Friday, June 7, 2013

969 BUKAN NOMBOR BERTUAH.

By: Thomas Chong.

TAKSUB kepada nombor bukan satu perkara yang terhad kepada masyarakat Asia semata-mata tetapi ia merupakan fenomena yang menjangkau kawasan lebih luas di setiap sudut dunia.

Malahan dalam kalangan negara maju seperti di Eropah, masih terdapat golongan yang sensitif nombor.

Di China, nombor 3 dan 8 dialu-alukan kerana membawa makna hidup dan kaya. 4 pula merupakan nombor yang perlu dielakkan kerana ia membawa bunyi maut.

Nombor 9 bagaimanapun merupakan nombor kontroversi. Ia dianggap nombor bertuah di China kerana berbunyi lama dan berpanjangan. Di Jepun, 9 bagaimanapun dianggap sebagai nombor malang yang membawa maksud penderitaan.

Di benua Eropah pula, nombor 17 dianggap nombor kurang bertuah kerana dalam bahasa Latin ia membawa bunyi berakhirnya hayat seseorang. Bertentangan dengan 17, 13 dianggap sebagai nombor bertuah di Itali.

Namun bukan semua orang boleh menerima 13 sebagai nombor bertuah kerana ramai yang melihat nombor itu sebagai nombor malang. Di sesetengah tempat, 13 hari bulan yang jatuh pada Jumaat dianggap sebagai hari paling teruk dalam sebulan.

Pada hari ini, taksub kepada nombor telah berkembang kepada perkara yang jauh lebih serius malahan membimbangkan. Nombor atau gabungan nombor tertentu bukan sahaja boleh melambangkan identiti sesuatu kaum, malahan ia menyembunyikan maksud kesangsian, perkauman malahan kebencian.

Di Myanmar, nombor 969 telah digunakan sebagai lambang oleh penganut agama Buddha yang fanatik untuk menentang nombor 786 yang dikatakan menjadi lambang segelintir orang Islam.

Kenapa nombor-nombor itu dipilih sebagai lambang yang dikaitkan dengan agama sukar dijelaskan, namun yang ingin ditegaskan ialah segelintir penganut Buddha Myanmar begitu taksub kepada 969 terutamanya selepas beberapa kejadian rusuhan kaum berlaku di negara rantau Asia Tenggara itu.

Rusuhan itu dilaporkan terus merebak di mana bermula dari Rakhine, merebak ke Meiktila sebelum menghampiri Yangon yang merupakan bandar terbesar. Apa yang mengejutkan, bandar Lashio yang berhampiran dengan sempadan Myanmar-China juga tidak terkecuali daripada rusuhan antara orang Islam dan Buddha.

Rusuhan di Lashio membawa satu mesej yang teramat signifikan yakni rusuhan agama di Myanmar semakin berleluasa dan tidak boleh dipandang sebagai kes terpencil. Rusuhan yang bermula di kawasan sempadan Myanmar-Bangladesh, kini merebak ke kawasan sempadan Myanmar-China.

Di sebalik rusuhan agama di Myanmar, nombor 969 memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Di mana sahaja terdapat 969, di situlah ketegangan kaum dikesan dan ketegangan itu mungkin bertukar bentuk kepada rusuhan pada bila-bila masa.

Nombor 969 merupakan lambang bahawa orang Islam tidak dialu-alukan. Sekiranya nombor ini dipaparkan di premis perniagaan, maka ia bermakna pemilik kedai itu tidak berhasrat untuk berjual beli dengan orang yang beragama Islam.

969 menjadi popular selepas seorang sami Buddha mengajak penganut Buddha tidak membeli-belah di kedai peniaga beragama Islam kerana kekayaan orang Islam dikatakan akan memusnahkan agama dan penganut Buddha di Myanmar.

Pengaruh 969 tidak harus dipandang rendah kerana polis Malaysia turut mengesan kemunculan gerakan ini di sekitar Lembah Klang. Beberapa pergaduhan antara warganegara Myanmar termasuk yang menyebabkan kematian telah berlaku di Pasar Borong Selayang yang menjadi tumpuan pelbagai etnik Myanmar.

Fenomena fobia Islam bukan perkara baharu di Myanmar terutamanya di kawasan sempadan Myanmar-Bangladesh. Kadar kelahiran yang tinggi dalam kalangan etnik Rohingya selain kemasukan pendatang beragama Islam dari Bangladesh di wilayah itu menjadi kebimbangan etnik Rakhine yang beragama Buddha.

Khabar angin tersebar luas bahawa unsur Islam telah menyerap masuk ke dalam pejabat Aung San Suu Kyi iaitu pemimpin demokrasi dan wanita paling berpengaruh di seluruh Myanmar termasuk dalam kalangan etnik minoriti. Sebarang tanda prihatin Suu Kyi kepada orang Islam akan mengundang kritikan.

Suu Kyi yang juga pemenang Hadiah Keamanan Nobel bagai tersepit di antara dua pihak. Penganut Islam mendakwa beliau tidak memperjuangkan nasib mereka tetapi dalam kalangan penganut agama Buddha pula, Suu Kyi dilihat tidak tegas dalam menyuarakan hak penduduk majoriti.

Fobia terhadap Islam juga bermakna fobia terhadap nombor 786, gabungan nombor yang sering digunakan oleh segelintir orang Islam khususnya dari Asia Selatan. Penganut Buddha di Myanmar melihat 786 melambangkan konspirasi Muslim menawan dunia pada kurun ke-21 kerana jika dicampurkan, 786 menjadi 21.

Seorang sarjana terkenal Myanmar, Dr. Maung Zarni telah menyamakan gerakan anti Rohingya di Myanmar sebagai satu bentuk neo-Nazi.

Terdapat juga pihak yang meletakkan lambang 969 bersama dengan lambang Nazi. Ia sekali gus membangkitkan imaginasi tentang gerakan anti Yahudi yang pernah dilakukan Nazi.

Kini 969 yang melambangkan agama Buddha dan 786 yang melambangkan segelintir umat Islam saling bertentangan di Myanmar, ia seakan-akan bom jangka masa yang akan meletup bila-bila masa untuk membawa Myanmar ke konflik etnik yang lebih besar.

Pada ketika kerajaan Myanmar berjaya berdamai dengan tentera etnik Karen dan Chin yang mana kebanyakannya terdiri daripada minoriti beragama Kristian, isu dengan penduduk Islam pula memuncak dengan rusuhan-rusuhan yang berlaku.

969 dilihat sesetengah pihak sebagai lambang perpaduan, nasionalis dan ia juga dikaitkan dengan keagamaan. Namun gabungan nombor ini turut menyembunyi perasaan paranoid dan fobia penganut Buddha terhadap Islam.

Sekiranya sentimen fobia terhadap Islam tidak diuruskan, ia boleh bertukar kepada permusuhan dan kebencian.

Sebaran khabar angin pula mengapi-apikan keadaan seterusnya membawa tumpahan darah seperti yang pernah berlaku di Sitwe, Meiktila dan Lashio, di mana masjid dibakar dan sami dibunuh.

Oleh demikian, nombor 969 yang didukung sebahagian penganut agama Buddha di Myanmar bukan nombor bertuah, tetapi nombor dahsyat yang mampu menghancurkan masa depan negara itu.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik