Thursday, May 30, 2013

ZAHID YANG BERANI ANWAR YANG KACAU.

kun fayakun
By: terang bulan.

Taj Mahal tidak dibina dalam sehari. Keagungan cinta Shah Jahan tidak terputus meskipun buah hati penawar jantungnya pergi lebih dahulu. Kesetiaan itulah menyebabkan Shah Jahan begitu sayangkan Mumtaz Mahal sehingga tercetus idea membina Taj Mahal.

Tidak ada yang marahkan Shah Jahan. Keputusannya membina Taj Mahal terus mendapat perhatian bahkan dijadikan ikon kasih sayang dan pengorbanan atas dasar cinta.

Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang sukakan kedamaian dan bersifat kasih sayang. Melihat gelagatnya, tidak ada hari yang dapat menggambarkan seruan atau tindakannya melambangkan kasih sayang. Setiap hari kehidupannya penuh dendam, sejak dari masa mahasiswa hinggalah setelah menjadi tutor di Universiti Malaya dan ketika berada dalam kabinet Tun Dr Mahathir.

Ketika memasuki UMNO, Anwar telah mencetuskan fenomena kalaupun tidak mahu dipanggil Anwarisme. Fenomena ialah Anwar begitu cepat diberikan peluang jadi Menteri walaupun keahliannya dalam UMNO belum sampai setahun, kerana Tun Dr Mahathir percaya beliau boleh memainkan peranan penting mengimbangi pengaruh PAS dan seterusnya melumpuhkan kelantangan pekikan Haji Hadi yang berfatwa, boleh sahaja membunuh sesame Islam kerana ahli UMNO berkawan dengan bukan Islam, maksudnya kafir.

Itu berlaku pada awal tahun 1982. Pertengahan 1980-an, Anwar mula membina kelompok politiknya dengan membawa masuk seberapa ramai anggota ABIM dalam UMNO. Anwar menubuhkan beberapa kumpulan pemikir, termasuklah menjalin hubungan dengan pertubuhan keislaman antarabangsa. Ketika itu sudah menjangkit wabak Anwarisme, kerana semua orang mahu mendampingi beliau kerana mahukan sesuatu, termasuk projek. Tanyalah ramai orang di Pulau Pinang, semuanya mereka tahu.

Oportunis sentiasa mendampingi orang-orang dekat Anwar untuk dapat projek mahupun tempat dalam parti. Ada seorang ahli ABIM, kerana namanya tidak terpilih jadi calon UMNO dalam PRU 1986, menangis dan mengadu kepada Anwar. Anwar menggunakan pengaruhnya, lalu mengarahkan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan agar memasukkan nama orang itu untuk bertanding di salah satu kerusi DUN di Kelantan.

Orang-orang terdekat dengan Anwar juga memberikan beberapa pertimbangan tertentu. Ada yang menetapkan, untuk melobi projek kerana pertimbangkan komisyen 10 peratus, maka orang itu akhirnya dikenali sebagai Mr 10 Percent.

Selepas itu, bila Anwar menduduki kerusi Menteri Kewangan, ramailah muncul orang kaya baharu yang mendapat faedah daripada pengapungan saham yang diluluskan. Mereka bukan sahaja diberikan borang pink, tetapi berjaya mencipta proses penyeraian awam yang besar. Turut disediakan ialah pinjaman membeli saham, bank-bank komersial diminta atau diberikan peringatan agar membantu.

Keadaan mejadi semakin rancak apabila Anwar kekal di Kementerian Kewangan dan seterusnya menang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO, dengan memaksa Tun Ghafar Baba menarik diri. Dengan hati yang berat, beberapa orang penyokong Tun Ghafar cuba memujuk dan seterusnya membuat percaturan, Anwar wajar diberikan pertimbangan kerana jaringan sahabatnya sudah merata, sudah ada dalam kerajaan negeri dan sebahagiannya dilantik sebagai pegawai khas atau setiausaha politik menteri-menteri yang lain. Maka, Anwar hanya perlu petik sahaja suis, maka kesemuanya akan bekerja untuk mempastikan kemenangan.

Anwar juga berusaha menguasai media. Anwar meletakkan Johan Jaafar dalam Utusan Melayu sehingga memaksa Zainudin Maidin dipindahkan ke bahagian yang lain. Dalam kumpulan NSTP, Anwar ada Nazri Abdullah. Kalimullah Hasan yang pernah bertugas di NSTP terpaksa berkelana seorang diri ke Sabah merenung nasibnya yang disingkirkan, tetapi beberapa hari lalu beliau terus menyokong prinsip kebebasan yang diperjuangkan oleh pakatan pembangkang, terutama mengutuk sebuah tajuk berita keluaran Utusan Malaysia, yang menarik reaksi besar bukan Melayu dan seorang anak Melayu di Air Asia, yang kemudiannya terpaksa menelan tekanan kemarahan orang ramai.

Ketegasan Menteri Dalam Negeri memberikan amaran kepada kelompok yang menentang keputusan PRU 13, terutama yang berusaha menggunakan perhimpunan jalanan sebagai jalan penyelesaian telah menyebabkan ramai yang mengeluarkan reaksi kurang ajar. Ini berkaitan dengan larangan tidak menggunakan kaedah tersebut kerana ia bakal mewujudkan suasana yang tidak aman dan ketegangan yang lebih besar.

Reaksi Anwar ialah mahu meneruskan Blackout 505 sedangkan cara yang lebih halal sudah disediakan, iaitu mencabar keputusan tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang. Menariknya ialah pakatan pembangkang hanya mahu melakukan perkara itu bagi kawasan yang mereka kalah, dan ini akan menyebabkan parti yang menang akan melakukan perkara yang sama, mencabar agar kawasan yang dimenangi pembangkang akan diteliti kesahihan kemenangan.

Maknanya, jika hal ini benar-benar berlaku, ia memberikan gambaran betapa busuknya perlakuan politik di Malaysia, kerana cuba menafikan pilihan rakyat. Baik parti yang menang mahu pun parti yang memerintah, calon yang menang ataupun calon yang kalah, terpaksa menerima kepahitan itu.

Kejelekan politik itulah menyebabkan ramai yang beranggapan seolah-olah seperti perebutan pasangan betina dalam dunia haiwan. Sebelum dapat mengawan dengan pasangan betina, sekumpulan haiwan jantan terpaksa berkelahi sesama sendiri kerana dalam kemenangan membolehkan dibentuk penguasaan. Tetapi, keadaannya adalah lebih dahsyat. Dalam dunia haiwan, setelah menang dalam perebutan untuk mengawan, haiwan jantan yang kalah tidak lagi menganggu kehidupan pasangan itu.

Politik Malaysia tidak begitu. Setelah kalah, yang kalah terus mengecam pihak yang menang kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Kadangkala, apa yang dikatakan tidak kena itu bukanlah sesuatu yang boleh membatalkan keputusan, tetapi disebabkan hati yang busuk, perkara yang tidak betul disebarkan untuk menyatakan ia seolah-olah benar berlaku.

Dari persoalan dakwat kekal hinggalah kepada pengundi hantu. Dakwat kekal bukanlah perkara wajib dalam sistem pengundian, ia hanyalah satu bentuk penambahbaikan bagi menentukan tidak ada pihak yang melaksanakan pengundian lebih sekali. Ia hanyalah sebagai tanda, kerana dalam proses pengundian, perkara wajib ialah adanya calon yang bertanding dan adanya pengundi yang sah.

Bagi menjamin sistem tersebut sebagai sesuatu yang boleh dipertanggungjawabkan, senarai mereka yang mendaftar itu disemak terlebih dahulu. Bila disahkan, kertas undi diberikan untuk membuat pilihan. Selepas tamat tempoh yang ditetapkan, semua kertas undi itu dikira. Seandainya semasa pengiraan undi, yang disaksikan oleh kesemua wakil calon yang bertanding, maka haruslah diterima keputusannya dengan lapang dada.

Anwar tidak boleh menerima kekalahan yang dialami oleh pakatan pembangkang, kerana dua hari sebelum PRU 13, terlalu yakin akan menang. Itu hanya keyakinan berdasarkan andaian, dan bukan berdasarkan keputusan sebenar. Setiap orang boleh berangan-angan, tetapi bukan semua angan-angan bertukar menjadi realiti. Di situlah perlu diterima hakikat, dan ramai yang memuji sikap beberapa orang pemimpin PAS, menerima keputusan tersebut kerana “Allah belum lagi mahukan PAS menang” semua kerusi yang ditandinginya.

Anwar tidak boleh terima, walaupun sebelumnya mengatakan kalau pakatan pembangkang kalah, bersedia ke Eropah jadi pensyarah manakala Haji Hadi kembali jadi nelayan. Kini, Anwar tidak boleh terima, maka mulalah Anwar menjaja semula kekecewaannya dengan menyalahkan sesiapa sahaja, termasuk SPR.

Anwar sebenarnya faham, dalam hukum rimba semua undang-undang tidak terpakai. Akibat nak sangat berkuasa, Anwar berusaha melaksanakan hukum rimbanya sendiri, dan setiap hari cuba membuli rakyat. Sampai bila rakyat boleh dibuli? Jawabnya, Anwar sendiri tidak bersedia mengakui kelemahannya.
Terbaharu Anwar menuduh kerana media berat sebelah maka banyak imej buruk pakatan pembangkang terbongkar dan seterusnya mempengaruhi keputusan rakyat. Anwar sebenarnya belum sedar, semasa dalam kerajaan beliau merupakan yang begitu galak sekali menggunakan media untuk menaikkan imejnya termasuk mengetepikan Tun Ghafar Baba.

Pun begitu, media yang dikawal oleh pakatan pembangkang juga tidak berlaku adil kepada parti-parti Barisan NAsional. Tidak pernah ada satu laporan pun yang mengatakan BN berjaya menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan mensejahterakan rakyat, sedangkan dalam media kawalan BN, tidak semua berita pakatan pembangkang diputarbelitkan. Cuma pakatan pembangkang marah, apabila media mendedahkan keburukan dan kesalahan mereka, maka akhbar tersebut digam atau disenaraihitamkan.

Bagaimana Lim Guan Eng lakukan terhadap Utusan Melayu, Berita Harian dan TV 3. Kenapa pakatan pembangkang tidak menilai dalam kerangka yang sama terhadap kandungan akhbar rasmi mereka. Jawabnya, pakatan pembangkang adalah pejuang hipokrasi yang terbesar, kerjanya setiap hari membasuh minda rakyat agar melihat pakatan pembangkang mempunyai magis.

Unsur-unsur magis telah mereka gunakan. Media sosial, kalau dalam PRU 12 ialah blog dan PRU 13 gerombolan Tentera Kacang Merah, digunakan secara maksimum untuk menipu rakyat, menghasut pengundi agar tidak memberikan undi kepada BN. Inilah watak sebenar pakatan pembangkang yang paling tidak boleh diterima. Mungkin kerana sikap yang keterlaluan, Allah SWT tidak memberikan mereka kemenangan besar dan mengesahkan Anwar jadi Perdana Menteri selepas PRU 13.
Anwar kena sedar, dan patuh kepada janjinya sendiri. Kalau Jusuf Kalla yang menjadi orang tengah sudah bosan dengan telatah Anwar yang tidak mahu menerima keputusan dengan tenang, maka sampai kiamat pun Anwar tidak akan direst oleh rakyat Malaysia untuk jadi Perdana Menteri. Rakyat boleh menilai dan melihat, kalau Anwar jadi Perdana Menteri keadaan kehidupan di Malaysia akan menjadi bertambah parah.

Ramai orang pernah mengalami keadaan yang kurang selesa ketika Anwar begitu mengganas cita-cita politiknya untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO. Kelompok Anwar pernah melakukan tindakan halus menyingkirkan beberapa orang penjawat awam, kerana tidak menyokongnya walaupun penjawat awam itu cuba bersikap berkecuali.

Anwar pernah juga dikatakan “merampas” apa yang berada dalam “mulut orang lain” kerana mahukan kumpulannya berada di situ. Itulah scenario ketika Anwar dalam kerajaan dan cuba melonjak naik ke puncak, tetapi kerana takdir telah menentukan segala-galanya, Anwar terjatuh ke bawah seperti kisah lagenda Sisyphus dalam romantisma Yunani berkurun dahulu.

Hari ini, ramai yang memuji keberani Zahid Hamidi, meskipun menerusi media sosial suara marahkan ketegasan itu daripada Tentera Kacang Merah, ia tentunya tidak akan ke mana akhirnya. Tindakan berdasarkan undang-undang untuk pencegahan adalah lebih baik daripada membiarkan kekacauan berlaku. Itulah keberanian, kerana keberanian dalam kebenaran itulah yang akan membawa kemenangan.

Malaysia tidak akan berlaku Arab Spring. Yang sedang berlaku sekarang ialah Anwar Spring. Tetapi, spring itu akan melantun kepada Anwar sendiri, kerana rakyat tidak sanggup didera sepanjang kehidupan untuk berpolitik bersama Anwar.

Rakyat perlukan ruang untuk bekerja, Rakyat perlukan masa untuk bersama keluarga. Anwarm, tidak khuatir kerana dia mempunyai wang yang banyak, dan boleh menampung perbelanjaan keluarga. Rakyat biasa, kalau seminggu tidak bekerja, apa nak makan? Kalau rakyat memilih berterusan bersama Anwar, Anwar tidak akan berikan apa-apa sebagai ganti. Yang untung ialah Anwar, dapat jadi Perdana Menteri dan rakyat tetap mencari pekerjaaan untuk sesuap nasi.

Kalaulah itu akhirnya, maka tidaklah perlu berjuang bersama Anwar. Ia bukan sahaja membuang masa, bahkan mencipta musuh berpanjangan. Lebih baik tumpukan perhatian, bekerja-bekerja-bekerja. Lim Kit Siang ada elaunnya sebagai wakil rakyat. Lim Guan Eng ada elaun bulanan sebagai Ketua Menteri. Berapa peratuskah elaun wakil rakyat itu dipulangkan kepada rakyat yang berjuang di bawah?

Lihat sahaja, pengundi Segambut sudah menawarkan RM 680 kepada wakil rakyat DAP kerana tidak ada kelibatnya turun membantu selesaikan gangguan ular. Wakil rakyat yang tidak pernah turun gelanggang (masuk dua penggal) hanya lepas tangan, minta tolong DBKL, Bomba dan sebagainya. Di manakah peranan beliau yang berjanji “akan berkhidmat”? Beliau hanya berkhidmat untuk dirinya sendiri. Menyesalkah pengundi Segambut memilih calon DAP itu?

Ketika ini, Anwar seperti cacing kepanasan. Ketika ini Zahid semakin berani dan keberanian itu janganlah untuk seketika. Teruskanlah, semoga Malaysia akan terus dihormati. Undang-undang tetap dipertahankan manakala kesopanan dan kesusilaan kembali menjadi pagar yang memisahkan antara budaya luhur dengan budaya anarkis, kerana Nietzche pernah berkata: anarkisme itu pengacau.

Anarkisme bukan nilai-nilai manusiawi, ia adalah perangai binatang. Maka benarlah kalimat Aristoles, manusia merupakan haiwan politik. Sekarang, haiwan-haiwan politik sedang melalak tanpa memikirkan, keputusan telah dibuat dan keputusan wajib dihormati. Inilah budaya politik haiwan yang sedang dipentaskan dalam lanskap politik Malaysia oleh mereka yang dilanda penyakit kronik, yang berpunca daripada jiwa yang kacau dan fikiran yang kotor.

Taj Mahal akan tetap jadi simbol kasih sayang, tetapi Anwar akan terus dikenali sebagai ikon anarkis dan berjiwa kacau.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik