Friday, June 7, 2013

BAIK BURUK DAN HODOHNYA MEDIA SOCIAL.

By: Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
  
Sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kelihatan banyak perdebatan dan perbincangan mengenai peranan media sosial atau dikenali sebagai Web 2.0 seperti Facebook, Twitter, YouTube dan blog. Peranannya juga sangat efektif, khususnya kepada generasi baru yang dikenali sebagai Generasi X dan Y yang celik teknologi maklumat. 

Mereka terdedah kepada penggunaan media sosial ini kerana ia bebas, murah, dan mudah untuk diakses khususnya di bandar dan pinggir bandar yang mempunyai infrastruktur yang baik untuk kemudahan internet yang membolehkan rakyat Malaysia mengakses pelbagai maklumat yang ada. 
Teringat akan kata-kata Michel Foucault yang menyebut: ‘Ilmu itu kuasa, siapa menguasai ilmu dialah berkuasa’. Mengikuti kata-kata itu dalam era media sosial kini, saya ingin menyebut yang ‘maklumat itu kuasa, siapa yang menguasai maklumat dialah yang berkuasa’. Jadi ini menjelaskan impak besar yang dibawa oleh media baru ini. 

Sarjana terkenal Jerman, Jurgen Habermas pernah menyatakan pada 1996 yang kekuatan internet mampu menumbangkan rejim autoritarian. Ini terbukti bahawa Revolusi Arab pada 2011 dikenali sebagai Revolusi Media Baru telah berjaya menumbangkan rejim autokratik di Tunisia dan Mesir. 

Di Malaysia, perdebatan mengenai media sosial ini telah bermula pada awal dekad yang lepas, namun kini menjadi semakin mendesak. Ada banyak insiden yang memerlukan pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas dan peranan rakyat ke atas penggunaan media sosial ini. Secara keseluruhannya, kita boleh melihat perspektif media sosial di Malaysia ini berdasarkan interpretasi faktor seperti; baik, buruk dan hodoh terhadap media baru. 

Banyak kebaikan dibawa 

Seperti yang kita tahu, banyak kebaikan dibawa oleh media sosial. Sistem pendidikan kita kini memerlukan media sosial yang sangat efektif untuk pembelajaran dan pengajaran. Malah kuliah di universiti juga boleh dipancarkan melalui ruangan YouTube. 
Perbincangan ilmiah juga boleh dilakukan melalui ruangan Facebook antara pensyarah dan pelajar. Inilah kebaikan yang dibawa melalui kebebasan siber yang diamalkan melalui Rang Undang-Undang Multimedia Superkoridor dan Akta Komunikasi dan Multimedia yang menjamin kepada kebebasan berkenaan. Kebebasan ini juga diambil kesempatan oleh pembangkang untuk berinteraksi dengan pengundi. Jadi pihak luar khususnya Barat tidak boleh menuduh negara Malaysia tidak mengamalkan kebebasan media kerana media sosial adalah bebas diamalkan. 

Namun begitu, ada juga keburukan media sosial ini. Kita tahu sebelum PRU-13 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa PRU-13 adalah pilihan raya media sosial. Ini kerana media sosial menjadi medan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang untuk menguasai persepsi pengundi. 

Setelah berakhirnya PRU-13, Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan yang 85 peratus pengendali media sosial adalah daripada pembangkang. Malah, Najib juga mengakui bahawa kegagalan BN mengendali persepsi dalam media sosial menjejaskan sokongan rakyat kepada BN di dalam PRU-13. Kebebasan siber yang diamalkan di Malaysia dilihat tidak diambil kesempatan oleh pengendali BN atau tentera siber yang dibentuk sebelum PRU-13 lagi untuk menangani persepsi berkenaan. 

Rangka strategi lebih sistematik 

Persoalannya, kenapa selepas PRU-12, tanda-tanda media sosial dimanipulasi pembangkang telah jelas kelihatan dan selepas banyak persiapan dilakukan untuk menghadapinya, ternyata BN masih lagi gagal menangani persepsi itu dalam media baru? Untuk menghadapi keadaan ini, kerajaan BN perlu merangka strategi yang lebih sistematik dan efektif di samping mempersiapkan jentera yang mantap untuk menghadapi pertembungan persepsi di media sosial. Keperluan ini amat mendesak dan BN ada lima tahun lagi untuk mempersiapkannya sebelum menghadapi PRU-14. 

Yang jelas, media sosial juga mempunyai imej hodohnya. Apabila kebebasan siber diamalkan, pelbagai maklumat yang tidak baik dan subversif beredar dalam ruang media sosial seperti maklumat lucah, perkauman, penghinaan agama, dan ancaman keselamatan. Ini memerlukan pihak kerajaan dan berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, polis dan Cyber Security bertindak untuk menghadapi ancaman berkenaan. 

Terbaru, tersebarnya kenyataan menghina negara atau simbol negara terutama ke atas Yang di-Pertuan Agong dalam Facebook. Kejadian sebegini seharusnya tidak berlaku di dalam negara yang menuju kemajuan seperti Malaysia. Perlembagaan negara dan simbol negara yang jelas dinyatakan dalam Rukun Negara haruslah dihormati. Tiada negara yang mahukan simbol negaranya untuk terus dihina. Kewujudan tentera siber ‘Red Bean Army’ yang dikatakan cuba menggugat sistem politik dan institusi negara haruslah ditangani secara tuntas oleh pihak kerajaan. 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik