Sunday, June 16, 2013

BAHSA JIWA BANGSA, KAMUS JIWA BAHASA.

BAHASA Jiwa Bangsa. tetapi apakah jiwa bahasa? Jiwa bahasa adalah kata-kata. Atau perkamusan. Kamus adalah jiwa bahasa. Dua minggu lalu seorang pengumpul kata-kata, atau pembikin kamus meninggal dunia.

Allahyarham Zainal Abidin Safarwan ialah penyusun Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1995 oleh Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd. Edisi terbaharu sedang diusahakan oleh penerbit itu.

Penyusun kamus dirasakan kurang tepat untuk menggambarkan usaha dan minat mendalam beliau dalam mengumpul perkataan. Ia bukan hobi tetapi sesuatu yang dihayatinya.

Zainal seorang diri sepanjang hayatnya mencatat semua perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu yang dijumpainya, sama ada dalam bahan-bahan cetak, atau media lain seperti buku, radio, televisyen, filem, malah dalam perbualan orang.

Perkataan-perkataan ini ditulis dalam kad-kad kecil dan dihimpun serta diatur hingga menjadi satu kamus yang tebal.

Inilah yang diceritakan oleh Zainal pada saya ketika mengunjungi beliau pada tahun 1995 dalam satu jamuan kecil di rumahnya di Ampang bagi meraikan kejayaan penerbitan kamus itu.

Ketika itu saya bekerja sebagai editor buku di Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd dan Kamus Besar Utusan itu menjadi projek penting pada tahun itu.

Pihak penerbit menamakannya kamus besar kerana ia merupakan suatu karya pengkamusan yang tersendiri oleh seseorang yang amat komited terhadap kata-kata.

Sememangnya di pasaran sudah ada banyak kamus Bahasa Melayu. Tentu antara yang terkemuka ialah Kamus Dewan dan juga kamus yang diterbitkan oleh Oxford Fajar.

Mereka mempunyai panel pakar-pakar yang menghimpun dan menyusun perkataan-perkataan untuk menjadi kamus, sekali gus memberi sumbangan besar kepada perkembangan Bahasa Melayu.

Tetapi Zainal Abidin melakukannya seorang diri dengan semangat dan pengalaman yang lama sebagai penyunting di Berita Harian.

Beliau mengumpul perkataan-perkataan sejak semasa beliau bekerja lagi tetapi ia berjaya dihimpun untuk menjadi kamus setelah beliau bersara.

Maka, untuk menamakan beliau sebagai penyusun kamus semata-mata adalah kurang tepat. malah beliau adalah pengarang kamus. Ini kerana beliaulah memberi makna perkataan-perkataan menurut pemerhatiannya terhadap penggunaannya.

Semua bangsa besar mempunyai tokoh-tokoh perkamusan yang menyumbangkan kepada kekayaan bahasa masing-masing.

Penerbitan kamus besar oleh sebuah anak syarikat Utusan Melayu itu merupakan langkah bersejarah bagi institusi ini kerana walaupun ia telah berkecimpung dalam mengembangkan bahasa dan sastera Melayu sejak akhbar Utusan Melayu diterbitkan 75 tahun lalu.

Sememangnya di Malaysia, ada Dewan Bahasa dan Pustaka yang bekerja untuk mengembangkan bahasa.

Sebelum adanya Dewan Bahasa dan Pustaka, peranan mengembangkan bahasa dan sastera berada pada akhbar Utusan Melayu.

Kini Utusan Melayu sebagai institusi iaitu dalam bentuk syarikat perniagaan mencecah usia 75 tahun.

Tokoh yang bertanggungjawab mengembangkan kesusasteraan dalam akhbar Utusan Melayu ialah A. Samad Ismail.

Sementara Mastika, majalah pertama yang diterbitkan oleh Utusan Melayu diwujudkan untuk menampung karya-karya seperti cerpen dan puisi yang banyak dihantar oleh penulis-penulis dari seluruh Tanah Melayu.

Tetapi menurut catatan sejarah, berlaku konflik antara pengasas Utusan Melayu iaitu Yusof Ishak dan A. Samad Ismail.

Antara isu yang timbul ialah Yusof Ishak tidak berminat terhadap ruangan sastera yang disifatkan tidak mendatangkan hasil keuntungan wang.

Sementara A. Samad Ismail mempertahankan ruangan sastera dengan sekuat-kuatnya.

Apabila A. Samad Ismail berhijrah ke Berita Harian, beliau membangun ruangan sastera di akhbar itu secara besar-besaran.

Tetapi ruangan sastera di Utusan Melayu dan Utusan Zaman terus berkembang dan menghasilkan tokoh-tokoh seperti Usman Awang dan Keris Mas.

Selepas mogok Utusan Melayu yang terkenal pada tahun 1960, banyaklah wartawan terkemuka Utusan Melayu dari kalangan golongan kiri yang tidak lagi meneruskan kerjaya mereka di Utusan Melayu. Antaranya ialah Usman Awang dan Keris Mas. Mereka mendapat pula pekerjaan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru berkembang. Dengan kehadiran mereka, DBP berkembang dan mampu menerbitkan pelbagai majalah-majalah bermutu antaranya Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera.

Selain itu, mereka juga aktif mengembangkan kegiatan sastera dan teater melalui DBP. Malah pengembangan penerbitan buku terutama buku sastera turut diwarnai oleh golongan kiri asal Utusan Melayu ini.

Maka tidak hairanlah teks-teks sastera sekolah di Malaysia mempunyai pengaruh kiri yang kuat. Antaranya ialah Patah Sayap Terbang Jua oleh A. Samad Ismail, Sandera oleh Arenawati, Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer, Atheis oleh Achdiat K Mihardja dan Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang

Usman Awang dalam biografinya menceritakan bagaimana beliau mula berusaha menerbitkan majalah Dewan Sastera.

Oleh kerana DBP ketika itu tidak cukup peruntukan, maka Usman Awang berusaha mendapatkan wang lain untuk menerbitkan majalah itu.

Selain DBP, institusi lain yang turut menyumbang kepada penerbitan buku-buku sastera termasuklah Oxford University Press dan Pustaka Antara.

Oxford menubuhkan syarikatnya di Malaysia dengan nama Fajar Bakti dengan memiliki bahagian sasteranya. Selain daripada kamus Bahasa Melayu, ia juga menerbitkan buku-buku sastera. Tokoh penyunting daripada Fajar Bakti dalam bidang ini yang telah bersara ialah AF yassin.

Beliau pernah dilatih oleh Fajar Bakti di Oxford, England. Kini Fajar Bakti sudah menukar namanya kepada Oxford Fajar dan tidak lagi menerbitkan buku-buku sastera.

Tetapi kamusnya tetap unggul.

By: Zin Mahmud.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik