Sunday, June 30, 2013

APABILA ORANG POLITIK SUDAH TIDAK TAHU MALU.

SKANDAL rasuah di kalangan pemimpin politik Indonesia berteraskan Islam, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) mula membuka satu persatu kisah-kisah sensasi .

Selain melibatkan wang yang banyak dalam urus niaga import daging lembu melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi, banyak lagi cerita mengenai skandal wanita turut terbongkar.

Sebelum ini, saya pernah menulis mengenai senarai 45 wanita yang didakwa pernah menerima habuan kekayaan daripada Ahmad Fathanah yang juga orang kanan bekas Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Luthfi Hasan Ishaaq.

Lebih memeranjatkan ialah Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia juga dalam siasatannya mendapati Ahmad Fathanah yang berasal dari sebuah keluarga yang memiliki latar belakang agama yang kuat ditemui berada dalam keadaan bogel bersama seorang perempuan simpanan.

Bertitik tolak daripada siasatan ke atas Ahmad Fathanah pula menjerat Ahmad Luthfi yang akhirnya melondehkan cerita sebenar kehidupan peribadi pemimpin yang pernah menerajui PKS.

Daripada siasatan KPK, Ahmad Luthfi pernah berkahwin sebanyak tiga kali dengan isteri ketiga yang juga isteri termuda beliau, berusia 19 tahun, Darin Mumtazah. Pasangan itu berkahwin tahun lalu dan ketika itu, Darin masih lagi menuntut.

Perkahwinan pertama Ahmad Luthfi dengan isteri pertama, Sutiana Astika pada tahun 1984 membenihkan 12 cahaya mata.

Sementara perkahwinan kedua dengan Lusi Tiaraini Agustine pada tahun 2000 pula menghasilkan tiga orang cahaya mata.

Kisah lelaki berkahwin tiga terutamanya bagi individu yang memiliki latar belakang agama yang tinggi bukan sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana sebilangan besar daripada mereka memberi alasan berkahwin banyak kerana mengikut sunah.

Namun, dalam kes Ahmad Luthfi yang berusia 50 tahun, KPK dalam siasatannya mendapati, beliau menggunakan isteri-isterinya untuk mengumpul kekayaan melalui pemilikan harta dan kenderaan mewah.

Kerakusan

Jadi, apa sebetulnya makna poligami kepada Ahmad Luthfi? Apakah amalan itu mengikut sunah atau memenuhi nafsu dan kerakusan mengejar kekayaan? Kes penglibatan Ahmad Luthfi dalam skandal rasuah sehingga membawa kepada peranan yang dimainkan oleh isteri-isterinya memberikan persepsi yang kurang baik kepada masyarakat.

Imej dan citra tokoh politik semakin buruk. Orang-orang politik nampaknya sudah tidak tahu malu lagi. Mereka lebih mementingkan wang dan kuasa sehingga mengabaikan tanggungjawab pada masyarakat.

Sia-sia sahaja diberikan amanah oleh rakyat jika ia gagal diabaikan. Hidup mereka penuh dengan kegembiraan sedangkan rakyat di bawah menanggung kesengsaraan.

Kalau parti politik yang berteraskan agama pun boleh terpalit dalam kancah rasuah, apa lagi dengan parti-parti politik sekular lain. Benarlah apa yang sering diingatkan kepada kita bahawa wang sebetulnya musuh manusia. Wang boleh mengkhianati erti persahabatan dan kekeluargaan.

Bahkan, kerakusan mengejar wang melalui cara yang haram hanya akan membawa kemudaratan kepada seseorang. Keghairahan mengejar wang dan kekayaan bermula sebaik mereka diberi kuasa oleh rakyat. Kuasa merupakan hal yang paling utama menjadi titik tolak kepada permulaan kehancuran karier seseorang pemimpin yang tamak haloba.

Kekayaan dan kuasa bagaimanapun, masih belum melengkapi ciri-ciri seorang pemimpin masa kini tanpa kehadiran wanita.

Pengaruh wang, kuasa dan wanita sudah cukup untuk mengheret seseorang pemimpin itu membawa kehancuran pada sesebuah organisasi yang diterajui.

Reputasi parti politik PKS tercemar disebabkan oleh ketiga-tiga pengaruh itu - kuasa, wang dan wanita. Sebelum kes Ahmad Luthfi, seorang pemimpin dari PKS, Arifinto pernah dipecat daripada terus menduduki kerusi parlimen kerana menonton filem porno dalam sidang Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada April 2011.

Perlakuan Arifinto benar-benar memalukan seluruh organisasi PKS sehingga menjadi bahan lawak di kalangan masyarakat Indonesia sendiri. Penahanan ini memperlihatkan kepada masyarakat bahawa alim mana seseorang itu sekalipun, namun pandangan mata mereka akan kelabu apabila sudah memiliki kuasa dan kekayaan.

Hal ini sangat signifikan dengan Luthfi yang memilih untuk mencemarkan parti agama yang dipimpinnya dengan tindakan yang memalukan itu, Seandainya Luthfi menerajui parti politik sekular, barangkali ia tidak akan menjadi bahan perdebatan di kalangan media massa dan masyarakat umum.

Tetapi, PKS ialah sebuah parti politik Islam yang sewajarnya menjadi contoh kepada parti-parti lain sedia ada untuk lebih dihormati. Berdasarkan kes-kes berprofil tinggi yang dibicarakan di mahkamah, kebanyakan yang dibawa ke pengadilan mempunyai banyak persamaan iaitu melibatkan penyalahgunaan kuasa di pejabat sehingga membawa kepada amalan poligami.

Barangkali, KPK sendiri bingung melihat trend ini semakin menjadi-jadi di kalangan pemimpin politik dan pegawai tertinggi kerajaan.

Sebagai contoh, pada perbicaraan minggu lalu, Mahkamah Rasuah Jakarta mendapati seorang bekas pegawai tertinggi polis trafik, Djoko Susilo terpaksa menyamar menjadi orang lain bagi membolehkannya bernikah dengan isteri kedua, Mahdiana.

Perkahwinan itu hampir-hampir musnah apabila Mahdiana gagal mengesan identiti sebenar suaminya itu. Tujuh tahun selepas berkahwin dengan Mahdiana, Djoko berkahwin dengan seorang wanita berusia 19 tahun Dipta Anindita yang juga bekas ratu cantik sebagai isteri ketiganya.

Ada lagi beberapa pegawai kanan kerajaan dan tokoh politik Indonesia yang dikaitkan dengan trend berpoligami selain skandal-skandal lain. Trend ini sangat dibimbangkan kerana ia dikhuatiri akan disalah guna oleh mereka yang memiliki kuasa untuk mencari kepentingan peribadi.

Tiada siapa yang menyalahkan amalan poligami kerana ia dibenarkan dalam Islam tetapi yang menjadi persoalan ialah sejauh mana amalan itu berteraskan tuntutan agama dan bukannya menurut kehendak nafsu semata-mata.

Apa yang turut dibimbangkan juga ialah poligami berlaku disebabkan oleh amalan rasuah kerana orang yang ada banyak wang sahaja yang boleh kahwin lebih daripada satu.

Lebih-lebih lagi kepada golongan yang terlalu mementingkan gaya hidup mewah tentu sekali memerlukan pendapatan besar bagi memenuhi cara hidup mereka.

Wahai orang-orang politik (termasuk di Malaysia) jangan sesekali mengkhianati janji dan amanah yang telah diberikan. Ingatlah bahawa sebijak mana sekalipun kita menyembunyikan penipuan, ia akan terbongkar juga suatu hari nanti.

Jangan fikir dengan gelaran tokoh politik yang ada memberi lesen besar kepada mereka untuk berbuat apa saja mengikut kehendak nafsu. Paling penting, jangan sampai masyarakat hilang hormat kepada kita.

By: Saharudin Musthafa.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik