Sunday, May 12, 2013

UMNO BUKAN PARTI RASIS.

By: Agenda Daily.

umno-76-2Sempena ulangtahun ke 67 UMNO dan baru saja memenangi pilihanraya umum ke 13 yang menyaksikan cuma sekitar 3 peratus pengundi Cina mengundi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak usaha pembangkang yang cuba gambarkan UMNO sebagai sebuah parti rasis.

Presiden UMNO itu berkata jika bukan kerana isu perkauman yang dimainkan pakatan pembangkang, beliau percaya BN mampu memperoleh majoriti yang lebih besar pada pilihan raya umum ke-13 yang berakhir Ahad lepas.

Perdana menteri berkata pencapaian Umno pada pilihan raya umum kali ini adalah lebih baik berbanding 2008 meskipun diasak dan diserang pelbagai tohmahan serta fitnah daripada pembangkang.

Pada PRU13, BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen dengan Umno kekal sebagai tonggak gabungan itu apabila menyumbangkan 88 kerusi. Pada pilihan raya umum 2008, Umno memenangi 79 kerusi parlimen.

 Najib berkata sejak ditubuhkan 67 tahun lepas, Umno menganggap bukan Melayu sebagai rakan kongsi dan akan tetap mempertahankan dasar yang sederhana, adil dan saksama kepada semua bangsa.

 "Inilah formula terbaik Umno (keadilan kepada semua), bukan formula keterlaluan untuk memancing undi tetapi pada akhirnya memusnahkan negara Malaysia yang tercinta.

"Kita tidak akan benarkan politik sedemikian...opportunistic politics (politik oportunis)...kita tak akan benarkan kerana akhirnya akan menghancurkan segala-galanya yang telah dibina Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Umno ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, Sabtu malam.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, naib-naib presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Pergerakan Pemuda Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Turut hadir bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta presiden parti-parti komponen BN.
 
Sempena ulang tahun Umno ke-67 hari ini, Najib mengajak pemimpin dan anggota Umno supaya bermuhasabah dan menginsafi diri dengan memperbetulkan kelemahan bagi menarik semula sokongan rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Yang sokong, kita ucap terima kasih. Yang tidak undi, kita tanya diri balik bagaimana pada pilihan raya umum akan datang mereka boleh sokong kita.

umno-67-3

"Jangan angkuh dan sombong. Kita berjaya kerana rakyat suka, sokong dan percaya. Ingatkan diri sepanjang masa, tak kira pemimpin besar atau akar umbi Umno bahawa kesudahannya rakyat yang akan tentukan kelangsungan dan kekuasaan parti (Umno)," katanya.

Perdana Menteri mengingatkan anggota Umno di semua peringkat supaya melaksanakan segala aku janji dan bersikap mesra rakyat bagi memastikan parti keramat orang Melayu itu dapat menyambut kejayaan yang lebih besar pada lima tahun akan datang.

"Marilah kita semua berusaha sebagai satu pasukan dalam satu ikatan perpaduan kukuh untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa kita akan membawa Malaysia yang lebih aman, makmur dan berjaya di bawah pimpinan Umno dan BN," katanya.

Najib turut menyifatkan Umno sebagai sebuah institusi politik paling berjaya di dunia kerana selepas 67 tahun, parti itu bersama rakan-rakan komponen dalam BN masih kekal mentadbir Malaysia.

Dalam ucapan itu  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan pemimpin pakatan pembangkang enggan menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 yang berpihak kepada Barisan Nasional (BN) sebagai 'hipokrasi yang sangat besar'.

Najib yang juga Presiden Umno menempelak pembangkang kerana boleh menerima keputusan yang menguntungkan mereka walaupun mendakwa sistem pilihan raya kali ini tercemar dan berlaku penipuan.

"Kalau sistem pilihan raya begitu tercemar, dinodai penipuan, kenapa angkat sumpah di Pulau Pinang, Kelantan dan tidak sabar-sabar mengangkat sumpah di Selangor? Kenapa terima (keputusan) di Permatang Pauh, Gelang Patah.

"Tetapi kalau sistem yang sama di peringkat negeri dan pusat...kalau yang menguntungkan mereka, (mereka) terima keputusan. Kalau memihak kepada BN, tidak diterima. Inilah hipokrasi yang paling besar," katanya.

Najib berkata sebagai pengamal demokrasi, pembangkang sepatutnya menerima keputusan rakyat berdasarkan sistem yang diterima pakai mengikut perlembagaan negara. Sebelum pilihan raya umum lagi, Najib berkata beliau sebagai Pengerusi BN bersedia menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh rakyat.

"Mereka (pembangkang) yang banyak bersuara tentang demokrasi, mereka yang nyatakan bahawa rakyat yang akan tentukan segala-galanya...setelah pilihan raya berakhir, mereka enggan terima keputusan demokrasi Parlimen yang ditentukan rakyat Malaysia," tegasnya.

Najib turut membidas pembangkang yang memberi pelbagai alasan akibat kekalahan pada PRU13 termasuk mendakwa BN membawa masuk ramai warga Bangladesh sebagai pengundi untuk memastikan kemenangan parti itu, selain mempertikai dakwat kekal yang sebelum ini dituntut oleh mereka untuk digunakan dalam sistem pilihan raya.

"Mereka gembar-gembur pembohongan dalam media sosial, dalam cerita-cerita yang dibawa dari mulut ke mulut seolah-olah dongeng itu adalah kebenaran mutlak sehingga cerdik pandai pun termakan cerita. Inilah angkara dibuat pembangkang," katanya.

Perdana menteri berkata daripada menyebarkan di media sosial, pembangkang sepatutnya membawa dakwaan mereka ke mahkamah, dan BN akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat.

Dalam pada itu, Najib turut menempelak pemimpin pembangkang yang kemaruk kuasa dengan menyusahkan rakyat dan mencemarkan imej negara sedangkan telah gagal mengambil alih kepimpinan negara sejak empat pilihan raya lepas.

"Jadi kalau buat kenyataan nak bersyarah di luar negara, pergilah. Jangan ditunggu-tunggu lagi. Sudah empat kali (gagal) masih hendak pertahankan jawatan. Sedangkan dalam kalangan kita, kalah sekali pun sudah letak jawatan.

Inikah yang dikatakan mengamal demokrasi? Inikah yang perjuangkan sistem adil dan terbuka? Yang tiada rasuah dan nepotisme? Tetapi hari ini timbalan presiden parti itu tunjukkan memang berlaku nepotisme dalam parti. Ini 'double standard'," katanya. 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik