Sunday, June 16, 2013

APA LAGI ANWAR IBRAHIM MAHU?

SATU fenomena menarik yang saya amati sejak kebelakangan ini ialah suara-suara lantang yang berkumandang dari lubuk pembangkang. Boleh dikatakan saban hari, ada saja yang tidak kena. Apa lagi yang pakatan pembangkang mahu agaknya? Pilihan raya sudah lama berakhir. Kerajaan sudah ditubuhkan, dan Parlimen sudah hampir bersidang.

Tidak sampai seminggu selepas pilihan raya umum lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memulakan kecohnya. Bermula dengan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya, dia kemudiannya merantau ke setiap pelosok negara di bawah sepanduk Black 505, menyuarakan ketidakpuasan hati atas keputusan pilihan raya umum yang tidak memihak kepada pakatan pembangkang.

Anwar menganggap kekalahan pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional (BN), walaupun pembangkang secara keseluruhannya menerima undi popular yang lebih besar, adalah tidak mencerminkan demokrasi sebenar. Dia mendakwa keputusan pilihan raya telah dicuri oleh BN menerusi penipuan dan manipulasi.

Yang terbaru, desakan keras supaya anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan, walaupun mereka memikul tugas besar untuk mengkaji semula persempadanan kawasan pilihan raya yang berdasarkan jadual yang ditetapkan mengikut undang-undang.

Bagaimanapun, saya kira semua ini hanyalah smokescreen Anwar untuk menarik perhatian umum daripada hakikat sebenar, bahawa kekalahan pakatan pembangkang adalah disebabkan oleh kelemahan strategi beliau di Sabah. Anwar sebenarnya gagal memahami suasana politik di Sabah dan ini menyumbang kepada kegagalan pakatan memenangi kerusi-kerusi Parlimen penting yang boleh membantu mewujudkan Kerajaan Pusat.

Sebagai contoh, pemimpin PKR Sabah tidak memahami apakah keuntungan strategi Anwar dalam membawa masuk Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, dan membenarkan kedua-duanya mempengaruhi senarai calon pilihan raya di negeri itu. Ini kerana PKR Sabah sudah pun mempunyai senarai calon tersendiri yang sudah lama membanting tulang untuk parti sejak ditubuhkan 15 tahun lalu. Mereka ini diketepikan begitu saja.

Menghadiahkan

Jelas sekali, Anwar terlalu yakin bahawa Sabah boleh membantu menghadiahkan kerusi-kerusi Parlimen yang diperlukan, sehingga beliau mengabaikan negeri itu apabila pilihan raya menjelang tiba dan memberi tumpuan hebat kepada kerusi-kerusi panas di Semenanjung.

Kerana kegagalan percaturan itu, pakatan kehilangan Sabah, dan sekali gus tewas dalam pilihan raya umum lalu.

Masanya sudah tiba bagi pakatan pembangkang untuk meletakkan pilihan raya sebagai sejarah silam dan merintis jalan untuk membina negara. Dalam konteks ini, biarlah saya menjadi orang pertama yang membuka jalan kerjasama. Sebagai Menteri, saya sendiri sudah menjemput Anwar untuk menamakan pemimpin pakatan untuk bersemuka dan berbincang mengenai isu semasa berhubung kementerian saya. Sehingga kini, pelawaan saya masih tidak berjawab. Saya kira rakyat berhak bertanya, kenapa?

Anwar juga mengembar-gemburkan isu undi popular dalam ucapannya. Jika dikaji, kelebihan undi popular pakatan pembangkang adalah kira-kira 380,000 undi. Bagaimanapun, undi popular itu sebenarnya adalah ihsan DAP kepada Anwar, yang boleh dilihat menerusi kawasan bandar seperti Seputeh yang mencatatkan majoriti 51,000 undi, PJ Utara (45,000), Cheras (37,000), Serdang (42,000), Puchong (32,000) dan Bukit Gelugor (41,000). Jelas sekali, majoriti itu datang dari kawasan DAP.

Seperkara lagi yang perlu diingatkan, ialah mungkin Anwar lupa walaupun secara statistiknya pakatan rakyat memenangi undi popular, tetapi BN menerima sokongan takdir yang membantu gagasan itu memenangi PRU-13 baru-baru ini. Pendek kata, takdir dan kuasa Tuhan menentukan segala-galanya.

Datuk Abdul Rahman Dahlan adalah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Ahli Parlimen Kota Belud.

By: Abdur Rahman Dahlan.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik