yang salah tetapi juga berat sebelah.

Salah satu kumpulan yang dikatakan bergerak secara aktif ialah Red Bean Army yang begitu berjaya dalam misi mereka yang begitu berbahaya kerana ada unsur untuk melagakan antara kaum berlainan di Malaysia hanya disebabkan oleh perbezaan ideologi politik.

Mungkin akan ada yang memperlekehkan kaitan aktiviti Red Bean Army dengan kejadian serangan di Woolwich tetapi perlu ditegaskan bahawa kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu pegangan radikal terhadap sesuatu kepercayaan.

Penyerang Woolwich mengambil pendekatan radikal kerana taksub dengan kebencian terhadap tentera British yang terlibat di Afghanistan dan Iraq. Begitu juga tindakan radikal Red Bean Army di alam siber adalah di atas dasar kepercayaan bahawa parti politik yang mereka sokong sepatutnya mentadbir kerajaan.

Tindak tanduk Red Bean Army yang begitu radikal perasaan kebencian mereka terhadap kumpulan yang tidak sehaluan ideologi politik boleh dianalogikan dengan pegangan parti politik haluan kanan Greece iaitu Golden Dawn yang begitu taksub dengan kebencian terhadap penduduk imigran dan minoriti.

Ahli politik Golden Dawn bukan sahaja mempunyai sifat perkauman yang begitu menonjol tetapi juga mengambil pendekatan radikal dengan ucapan berbentuk cacian dan kadangkala tindakan yang bersifat fizikal apabila berada di Parlimen.

Pesuruhjaya Hak Asasi Kesatuan Eropah (EU), Nils Muiznieks telah mendesak kerajaan Greece di bawah pimpinan Perdana Menteri Antonis Samaras supaya mengambil tindakan tertentu untuk mengekang sifat perkauman Golden Dawn yang telah banyak mencetuskan pertembungan fizikal antara kumpulan berlainan.

Pemimpin Golden Dawn umpamanya telah mengeluarkan ugutan kepada penduduk Islam di Greece supaya meninggalkan negara itu untuk mengelak dari disembelih seperti ayam. Parti politik ini juga mengancam akan bertindak ganas jika kerajaan Greece meneruskan hasrat membina masjid di Athens yang telah sekian lama terbantut.

Sebab itu Perdana Menteri Samaras telah mengusulkan supaya diwujudkan perundangan anti-rasis supaya tindak tanduk perkauman radikal yang diamalkan oleh parti politik seperti Golden Dawn dapat dikekang melalui lunas yang dibenarkan.

Mungkin ramai akan mencemuh apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri mula mengambil pendekatan proaktif untuk mengekang sifat kebencian radikal daripada menular tanpa kawalan kerana mungkin golongan yang menentang ini dengan sinis menuduh ia hanyalah helah politik kerajaan memerintah.

Ada juga yang memperlekeh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mendakwa beberapa penganjur perhimpunan haram dan menahan beberapa pemimpin politik di atas tuduhan membuat ucapan berunsur hasutan.

Tindakan yang diambil oleh Ahmad Zahid atau PDRM adalah untuk mengekang sifat kebencian yang begitu radikal yang boleh menjerumus kepada suasana yang lebih bahaya. Kerajaan Greece yang tidak mampu mengekang tindak tanduk Golden Dawn kerana ketiadaan peruntukan perundangan telah mengakibatkan berlaku sebanyak 220 serangan fizikal di antara Oktober 2011 sehingga Disember 2012. Kesemua serangan tersebut dipercayai disebabkan oleh sikap perkauman radikal yang dibawa oleh parti Golden Dawn.

Mungkin ada yang berpendapat perhimpunan haram untuk membantah keputusan pilihan raya adalah sebahagian dari hak demokrasi seseorang untuk meluahkan perasaan mereka. Tetapi jika ia dilakukan tanpa mengikut lunas perundangan dan di tambah pula dengan tindak tanduk radikal yang disemai oleh kumpulan seperti Red Bean Army, maka kejadian serangan seperti yang berlaku di Woolwich mungkin juga boleh berlaku di Malaysia.



No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik