Tuesday, June 4, 2013

BUAT DUIT DI BUKIT BINTANG.

by: Mior Kamarul Shahid.
  
Kawasan sekitar Pudu dalam kawasan Bukit Bintang sentiasa sibuk kerana ia antara pusat pelancongan dan komersial yang menerima kunjungan ramai manusia di bandar raya Kuala Lumpur. Di sini ada banyak pusat beli-belah terkemuka yang jarak antara satu dengan lain hanya dengan berjalan kaki, hotel mewah, sederhana dan murah serta restoran daripada pelbagai negara termasuk dari Asia Barat. Bagi pelancong, tanpa berkunjung di kawasan ini, lawatan mereka ke Malaysia dianggap tidak sah. Sebut apa saja di Bukit Bintang, semuanya ada. Asalkan ada wang, semuanya beres. Antara mercu tanda kompleks komersial di kawasan ini ialah Bukit Bintang Plaza, Sungai Wang Plaza, Lot 10, Berjaya Times Square, Low Yat Plaza yang banyak menjual perkakasan komputer dan elektronik, Star Hill Gallery, Pavillion dan sebagainya. Kawasan ini juga tidak jauh dari Menara Berkembar Petronas yang menjadi tumpuan. 

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, kawasan Parlimen Bukit Bintang yang mempunyai 55,887 pengundi dengan 87.98 peratus adalah pengundi kaum Cina, seperti PRU sebelumnya, dimenangi oleh DAP dengan majoriti lebih 19,000 undi. Bagi Barisan Nasional (BN), Bukit Bintang dianggap sebagai kawasan hitam bagi BN untuk selama-lamanya. Tidak ada tanda-tanda kawasan ini akan bertukar menjadi putih, malah kelabu sekali pun. Pengundi kawasan ini tidak memerlukan bantuan kerajaan. Walaupun tahu tidak ada kepentingan politik di kawasan ini, kerajaan tetap mengambil berat segala bentuk soal kemudahan awam di sekitar kawasan ini kerana ia adalah kawasan pelancongan dan komersial. Jika melalui kawasan ini sekarang, kerja membaik pulih jalan raya, landasan tren dan sebagainya pesat dijalankan, menyebabkan keadaan sesak setiap masa. Golongan yang untung ialah masyarakat peniaga yang majoritinya adalah kaum Cina. 

Tempat ‘manusia melihat manusia’ 

Walaupun nampak ramai orang Melayu di kawasan itu, mereka adalah masyarakat pengguna yang datang membeli-belah atau bersiar-siar di sekitar kawasan itu. Bintang Walk adalah tempat ramai ‘manusia melihat manusia’ terutama pada waktu malam. Kebanyakan orang Melayu sama ada makan gaji dengan kerajaan atau swasta, berbelanja di kompleks milik kaum Cina. Orang Melayu hanya bekerja di gedung-gedung perniagaan atau menjadi pengawal keselamatan. Ini adalah fakta. Umumnya, di Kuala Lumpur, memang ramai orang Melayu berniaga tetapi kebanyakannya di gerai makanan selain perniagaan kecil di pasar malam dan pasar tani. 

Penduduk Bukit Bintang hidup mewah dengan pelbagai jenis perniagaan. Mereka tidak perlu memikirkan soal kemudahan awam kerana ia diuruskan oleh kerajaan walaupun ia bukanlah ‘jajahan’ parti kerajaan. Penduduk Bukit Bintang juga tidak pernah terfikir untuk mengubah wakil rakyat mereka. Wakil rakyat kawasan bandar biasanya tidak banyak kerja. Mereka tidak perlu hadir di majlis-majlis yang dianjurkan oleh penduduk sama ada keraian atau kematian. Ramai penduduk di kawasan seperti ini tidak kenal pun wakil rakyat mereka. Di luar bandar, wakil rakyat terpaksa hadir di majlis-majlis yang dianjurkan penduduk. Jika tidak hadir, adalah cerita yang tidak menyenangkan telinga akan didengar. 

Kementerian Pelancongan lakukan promosi 

Di bandar sudah lengkap dengan segala-galanya, berbeza dengan keadaan di sesetengah kawasan luar bandar. Sepatutnya kerajaan tidak perlu memberi perhatian kepada kawasan seperti ini kerana ia akan membangun dengan sendirinya menerusi pengaruh komersial. Jika wakil rakyatnya pembangkang, biarlah beliau bertanggungjawab menguruskan soal pembangunan di kawasan ini. Lagi pun penduduknya boleh dianggap mewah kerana kawasan komersial seperti ini saban hari dikunjungi pengunjung dari luar negara. Mereka mendapat banyak untung. Orang asing berbelanja apa juga yang mereka idamkan di negara ini kerana harganya jauh lebih murah berbanding di negara lain. Sebetulnya, segala promosi, secara tidak langsung, dilakukan oleh kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan. Peniaga di kawasan ini tidak perlu berbuat apa-apa pun. 
Bagi peniaga di kawasan seperti ini, mereka tidak pernah berterima kasih kepada kerajaan. Mereka tidak langsung memikirkan yang selama ini mereka boleh berniaga dan buat duit dalam suasana aman dan menjadi kaya raya. Kawasan komersial yang tidak selamat, tidak akan ada pengunjung. Di Bukit Bintang, ramai anggota polis diletakkan untuk mengawal keselamatan. Dulu, Bukit Bintang adalah kawasan paling tinggi kadar jenayah dan penuh dengan rumah pelacuran, tetapi hari ini imejnya sudah berubah dengan bantuan kerajaan. 

Bila ada demonstrasi di bandar raya, peniagalah kumpulan pertama yang bimbang terhadap perniagaan mereka yang akan terjejas. Perhimpunan seperti ini pula dilakukan oleh parti pembangkang yang mereka sokong. Bila mengundi, sebahagian besarnya tidak mengundi BN. Mereka lebih gemar menyokong pembangkang khasnya DAP, walaupun tahu parti itu tidak berbuat apa-apa terhadap kemajuan penduduk kawasan itu. Mereka anggap mereka adalah masyarakat berdikari dan boleh buat segala-galanya secara sendirian. Jika selepas ini tidak ada sokongan atau bantuan daripada kerajaan, tak perlulah diungkit. Hari ini, kalau pergi ke sekitar kawasan itu, pasti melihat kerja pembangunan berjalan pesat, walaupun ia adalah kawasan pembangkang. 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik