Sunday, June 23, 2013

75 TAHUN SEMANGAT PERJUANGAN UTUSAN.

SELASA minggu lalu, Utusan Melayu menyambut ulang tahun ke-75. Tarikh 18 Jun 1938 adalah hari di mana syarikat Utusan Melayu diperbadankan dengan nama Utusan Melayu Press Limited dengan matlamat untuk menerbitkan akhbar bernama Utusan Melayu sebagai penyampai suara orang-orang Melayu bagi memperjuangkan kepentingan bangsa dan tanah air.

Akhbar Utusan Melayu diterbitkan hampir setahun kemudian selepas syarikat itu ditubuhkan, iaitu pada 29 Mei 1939.

Seringkali banyak orang keliru mengenai Utusan Melayu sebagai syarikat dan akhbar. Lebih-lebih lagi banyak orang kurang faham dengan perjuangan Utusan Melayu.

Ini kerana apabila disebut sebagai Utusan Melayu, maka yang tergambar ialah akhbar bertulisan jawi yang mula diterbitkan pada tahun 1939.

Kini akhbar ini sudah tiada. Ia dihentikan penerbitannya pada tahun 31 Disember 2003.

Sementara akhbar Utusan Melayu Mingguan bertulisan jawi yang diterbitkan seminggu sekali dan menjadi sisipan dalam Utusan Malaysia mula menemui pembaca pada 4 Januari 2003.

Seringkali disebut bahawa Utusan Melayu Mingguan sebagai pengganti Utusan Melayu kerana kedua-duanya bertulisan jawi. Tetapi pengganti sebenar Utusan Melayu bukannya Utusan Melayu Mingguan tetapi adalah Utusan Malaysia yang mula diterbitkan pada 1 September 1967.

Perjuangan Utusan Melayu bukannya soal tulisan jawi. Tetapi perjuangan Utusan Melayu adalah untuk agama, bangsa dan tanah air, ataupun yang sering disebut sebagai alif, ba, ta. Alif untuk agama. Ba untuk bangsa dan ta untuk tanah air.

Maka untuk perjuangan ini, Utusan Malaysia adalah pewaris kepada Utusan Melayu walaupun akhbar itu bertulisan rumi.

Sememangnya apabila disebut perjuangan Utusan Melayu, tentulah rujukannya ialah kepada Utusan Malaysia walaupun Utusan Melayu sebagai akhbar sudah tiada.

Ia bukannya soal akhbar atau bentuk tulisannya tetapi mesej, misi dan semangatnya.

Justeru apabila disebut sebagai semangat dan isi perjuangan Utusan Melayu, ia dikira bermula apabila syarikat Utusan Melayu Press Limited ditubuhkan. Semangat inilah yang sedang disambut ulang tahunnya yang ke 75 tahun ini.

Semangat itulah yang dikira masih bernyala dan bersemarak. Sedangkan syarikat Utusan Melayu Press Limited itu kini telah pun tiada. Ia dibubarkan pada 21 Februari 1970.

Ketika itu semua penerbitan akhbar dan majalah Utusan Melayu Press Limited telah diambil alih oleh syarikat Utusan Melayu (Malaysia ) Berhad yang ditubuhkan pada 10 Mei 1967.

Akhbar dan majalah yang diambil alih termasuklah Utusan Melayu, Utusan Zaman, Mastika (mula terbit pada 1 Jun 1941) dan Mingguan Malaysia (mula terbit pada 30 Ogos 1964).

Sementara Utusan Malaysia adalah terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan bukannya diwarisi daripada Utusan Melayu Press Limited.

Seperti mana Utusan Malaysia mewarisi perjuangan Utusan Malaysia, maka Utusan Melayu (Malaysia ) Berhad mewarisi pula Utusan melayu Press Limited. Kesemuanya menyambung perjuangan Utusan Melayu.

Sepanjang 75 tahun sejarahnya, ada tiga peristiwa yang menggugat Utusan Melayu dan hampir melenyapkannya.

Pertama ialah Perang Dunia Kedua. Kedua, ialah mogok. Ketiga ialah penggabungan.

Pada 15 Februari 1942, akhbar Utusan Melayu tidak lagi diterbitkan kerana tentera Jepun telah menawan Singapura.

Tetapi Jepun mengarahkan Utusan Melayu diterbitkan tetapi digabungkan dengan Warta Malaya untuk menjadi Berita Malai. Pekerja-pekerja Utusan melayu diketuai oleh pengarangnya, A Samad Ismail dikerahkan supaya bekerja.

Berita Malai bukan lagi Utusan Melayu sebenarnya. ia telah menjadi akhbar propaganda Jepun semata-mata. Maknanya Utusan Melayu sudah tiada lagi.

Dari tahun 1939 hingga 1942, Utusan Melayu hanya dapat bertahan tidak sampai tiga tahun.

Tetapi ternyata Jepun menyerah kalah dan syarikat Utusan Melayu Press Limited dihidupkan kembali dengan Yusof Ishak sebagai pengurusnya pada 17 September 1945. Maka Utusan Melayu dapat dihidupkan kembali. Syarikat Utusan Melayu ini kemudian berpindah ke Kuala Lumpur. Mulai 6 Februari 1951, akhbar Utusan Melayu tidak lagi dicetak di Singapura.

Gugatan kedua terhadap Utusan Melayu berlaku pada 10 Julai 1961. Pada tarikh itu Lembaga Pengarah Utusan Melayu yang dikuasai UMNO melantik Ibrahim Fikri sebagai Ketua Pengarang dan Pengarah Utusan Melayu.

Sepuluh hari kemudian, seramai 115 pekerja Utusan melayu melancarkan mogok membantah campur tangan UMNO dalam Utusan Melayu. 30 pekerja di Singapura juga melancarkan modok,

Pada 22 Julai akhbar Utusan Melayu tidak diterbitkan. Maknanya akhbar Utusan Melayu dapat bertahan selama 17 tahun selepas diterbitkan semula apabila Perang Dunia Kedua berakhir.

Beberapa hari selepas mogok besar itu, Utusan Melayu dapat diterbitkan semula atas usaha Melan Abdullah dan Othman Wok yang dibawa dari Singapura. tetapi ia dicetak di luar Utusan Melayu iaitu oleh Print Craft.

Pada 21 Oktober 1961, mogok berakhir, Ibrahim Fikri kemudian dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu dan tempatnya digantikan dengan H M Shah. Pada tahun 1962, Melan Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarang.

Tetapi ekoran daripada mogok besar itu, Utusan Melayu kehilangan nama-nama besar seperti Said Zahari, Usman Awang, Keris Mas dan banyak lagi.

Rahmat di sebalik kehilangan ini ialah mereka ini menjadi penggerak penting kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang kemudian meluaskan platform perjuangan bangsa dan bahasa Melayu.

Ketika mogok itu, Utusan Melayu lumpuh dan hakikat bahawa ia boleh ditutup adalah suatu yang mungkin juga.

Gugatan ketiga berlaku pada tahun 2006 apabila ada usaha untuk menggabungkan Utusan Melayu dengan New Straits times.

Gabungan itu dibatalkan setelah bantahan pelbagai pihak dengan usaha bersungguh-sungguh para wartawan Utusan Melayu menghalangnya.

Selepas 75 tahun perjuangan Utusan Melayu, institusi ini akan terus menghadapi pelbagai cabaran. Sememangnya Utusan Melayu sudah menjadi sebuah institusi, baik berupa akhbar Utusan Malaysia mahupun sebagai syarikat yang kini bernama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad atau lebih biasa disebut sebagai Kumpulan Utusan.

Tetapi walaupun sesuatu sudah menjadi institusi, ia tetap boleh hilang dengan satu tanda tangan saja.

Ingatlah bahawa selepas British kembali ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua, dengan satu tanda tangan, negeri-negeri Melayu hilang dari buminya dengan digantikan dengan Malayan Union. Raja-raja Melayu sebagai institusi yang wujud bukan saja dari zaman Kesultanan Melaka tetapi Seri Wijaya telah hilang begitu saja.

UMNO ditubuhkan bagi memulihkan kedudukan Raja-raja Melayu dan negeri-negeri Melayu.

Tetapi perjuangan Utusan Melayu bermula jauh lebih awal daripada banyak institusi yang ada pada hari ini. Dengan lahir pada tahun 1939, maka ia wujud lebih awal daripada UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946.

UMNO dan Utusan Melayu adalah institusi-institusi orang Melayu. Begitu juga dengan MARA dan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menjadi sebahagian daripada jentera kerajaan Malaysia. Begitu juga dengan Askar Melayu Diraja.

Pada satu waktu dahulu ada Bank Bumiputra. Hakikatnya ialah institusi-institusi orang Melayu ini boleh hilang jika tidak dipertahankan.

By: Zin Mahmud.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik