Tuesday, June 4, 2013

BANYAKKAN MEMBANTU MASYARAKAT LUAR BANGAR

By: Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

SUDAH hampir satu bulan PRU-13 berlalu. Kemenangan selesa masih lagi berpihak kepada Barisan Nasional (BN). Walaupun dihenyak, dihentak dan difitnah dari semua sudut dan dalam pelbagai bentuk, namun sebahagian besar rakyat Malaysia masih rasional dengan memilih BN dan menyokong calon-calon yang diketengahkan oleh teraju kepimpinan parti itu.

Untuk pertama kalinya, calon-calon BN untuk pilihan raya kali ini sebahagian besarnya benar-benar mewakili era Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemilihan calon oleh pucuk pimpinan pusat BN amat bertepatan dan mengikut keperluan serta kehendak rakyat, yang dahagakan peningkatan idea-idea baru, kemakmuran dan juga ekonomi negara. Namun, segelintir pengundi telah membuat keputusan terburu-buru dengan hanya memilih parti perkauman serta lebih mempercayai fitnah yang dilemparkan oleh pakatan pembangkang.

Tindakan kurang bijak terpancar apabila segelintir pengundi meletakkan beberapa calon BN yang layak untuk dibarisi dalam Kabinet, telak ditolak. Yang dipilih oleh 'mereka' adalah orang yang hanya tahu menjatuhkan negara, bukannya membantu ekonomi negara.

Cuba kita lihat, adakah para pemimpin pembangkang yang memperoleh kemenangan dalam PRU-13 telah turun padang, membuat kerja? Apa yang kita lihat, mereka lebih suka membuat perhimpunan-perhimpunan haram yang akan merosakkan kedamaian negara.

Sejak PRU-12 yang lepas, Ahli Parlimen PKR bagi kawasan Batu, Tian Chua amat-amat jarang turun padang dan membantu menyelesai masalah rakyat, kecuali pada saat-saat hampir PRU-13, baru nampak muka. Itu pun dia masih mampu menang di kawasan yang sama.

Seorang lagi wakil rakyat di Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim juga amat jarang turun padang dalam penggal pemerintahan yang lalu. Khalid hanya menghantarkan wakilnya untuk berjumpa masyarakat Bandar Tun Razak, itupun hanya memilih beberapa tempat dan lokasi tertentu sahaja. Namun, baliau masih juga menang pada PRU-13.

Adakah masyarakat Malaysia kini tidak ambil peduli sama ada calon wakil rakyat itu 'malas turun padang', 'pemimpin yang suka membuat perhimpunan jalanan', 'pemimpin susah nak tunjuk muka di kawasan yang diwakili' atau 'pemimpin yang bermoral rendah'?

Nampaknya, para pemimpin BN harus mengkaji semula corak perkhidmatan yang diberikan kerana ia belum cukup berkesan apabila di beberapa kawasan masih dimenangi oleh penyandang wakil rakyat pakatan. Banyak pengundi bandar tidak menyokong calon BN.

Penulis yakin, rakyat 'di kawasan bandar' tidak memerlukan pembangunan dan lawatan kerap daripada wakil rakyat kawasan berkenaan. Oleh itu, pemimpin UMNO atau BN mungkin perlu sentiasa membuat perhimpunan-perhimpunan di kawasan-kawasan tersebut dan kurangkan bertemu masyarakat setempat.

Jadi BN perlu berikan keutamaan pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar yang banyak memberikan kemenangan kepada BN. Jangan lupa jasa orang kampung yang terus yakin kepada BN dengan mengundi calon BN.

Lupakan pembangunan di pusat-pusat bandar baik bandar besar ataupun bandar kecil. Mulakan dengan projek pembinaan sistem perparitan di kawasan kampung yang selalu dilanda bencana alam. Menaik taraf jalan-jalan kampung dan perbanyakan sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Kerajaan seharusnya sudah memulakan usaha menaik taraf kehidupan rakyat luar bandar dengan mengalihkan kilang-kilang baharu ke kawasan luar bandar. Jangan ditumpukan pembangunan ekonomi di dalam bandar sahaja. Pengundi bandar mungkin tidak dahagakan lagi peningkatan ekonomi. Mereka mahukan semuanya diberikan 'percuma'. Maka, tidak sesuai lagi kemajuan ditumpukan di kawasan bandar.

Pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak haruslah dimulakan sekarang. Segerakan kelulusan projek pembinaan tangkungan air bersih untuk rakyat luar bandar dan pedalaman di sana.

Walaupun kurang perhatian yang diberikan oleh kerajaan BN sebelum ini, namun kepercayaan seluruh rakyat Sabah dan Sarawak terhadap kepimpinan BN haruslah dihargai dan dihormati. Oleh itu, pucuk pimpinan kerajaan BN harus memikirkan untuk mengalihkan sebahagian projek pembangunan dalam RMK-10 ke Sabah dan Sarawak, baik dari segi infrastrukturnya mahupun pembangunan awam.

Jangan berhenti membantu rakyat Sabah dan Sarawak dengan hanya meletakkan wakil-wakil rakyat dari sana menjadi anggota Kabinet. Belum tentu pembangunan sampai di pedalaman Sabah dan Sarawak jika ia tidak dipantau dengan lebih kerap oleh Perdana Menteri.

Bantulah rakyat yang sentiasa menyokong BN. Bukan kita tolak rakyat di bandar-bandar yang menyokong BN tapi kasihanlah rakyat di kawasan pedalaman dan di luar bandar yang tidak putus-putus berharap dan terus menyokong kepimpinan BN walaupun kehidupan mereka tidak seceria mereka yang tinggal di bandar.


No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik