Tuesday, June 4, 2013

"ABU" BERLAWAN DENGAN "IBU".

By: Rahman Shaari.

Saya telah agak lama terjumpa dengan akronim berbunyi Abu = Asalkan Bukan Umno.   Saya dengar, terdapat ceramah yang membawa judul dan keterangan tentang Abu.

Semasa pilihan raya 2013, saya berjalan-jalan ke sana sini, memerhatikan dan merasai suasana agak tegang.  Banyaknya bendera parti memang membangkitkan semangat, dan semangat begini jarang terdapat di mana-mana di dunia ini.

Entah berapa banyak wang tertumpah ke kedai bendera, tidaklah dapat saya agak. Sesekali teringatlah saya, jika wang sebanyak itu disedekahkan kepada fakir miskin, alangkah berpahala.

Persoalan bendera ialah persoalan umum dalam pilihan raya, manakala persoalan Abu ialah persoalan khusus. Ada kemungkinan pihak yang menghasilkan akronim Abu mempunyai hasrat untuk menenggelamkan Umno.

Apa tidaknya, saranan itu membawa maksud mengundi PKR, Pas, DAP, MIC , MCA dan lain-lain adalah baik belaka, asalkan jangan undi Umno. Dalam keadaan begitu, pihak yang menyayangi Umno secara diam-diam menghasilkan akronim yang lain, iaitu Ibu.

Ibu bermaksud Ikhlas Bersama Umno. Slogan ini rupa-rupanya amat berkesan, sehingga Umno berjaya memperkukuh diri, walaupun MCA merosot. Sekarang kita akan memerhatikan arah Umno yang seterusnya.

Ada cadangan agar Barisan Nasional menyatu, iaitu tiada lagi perjuangan untuk kaum-kaum. Jadi Umno akan tenggelam seperti diimpikan oleh pencipta Abu. Saya secara peribadi berpandangan: Janganlah Umno tenggelam sebegitu. Umno boleh terus berjuang untuk bangsa dan agama, kerana selama ini pun memang tiada masalah besar.

Jika timbul masalah kecil, itu hal biasa, seperti juga masalah dihadapi Pas, kerana di mana-mana pun orang Islam tidak bersatu hati. Malah, adalah biasa juga konflik dan dilema kecil dibesar-besarkan.

Beberapa tahun sebelum pilihan raya ke-13, muncul pelbagai helah daripada pihak-pihak bertentangan. Jadi, jika selepas pilihan raya timbul masalah berupa tuduhan-tuduhan, itu adalah biasa juga.

Dalam tinjauan saya semasa pilihan raya berlangsung, terdapat pengundi menunjukkan jarinya sudah bersih, tiada dakwat kekal. Saya tidak berkata apa-apa, melainkan mengkritik pihak yang mencadangkan penggunaan dakwat kekal.

Saya mengatakan, “Yang kekal hanya ALLAH.” Selepas pilihan raya berlangsung, ada seseorang mengatakan berlakunya blackout di tempat menghitung undi. Saya bertanya lokasinya, dia tidak menjawab, kerana dia pun mendengar khabar daripada orang lain.

Saya lebih suka mengatakan, penipuan boleh berlaku, antara lain oleh pembekal dakwat, pembekal lampu dan juga pembekal cerita, selain daripada pihak yang dituduh. Dalam hal ini, tuduhan dapat dikatakan diagak-agak secara bersahaja.

Maksud saya, kita  telah lama berada dalam suasana politik yang selesa, jadi tiada gunanya kita menghilangkan keselesaan ini. Penggiat politik pun tahu tentang keselesaan ini, kerana mereka amat berpengalaman.

Tugas saya – ditugaskan oleh keyakinan –  ialah mengekalkan keselesaan. Jadi, ketika dicadangkan untuk diundang oleh Tuan Syed  Munawar bagi membicarakan pilihan raya di TV, saya nyatakan awal-awal bahawa saya memilih politik selesa. Cadangan itu kemudiannya tidak menjadi kenyataan.

Pandangan saya tentang Umno, mudah, sama mudahnya dengan pandangan saya tentang Pas. Kedua-dua parti kesayangan itu telah berusia, dan telah berjasa dengan cara masing-masing. Permusuhan ialah hasil hasutan, dan itu telah saya kemukakan berkali-kali.

Dalam hal ini, Hishamuddin Rais amat mengilhamkan. Beliau jugalah yang mengatakan, apa-apa yang baik bagi parti lawan, adalah buruk, dan begitu juga sebaliknya. Ini terang dan ketara. Jika Umno menekankan nasionalisme, Pas akan mengatakan nasionalisme tidak bagus.

Jika Pas mengutamakan hukum hudud, Umno akan mengatakan hukum hudud tidak praktikal. Itu contoh dalam bicara, bukan contoh dalam pelaksanaan. Saya tidak tahu siapakah pencipta akronim Abu = Asalkan Bukan Umno.

Pencipta akronim Ibu = Ikhlas Bersama Umno, saya tahu. Akronim yang pertama membawa maksud peperangan habis-habisan, walaupun besar kemungkinan ahli-ahli Umno ialah bapa atau bapa saudara pencipta akronim. Akronim kedua membawa kemesraan, bersyaratkan janganlah pencipta akronim itu memusuhi Pas.

Inilah jalan selesa yang saya maksudkan. Walaupun Abu berlawan dengan Ibu, perlawanan itu biarlah pada tahap bersetuju untuk tidak bersetuju. Adik-beradik jangan bermasam muka.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik