Monday, June 24, 2013

API SUMATRA, ASAPNYA DI MALAYSIA.

JEREBU menyelubungi seluruh negara. Ini bukan jerebu politik, tetapi jerebu betul! Pandangan menjadi semakin kabur, mata pedih-pedih, pernafasan terasa sukar, dan panas terik terasa amat merimaskan.


Ketika rencana ini ditulis – Jumaat – secara keseluruhan keadaan masih meresahkan dengan sesetengah kawasan mencatat indeks pencemaran udara (IPU) di tahap bahaya. Di Pasir Gudang, Johor mencecah 333.

Pada hari Khamis lebih 200 sekolah di Muar, Johor diarah cuti dua hari apabila bacaan IPU yang dicatat pada sebelah pagi adalah pada tahap bahaya iaitu 383. Juga di Johor, Kota Tinggi (291) dan Larkin Lama (219).

Tahap IPU dikategorikan sebagai bahaya apabila bacaan mencecah 301 dan lebih, sangat tidak sihat (201 hingga 300), tidak sihat (101 hingga 200), sederhana (51 hingga 100) dan sihat pada kosong hingga 50.

Kita tidak tahu mengukur IPU, jadi dengarlah pengumuman radio atau TV dari semasa ke semasa memberitahu keadaan terkini jerebu. Kalau radio dan TV kata berbahaya, patuhilah arahan dan peraturan.

Dalam keadaan berjerebu seperti ini jika patut elakkan kegiatan di luar rumah seperti majlis keramaian, kenduri-kendara, dan perhimpunan umum. Kalau hendak berhimpun puluh-puluh ribu orang tunggulah hingga jerebu reda!

*SEPERTI tahun-tahun sebelumnya jerebu yang melanda negara ini berpunca daripada pembakaran terbuka yang berleluasa di Sumatera, Indonesia. Mangsanya bukan sahaja Semenanjung, tetapi juga Singapura.

Negara jiran paling selatan itu kualiti udaranya pada paras tidak sihat Khamis lalu. Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air republik itu, Vivian Balakrishnan meminta Indonesia mengambil tindakan mengatasi masalah ini.

Seperti yang dilaporkan media Singapura menghantar wakil menghadiri mesyuarat membincangkan isu jerebu dengan Kementerian Luar Indonesia di Jakarta.

Sementara itu di Indonesia, Menteri Luarnya, Martu Natalegawa berkata: “Kita perlu menggunakan pendekatan kerjasama rakan serantau dan bukannya meletakkan kesalahan itu pada pihak lain.”

Ini jawapan dan reaksi yang paling biasa dan selalu didengar dari seberang Selat Melaka setiap kali orang sebelah sini mengeluh sebab udara mereka dicemar dengan teruk oleh asap pembakaran dari Sumatera.

Puncanya di Indonesia, logiknya pihak berkuasa di sanalah yang sepatutnya mengarahkan supaya pembakaran terbuka tidak dilakukan. Kita boleh arahkan rakyat kita supaya jangan membuat pembakaran terbuka, Indonesia pun tentu boleh membuat arahan tersebut di negaranya. Biasalah, sesetengah orang tidak mahu mengaku kesalahan!

*SETUJULAH saya apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan sebuah laman web yang menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai antara 10 bandar paling berbahaya di dunia.

Menurut kenyataan laman Facebook PDRM, dakwaan laman web itu sama sekali tidak benar dan “orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai maklumat itu seterusnya menyebarkan maklumat berkenaan.”

Bagaimanapun tidak bersetuju saya jika angka-angka digunakan untuk meyakinkan orang ramai bahawa Kuala Lumpur adalah bandar raya paling selamat. Statistik PDRM 2010-2012 menunjukkan indeks jenayah di KL diturunkan sebanyak 31.8 peratus.

Orang biasa tidak tahu – dan tidak faham – melihat angka. Mereka tidak arif membaca indeks (termasuk indeks jerebu dan indeks-indeks lain). Kita boleh kata indeks jenayah jatuh, tetapi itu tidak semestinya meyakinkan mereka.

Sebaliknya mereka lebih yakin pada apa yang dilihat sekeliling setiap hari. Rakan sepejabat kena ragut ke tempat kerja. Rumah jiran dipecah masuk. Pembunuhan terjadi hampir saban hari. Pendek kata setiap saat ada sahaja jenayah – kecil dan besar – terjadi. Malah akhir-akhir ini mesin ATM semakin kerap kena rompak. Apakah benar jenayah di KL berkurangan?

*AKHIR kalam, jerebu atau tidak, saya ucapkan selamat bersidang kepada 222 anggota Parlimen yang akan bermula esok. Seperti yang dijangka oleh banyak orang, Parlimen Ke-13 ini pasti akan lebih hangat memandangkan bilangan YB pembangkang teramai dalam sejarah.

Tidak kira pembangkang atau kerajaan, bersidanglah dengan baik dan bertanggungjawab lagi penuh kematangan. Rakyat khasnya pengundi, sentiasa memerhatikan. Jaga tingkah laku, jaga perkataan, sebab dewan yang mulia ini bukan pasar borong atau gelanggang gusti.

By: Tok Perak.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik