Monday, June 17, 2013

BOIKOT : JANGAN KECEWAKAN PENGUNDI.

*BOIKOT atau tidak? Itu yang kini ditunggu-tunggu rakyat, khasnya pengundi, sama ada PR betul-betul berpakat tidak mahu mengangkat sumpah anggota Dewan Rakyat pada 24 Jun akan datang.

Awal-awal telah digembar-gemburkan bahawa YB-YB parti pembangkang yang baru menang pilihan raya umum lalu, tidak sudi untuk melakukan upacara penting itu apabila parlimen penggal ke-13 bermula pada tarikh tersebut.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan bahawa tindakan memboikot itu adalah melanggar peraturan, malah boleh menyebabkan wakil yang dipilih itu hilang kelayakan.

Katanya, mengikut Perkara 59 (1) Perlembagaan, mana-mana YB yang gagal mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat tanpa alasan munasabah dan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh itu boleh dilucut sebagai wakil rakyat.

Tidak kira pembangkang atau kerajaan, gelaran YB itu adalah keputusan rakyat dalam negara demokrasi. Pengundi membuat pilihan pada 5 Mei lalu kerana percaya dan menaruh harapan pada calon-calon yang dipangkah.

Kini setelah mendapat gelaran YB, wakil-wakil rakyat patut sekali mematuhi peraturan, dan eloklah mengangkat sumpah. Tunjukkan kepada umum bahawa mereka serius berperanan sebagai wakil rakyat.

Mereka orang bijak, sebab itu dicalonkan dan dipilih. Maka orang bijak tentu lebih arif bahawa parlimen tidak boleh buat macam main-main pondok-pondok zaman budak-budak dulu.

*BEBERAPA orang wakil rakyat PKR ternyata menghormati kepercayaan yang telah diberi rakyat. Walaupun sebelum ini dilaporkan akan boikot, mereka berpendirian bahawa majlis angkat sumpah itu perlu dipatuhi.

Ketua Wanita parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau akan tetap mengangkat sumpah dan tidak akan memboikot majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat.

Tegas beliau seperti yang disiarkan media: “Kami akan mengangkat sumpah, kerana jika tidak berbuat demikian kami tidak boleh berbahas.”

Memanglah YB dipilih untuk membahaskan masalah rakyat, apa guna jadi wakil rakyat sekiranya tidak boleh bersuara di dewan berkenaan?
Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh juga tidak mahu boikot, dan beliau berpendirian tetap akan mengangkat sumpah selaku anggota Dewan Rakyat. YB

Kuantan itu adalah salah seorang wakil yang aktif dan selalu menyuarakan hak rakyat di dewan, terutama dalam kes Lynas.

Sekiranya tidak mengangkat sumpah, dan tidak boleh bersuara dalam persidangan penting itu, sia-sialah beliau dilantik sebagai wakil rakyat dengan gelaran YB. Perlu diingat YB bererti ‘yang berhormat’ dan ‘yang berkhidmat’, bukan ‘yang boikot’.

*PIMPINAN tertinggi Pas, salah satu komponen dalam PR, pun tidak setuju boikot. Mereka memutuskan akan hadir pada dalam majlis angkat sumpah dan persidangan Dewan Rakyat, kerana tidak mahu dilihat sebagai tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun PRU13 penuh berbagai kepincangan, bagi ahli-ahli Parlimen yang menang perlu meneruskan mandat yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat.

Parti Islam itu tidak mahu wujud persepsi buruk dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu PKR pula menganggap isu boikot hanyalah spekulasi yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini. Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata semua itu adalah khabar angin.

“Saya ingin menyatakan bahawa PKR tidak pernah memutuskan untuk memulaukan majlis angkat sumpah. PKR dan PR hanya memutuskan supaya memboikot taklimat Parlimen pada 11 Jun lalu, sebagai protes penipuan dalam PRU13,” kata beliau.

Sementara itu anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata isu boikot angkat sumpah PR tidak lebih dari sandiwara. Cukup-cukuplah bersandiwara.

*AKHIR kalam, petisyen PRU13 mencatat rekod sebab paling banyak dibawa ke mahkamah. BN mengemukakan 21 petisyen, sementara PR 35.

Congak secara rambang kalau PR menang semua petisyen, mereka jadi kerajaan. Tidak timbul lagi soal undi popular.

Sebaliknya kalau BN menang semua, kerajaan yang ada sekarang akan menjadi lebih kuat, dapat majoriti dua pertiga. Apa pun tunggulah keputusan mahkamah.

By: Tok Perak.

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik